Saturday, November 08, 2008

Ayah

Sunday, 27 June 2007
My Bad

Hanya tuhan tahu, berapa kali aku mahu menulis tentang ayah, namun memadamkan niat itu kerana aku tidak mahu menjadi manusia yang terlalu beremosi.

Ayah, ketika aku kecil adalah manusia yang memberi kasih sayang terunggul dalam hidup. Persepsi itu berubah apabila aku mempunyai adik kerana konsep ayah dalam memberi hukuman, yang besarlah yang salah apabila kami adik beradik bertengkar.

Kerana ayah tidak segarang emak, dialah yang mengajar aku menjadi manusia 'lemak'. Kalau dengan emak aku takut dicubit jika terkurang ajar, aku tega mendiamkan diri dan berjalan kaki ke sekolah walaupun ayah berulangkali memanggil nama aku dengan penuh kasih sayang ketika aku merajuk tidak diberikan wang untuk membeli buku cerita.

Ketika tadika aku pernah menangis mahu berhenti sekolah dan ayah hampir-hampir mahu menuruti kehendak tak senonoh aku tu kerana tidak sanggup mendengar aku merengek (ya, mujurlah ada emak).

Ketika emak membuntangkan mata apabila aku menangis kerana tidak pandai melukis pokok, ayah dengan rela hati melukiskannya dengan lawa.

Apabila aku menangis di telefon mengadu aku tidak mahu lagi tinggal di asrama (kerana takut hantu), ayah bergegas datang mengambil aku pulang.

Ah, terlalu banyak memori soal kasih sayang ayah.

Dan aku, anak yang tidak sedar diri ini, kian hari kian besar dan makin lama makin jauh dari ayah. Mungkin kejauhan itu aku cipta selepas mendapat malu dirotan ketika memakai seluar pendek di depan kawan ayah dalam usia 11 tahun, atau mungkin juga kerana ayah yang mula mengasingkan diri dari kami, entahlah.

Hari ini, hati aku luluh bila mengenangkan kembali bagaimana ayah gemar duduk menyeorang di tingkat atas rumah kami walaupun ketika itu kami adik beradik pulang ke rumah.

Aku pernah terfikir bagaimana ayah boleh hidup dengan membuang pandangan ke luar tingkap sedangkan kami bergelak tawa di bawah.

Sedangkan, kami pernah membesar bersama lelucon ayah. Jauh dalam hati aku tahu ada sesuatu yang tidak kena, namun selaku anak yang mementingkan diri aku tidak pernah bertanya, sekali pun tiap kali balik aku cuba untuk melayan ayah seperti biasa.

Satu-satunya terapi yang paling mujarab untuk aku menghilangkan masalah yang berlumut dalam fikiran ialah sajak. Dan aku, pernah cuba untuk membuat itu apabila mengenangkan ayah, namun tidak berjaya. Kerana setiap kali aku mengenang ayah, aku merasa sangat gagal.

Ketika pulang beraya lepas, ayah tiba-tiba menjadi lain. Ayah tiba-tiba bercerita kepada aku dan abang, sesuatu yang sudah lama dia simpan. Sekali lagi, hanya tuhan yang tahu apa yang aku rasa seusai cerita ayah. Demi tuhan, dialah lelaki paling penyabar dalam dunia aku!

Terlalu banyak kisah di bawah selimut yang menutup hidup ayah hingga dia tidak lagi menjadi seperti dahulu. Dan sudah tentu, ia akan terus menjadi lumut-lumut tebal dalam fikiran ini (dan aku akan terus-terusan merasa gagal). Aku harap, tuhan akan memberi masa untuk aku menyelesaikan perkara ini (sudah tentu, bukan dengan sajak!)

Tadi. Sebaik mendengar abang menangis dalam telefon, aku tahu, kaki ayah tidak dapat diselamatkan lagi. Aku kembali terkenang kata-kata ayah, "Kalau tahun ini tak selesai juga masalah, ayah nak kembali ke Kedah."

Minggu lepas, aku melihat pandangan mata ayah yang bersedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika rumah kami dicat lantaran luka pembedahan memotong jari kakinya yang belum sembuh. Kata Baen, ayah berulangkali mengucapkan kekesalan kerana sakit di saat anak-anak pulang dan aku memerlukannya.

Dan hari ini? Ah. Aku dapat melihat mimpi ayah menjadi pecah berkeping-keping. Pandangan matanya yang kelabu, merenung jauh ke langit tertancap kukuh dalam otak ini dan aku tidak fikir ia akan hilang dengan mudah.

Tuhan, aku tidak mahu menjadi anak yang gagal lagi. Cukuplah kegagalan2 besar lain yang aku pilih dalam hidup sebelum ini. Sekurang-kurangnya, kegagalan2 lain itu cuma menyakitkan aku, bukan insan yang meninggalkan memori kasih sayang paling besar dalam hidup ni.

Sesiapa, tak perlu fahami entry ini.. cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan ayah kerana banyak lagi mimpinya yang besar2 dan indah2 belum aku, anak yang sangat gagal ini sempurnakan.

Ini adalah entry yang aku tulis tahun lalu, ketika ayah terpaksa dipotong kaki kirinya kerana kencing manis.

Manalah aku tahu...

1) Pandangan sayunya kerana tidak jadi balik ke utara raya lalu kerana emak tak sihat;

2) Pesannya acapkali pada kami adik beradik supaya jangan tinggal solat;

3) Kata-katanya ini panggilan telefon terakhir;

4) Tidur di pangkuan emak yang tak pernah dilakukan sebelum ini;

5) Menyatakan kesediaan untuk 'pergi' bila-bila masa;

ADALAH YANG TERAKHIR.

20 Oktober lalu ayah pergi. Padahal malam itu dia sepatutnya tidur di rumah aku.

Dan abang, sudah mengganti tikar di rumah untuk menyambut ketibaan ayah. Sudah merencana dan terbayang-bayang kegembiraan ayah apabila dibawa ke ceramah Pas Kg Medan.

Tapi, Tuhan ada rencana lain. Tak apalah, ayah pergi setelah segala-galanya dia lunaskan.

Dia sempat hantar Ain ke sekolah hingga hari terakhir PMR, sempat berikan senarai orang yang perlu kami cari untuk bertanya jika ada hutangnya dan lebih dari itu, dia sudah memberikan bekal ilmu agama secukupnya untuk kami agar dia terhalang dari seksa di sana.

Hingga ke hari ini pun, selang beberapa hari aku akan terbangun setelah bantal basah kerana bermimpi arwah masih ada, tapi apakan daya.

Lagi pula, ayah hanya dipanggil balik oleh pemilik yang meminjamkannya kepada kami.

25 comments:

Saharil said...

sedih. al-fatihah untuk ayah areyoung. semoga dicucuri rahmat dan dipermudahkan perjalanannya.

doff said...

takziah & al-fatihah.

Rjuna said...

Takziah buat kak Aida dan sekeluarga

semoga tabah atas pemergiannya, hidup mesti terus

Amy Z! said...

Al-Fatihah. :-(
Semoga tabah~

Pegawai Khalwat said...

Aku menangis lagi.
Entri kamu turut buat aku kembali terkenangkan ayah, yang pergi ketika aku heboh di Jomheboh, dak terperangkap berjam-jam dalam trafik tak munasabah ketika berita itu diterima.

Al-fatihah untuk mereka.

oe~ said...

Aida... sabar dan redha dgn ketentuanNya. Setiap org akan mengalamimya. Sebagai anak yg terlalu kasih kepada ayahnya, kita masih boleh membantu dgn berdoa kepada Allah untuk mendapat kerahmatan dan kesejahteraan ke atas rohnya. Insya Allah. Aida masih ada seorang ibu. jagalah beliau sebaik mungkin.
Al-fatihah.

kidd said...

al-Fatihah.

sekurang-kurangnya ada lagi cebisan ayah dalam diri kamu. simpan baik-baik, jangan hilang lagi.

Gadis di Tepi Tingkap said...

Aku sayu kembali mengenang arwah Bapak.

Al-Fatihah.

Take care now Aida.

Pa'chik said...

al-fatihah...
semuga ruhnya tenang dan aman di bawah lindungan Allah...

sinaganaga said...

takziah untuk kau sekeluarga, sistaa

aie akaike said...

dia cuma tiada di depan mata kamu..
tp sentiasa ada di hati...

rena said...

salam takziah untuk kamu sekeluarga..
semoga kamu tabah dan redha..

John Doe said...

takziah untuk lu.

kingbinjai said...

al fatihah. smeoga rohnya dicucuri rahmat

pengeran cinta said...

Sabar Aida..hidup perlu diteruskan.

afza said...

AlFatihah..
Sabar aida, hidup ini memang bukan senang

Nyonya Mansor said...

Al-Fatihah. Semoha rohnya ditempat bersama orang-orang yang beriman dan dirahmati olehNya. Sesungguhnya setiap perkara itu ada hikmah.
Sedih sungguh entri ni.

The Boss said...

al-fatiha.semoga rohnya di tempatkan bersama orang-orang yang beriman

oe~ said...

salam aida... selamat tahun baru. semoga lebih ceria dan sejahtera. salah silap harap diampun

HaFiDz ByLz @ Ude @ ToBey said...

walaupun kite same tidak mengenali, takziah buat anda dan sekeluarga.

sedih sangat dah ni.

sinaganaga said...

elllo,
dah 2009 dah ni - takmoh update blog?

13may said...

Al-fatihah

~flyo~ said...

takziah...al fatihah..semoga beliau aman di sana..

mohdfazli said...

Kak aida, walaupun dia tiada dimata, namun kepahatannya di hati itu jgn sesekali diukir dengan lukisan baru. Hanya doa yng dikirimkan pengganti kata-kata pada dia ayahanda,..

Ali Ashari said...

semoga Alloh senantiasa memberikan kasih sayang dan rahmatnya buat ayah kita