Monday, August 11, 2008

Susuk yang merasuk

NOTED: Aku dapat rasa satu kepuasan tersendiri bila Kala Malam Bulan Mengambang menang FFM. Yeay!

JIKA engkau orang yang.. err boleh merasa tersangat hepi semata-mata kerana sebuah filem, engkau tentu akan faham betapa seronoknya jika menonton sebuah filem yang mampu membuatkan engkau terkenang-kenang walaupun sudah seminggu menontonnya. Susuk sebagaimana tajuknya, ya tuhan, telah berjaya merasuk aku sampai ke hari ini.

“Saya tahu ada antara kita pantang berfikir. So kalau (menonton Susuk) buat anda perlu berfikir sangat saya minta maaflah..” sinikal sekali Amir Muhammad menjawab apabila ditegur kekeliruan yang dicetuskan seusai tayangan perdananya baru-baru ini. Man… aku benci sarcasticsm tapi Amir ini begitu memikat sekali bila bercakap. Aku enjoy setiap jawapan yang dia bagi untuk setiap pertanyaan bagaimana remeh sekalipun.

Tentang Susuk - secara peribadi, aku rasa penonton kebanyakan (dalam banyak segi aku juga tergolong dalam kelompok itu, aku akui) yang datang menonton mungkin akan berseronok dengan hantu yang ditampilkan sangat ganas. Bukan banyak cerita Melayu boleh keluar hantu yang berjaya menakutkan kan? Justeru, aku percaya seratus persen, jika trailer filem ini (atau filem hantu lain) dimasuk penampilan hantu bertaring, ia pasti akan menjebak penonton ke panggung (tanyalah Shuhaimi Baba).

Bagaimanapun, Susuk turut menghidangkan twist yang memang menjadi kebencian sesetengah orang. Filem dengan naratif non-linear juga harus diakui, bukan karya yang bakal ditabik oleh penonton kita. (Kalau tak, tak adalah aku dengar beberapa budak punk menjerit suruh dipulangkan duit tiket lepas menonton Cloverfield awal tahun hari tu.)

Dari segi lain, Susuk kata Amir, banyak bermain dengan elemen dwiniti. Susuk itu sendiri ada dua maksud iaitu susuk untuk cantik, dan susuk tubuh. Susuk untuk cantik tu pulak ada dua, satu untuk memuaskan nafsu diri (untuk nampak cantik, jadi glamour dsb) dan satu lagi, susuk keramat yang akan lebih difahami setelah kita menonton Susuk.

Selain tu, ada lagi sumpahan nombor dua dalam filem ini. Pengarahnya pun dua (Amir Muhammad dan Naeim Ghalili) dan potongan LPF pun ada dua jugak untuk filem ini. Eh, eh ada lagi. Filem ni terperap selama dua tahun sebelum boleh ditayangkan di pawagam sekarang!

Dari segi lakonan, tak usahlah kita nak mempertikaikan lakonan Ida Nerina dan Adlin Aman Ramlie walaupun diorang ni dikenali antara artis yang ‘kekwat’ di kalangan wartawan. Tak apalah, mereka tahu mereka bagus kot. Atau, mereka antara orang seni yang ada sedikit persamaan gen dengan Ahmad Dhani agaknya (itu cerita lain).

Tapi paling superb, lakonan Sofia Janelah. Walaupun cuma 5 scene, aku takleh lupa bila dia sebut “JAHAN..NAMMM’ sebaik sahaja bangun dari tidur. Tapi aku fikir, scene itu aku kenang sebab aku perempuan. Sebab kalau engkau lelaki, engkau tentu akan lebih terkesan saat Sofia dipakaikan susuk, SERIUS.

Diana Rafar. Lakonan dia tak mengecewakan. Tapi aku percaya, dia sebenarnya kurang faham tentang roh Susuk hinggalah dia sendiri menontonnya bila filem ini sudah siap. Ini kerana dia pernah mengaku dalam satu artikel, dia tak faham kenapa solekannya tipis walaupun masa tu dia dah pakai susuk. kalau tak percaya kenapa aku kata dia tak faham tentang watak dia ini, tontonlah Susuk dan seperti Diana, engkau akan faham kenapa pembangunan karakter dan penampilannya dibuat berdikit-dikit.

Paling utama, Susuk sebenarnya akan lebih difahami jika kita membaca novelnya sebelum atau selepas menonton. Bagi aku ini filem yang bagus. Apa pun (meminjam kata-kata Amir), let’s the movie do the talking.





~ Aku fikir, Sofea Jane yang ini lebih daring dari Perempuan, Isteri dan ******!










(Untuk rekod)

H: Susuk yang merasuk

FILEM yang bagus tidak akan terhenti dinikmati penonton sebaik sahaja 'credit title' menguasai layar lebar. Sesungguhnya, Susuk adalah filem yang menepati kriteria ini. Segala 'twist' yang dikisar di dalamnya akan terus merasuk penonton dan bagi penulis sendiri, beberapa adegan berlegar-legar dalam fikiran biarpun sudah seminggu menonton filem ini ketika tayangan perdananya.

Begitu pun, tidak semua orang yang 'dirasuk' oleh Susuk akan menyukai keadaan ini. Sedia kita ketahui, naratif filem yang melanggar kebiasaan atau non-linear bukan sesuatu yang disukai oleh sebilangan penonton filem tempatan. Sudah banyak terjadi dalam filem yang cuba diolah oleh pengkarya filem kita untuk sedikit melanggar kebiasaan, mereka akan dicemuh kerana dianggap 'syok sendiri' oleh mereka yang membayar RM10 untuk terpesona dengan elemen klise seperti hero-heroin yang kacak-cantik jelita, pemandangan yang muluk-muluk dan balasan setimpal untuk antagonis di akhir cerita.

“Saya tahu ada antara kita pantang berfikir. Jadi kalau menonton Susuk buat anda perlu berfikir sangat saya minta maaflah..” demikian sinikal jawapan Amir Muhammad apabila ditegur tentang kekeliruan yang dicetuskannya dalam Susuk. Apa lagi yang mampu dijawab olehnya? Sedikit sebanyak, dia tidak mampu untuk mengubah sesetengah mentaliti yang enggan berfikir lebih panjang apabila disajikan sesuatu berbentuk 'puzzle' di dalam filem.

Jika sedikit 'twist' yang dihidangkan pun sudah mampu membuahkan ketidakpuasan hati penonton, penulis percaya elemen 'subtle' seperti penggunaan ayam sebelum pembunuhan berlaku di samping paparan Putrajaya sebagai simbolik pengaruh kuasa di dalam Susuk akan tambah mengundang bingung. Justeru harus diakui, Susuk ialah filem yang akan dianggap sangat baik oleh sesetengah penonton, manakala sebilangan penonton yang lain akan berasakan ia sebuah filem yang kacau.

Sekiranya anda berada dalam kelompok yang kedua, sudah semestinya ia sesuatu yang merugikan. Bagaimanapun, Susuk mungkin akan lebih mudah untuk dihadam sekiranya kita membaca novel yang digarap oleh Nizam Zakaria bagi versi Bahasa Melayu dan versi Bahasa Inggeris yang memakai tajuk 'The Evil Within' tulisan Amir Hafizi sebelum atau selepas menontonnya.

Nombor dua dalam Susuk

Dari segi lain - Susuk menurut Amir, banyak bermain dengan elemen dwiniti. Susuk sendiri mempunyai dua maksud iaitu susuk untuk cantik dan susuk tubuh. Susuk untuk cantik pula terbahagi kepada dua. Satu, susuk untuk memuaskan nafsu diri (untuk nampak cantik, glamor dan lain-lain) manakala satu lagi, susuk keramat yang akan lebih difahami setelah kita menonton filem ini. Bukan itu sahaja 'sumpahan' nombor dua dalam Susuk. Filem ini diarahkan oleh dua pengarah yang menampilkan kolaborasi kejap iaitu Amir Muhammad dan Naeim Ghalili. Selain itu, ada dua adegan yang tidak lepas potongan LPF untuk filem ini dan Susuk juga terperap selama dua tahun sebelum boleh ditayangkan di pawagam sekarang!

Antara kekuatan Susuk yang tidak dapat dinafikan ialah pemilihan pelakon-pelakon hebat yang berjaya menangani karakter masing-masing dengan cukup baik. Ida Nerina, Adlin Aman Ramlie dan Sofea Jane cemerlang sekali menampal ruang yang diberikan kepada mereka. Lakonan Sofea misalnya, biarpun hanya dalam lima babak berjaya mengumpan rasa meluat penonton dengan perangai 'diva'nya.

Lakonan Diana juga tidak mengecewakan, cuma penulis merasakan roh Susuk sebenarnya tidak benar-benar didalami oleh pelakon bermata bundar ini dan hanya difahaminya setelah dia menonton sendiri naskhah yang sudah siap. Ini kerana Diana pernah menyatakan di dalam sebuah artikel berkaitan sebelum ini, dia tidak faham mengapa wajahnya diberi solekan yang tidak selayaknya biarpun sudah 'memakai susuk'. Hanya setelah menonton filemnya, bukan sahaja Diana malah penonton sendiri akan faham mengapa pengembangan karakter Soraya dari aspek penampilan dilakukan secara berdikit-dikit.

Apa pun ada satu pesan penting kepada mereka yang bakal menonton Susuk - jangan keluar sebaik sahaja 'credit title' meluncur turun di akhir cerita kerana Susuk sebenarnya masih belum berakhir ketika itu!

Sinar Harian,
12 Ogos 2008




12 comments:

Amir said...

Terima kasih atas komen anda :-)

Saya, sarkastik? Eh, mana ada ;-)

doff said...

aku memang nak tengok sangat ini pelem. setelah baca review ko, lagi la ako rasa macam mesti tengok.

Rjuna said...

Spoiler= Huhu best dapat tgk aleeza kassim berbikini dan sofia jane berkemban/bogel

maaf aku menonton filem ini dikala bosan, 3 Bintang saja, kalau anda malas berfikir tonton saja filem lain

ada satu scene tuh aku pelik dukun dewangga yg suka mengintai, langgan pelacur jugak

sinaganaga said...

Nanti, pada entri yg akan datang, aku akan cerita pasal Aku 7 Sofea Jane. Tunggu!

pengeran cinta said...

hmm..tingin nak pakai susuk..
skang ni susuk gak..

'susukan' anak...hehehe..

oe~ said...

apa massage movie ni secara keseluruhan? tgk la sendiri ye tak.. hehh

areyoung said...

amir ~ Sama-sama & tahniah utk FFM baru2 ni : )

doff ~ Jgn tak tengok!

rjuna ~ tapi aleeza masih mengenakan panty putih kan ; P

Napa Dewangga mengintai? Baca novel Susuk baru faham!

naga ~ Euuu!

pengeran ~ Tengok la kat Mahkota Parade tuh : )

oe ~ Err... massage ada dalam 'Kala Malam Bulan Mengambang'... dalam ini filem tak ada.. hehehh

Pa'chik said...

haha... suka bila ko buat rebiu lagi... hahah...

amir cakap pasal berpikir... pasal ni kot...

>>>
04 Ogos 2008 : Harian Metro
TAK FAHAM JALAN CERITA

Oleh Hartati Hassan Basri

FILEM Susuk arahan bersama Amir Muhammad dan Naeim Ghalili akhirnya ditayangkan kepada umum pada 7 Ogos ini. Bukan apa, pembikinannya bermula awal 2006 dan dijangka untuk tayangan akhir tahun atau awal 2007.....

...Rabu lalu saya berpeluang menonton Susuk pada majlis pra-tonton di GSC, One Utama. Selalunya selesai menonton, di kalangan wartawan akan berbual sesama sendiri dan bertanya berapa bintang diberikan untuk filem itu.

Kesimpulan yang dibuat sama ada suka, tidak suka atau pun paling tidak jawapannya bolehlah. Tapi berbeza dengan Susuk kerana keluar panggung dengan perasaan keliru dan tidak faham jalan cerita. Ternyata bukan saya seorang begitu, malah hampir sebilangan besar wartawan yang hadir.

Apabila diminta penjelasan Amir, pengarah muda ini tersenyum sinis kerana orang tidak faham filemnya. Katanya, cerita Susuk mudah saja iaitu mengenai Suraya lakonan Diana Rafar yang menjadi jururawat, tetapi bercita-cita menjadi artis terkenal atau bintang....

...Ternyata jalan cerita Susuk cukup menarik, tetapi apabila divisualkan di layar perak, ia agak mengelirukan. Babak imbas kembali kehidupan Suzana masa muda (Suraya) menge lirukan hingga dirasakan Suzana dan Suraya hidup dalam masa sama, tetapi sebenarnya zaman berbeza.
<<<<<

heheh... jangan rebiu pilem yang kita tak paham kan...

Pegawai Khalwat said...

Sis, susuk memang menusuk aku, membuat aku banyak berfikir.

Ya, aku suka segala benda dwiniti dan non-linear ni. Memang bagus buat orang berfikir. Dan aku pun suka bila last sekali, tang ending aku kena fikir.

Tapi secara jujurnya yang kurangnya pada aku adalah rentetan plot yang mungkin buat orang tak faham atau rasa perlahana sangat perjalanannya.

Al-maklumlah, orang dah terbiasa dengan bentuk cerita yang linear.

Apa-apa pun tahniah. Susuk buat aku rasa macam menonton Dark Knight yang 2 jam setengah tu (rasa sama lama).

areyoung said...

pa'chik ~ tak baik gitu.. itulah ulasan dia.. dr kacamata seorg penonton yg keliru ;)

pegawai khalwat ~ iyalah.. soal suka ni kan universal.. takkan bila kita rasa tak best nak paksa diri kata best plak kan ;P

Gadis di Tepi Tingkap said...

Lepas baca tulisan kamu, saya rasa mau pegi ke panggung sekarang ini juga.

Apa khabar kamu? Bahagia kah?

:)

areyoung said...

gadis ~ Saya.. bahagia? Doakanlah ya.

Oh. Dan saya pun doakan kamu juga : )