Monday, December 24, 2007

Mell (i)

Mell kata Sha nak mintak cerai.

Dia kata camtu ketika kami lepak-lepak sementara b pergi menghambakan diri pada kerja dan sya ke kedai letrik berdekatan tengok tv. Masa tu kami borak-borak, sama macam dulu.

Kata Mell, masalah punca dari mak bapak mentua dia. Yang macam haram.

“Dorang suruh gua kerja. Gaji tujuh, lapan rat pun takpe janji kerja. Masalahnya gua takleh Da. Dari dulu mana gua pernah kerja,” katanya konfiden.

Dia pandang muka aku kejap, pastu hirup teh tarik. Aku buat-buat layan mesej.

“Dulu masa baru kawin, masa gua baru dapat duit projek setengah juta. Berapa lama gua tak kerja? Malam-malam pergi lepak, minum.. huha-huha. Gua tak kerja pun? Pasal masa tu dia tak nak blah. Pasal sekarang? At least masa tu gua tak sakit da.. macam sekarang.” Mell bebel lagi. Aku diam je walaupun aku tau duit tu dia dapat sebab jual tanah atuk dia sebenarnya.

Mell pandang langit.

Terus aku teringat waktu dulu kat bawah ofis konsert, kitorang selalu lepak Anandur lepas abis kerja. Satu petang, Mell cakap dengan aku satu hari nanti dia nak migrate. Dia kata life kat Malaysia tak seronok, orang tak open. Lagi pun dia terlalu kecewa dengan hidup. Banyak sangat kisah pedih yang dia hadap dari kecik. Bila dah besar, dia rasa banyak sangat konflik yang bergayut kat bahu dia kesan banyak pendam perasaan dari kecik. Dari sekian banyak petang yang kami lepak, petang tu aku paling ingat sebab petang tu Mell cerita kat aku, dia pernah tunjuk fuck pada langit sebab dah tension sangat.

“Ko lepas je la Mell dah dia nak sangat..” aku. Nada malas. Dah tak betah ber-lu-gua-lu-gua lagi dah. Konsert pun dah lingkup gamaknya?

Mell urut hidung pastu geleng kepala. Kemudian, dia tekan-tekan salah satu telefon bimbit yang dia ada. Sejurus pastu, dia dekap telefon ke telinga.

“Gua nak tanya member gua.. ada tak hakim yang boleh keluarkan arahan tak dibenarkan bercerai?” terang Mell tanpa disoal.

Aku diam je. Suka hati lu.

lompat

Aku cuma mahu skip entry di bawah.

Selebihnya, aku bosan kerana bekerja.

Hari ini!

Friday, December 14, 2007

his other half

Kau tak tahu bagaimana susahnya menggantung cinta pada orang yang liar.

Satu ketika, dendam menenyeh rasa yang tersisa.

Benci.

Monday, November 26, 2007

perjalanan baru bermula

BERITA BESAR! INI BERITA BESAR!

Nak tau apa?

Ehem, semalam saya bawa kereta dari rumah ke ofis, dan dari ofis balik ke rumah.

Hah. Kamu muntah? (Peduli apa saya. Btw, ada saya bagi tau ianya kereta oto?)

Apa-apa pun pun, ringankanlah hati untuk menyedekahkan al-fatihah kepada Allahyarham Hussein Abu Hassan yang kembali ke rahmatullah lewat pagi tadi kerana komplikasi buah pinggang ya.

Sekian.

Thursday, November 22, 2007

perkara ke berapa

Aku tak suka sebab bila dia bawak watak lelaki gatal, menjadi sungguh.

Aku tak suka sebab dengar kabar, dia poyo (siap letakkan nama dia pada motor dan kereta lagi!).

Aku tak suka sebab dia pernah kena tipu sebab nak nampak muda dan dapat gelaran.

Most of all, aku benci sungguh ayat 'kuat la pulokk!'

TAPI HARI ITU PERSEPSI AKU BERUBAH.

Apa yang aku nampak ialah seorang tua yang mengerah seluruh kudrat untuk nampak kuat (la pulokk!)

Aku lihat seorang lelaki tua dengan rambut beruban, terkial-kial untuk memakai gigi palsu.

Aku lihat kasih sayang seorang ayah pada anak dan isteri-isterinya.

Sesungguhnya, aku melihat warna-warni seorang manusia.

Wednesday, November 14, 2007

Mentaliti

Tarikh: Semalam
Lokasi: Sebuah spa

U tak kisah semua orang tau u pakai botox?

Dah betul aku pakai botox, aku ngaku la pakai! Aku ni bukan hipokrit macam diorang semua tu.

Watak idaman, ada?

Sebagai pelakon aku tak boleh memilih. Kalau orang suruh aku jadi kambing, aku jadi kambing. Kalau orang suruh aku jadi anjing pun, aku jadi la anjing!

Wednesday, November 07, 2007

Legasi

Kelmarin dulu.

Macam selalu, (bengang betul!) Astro suka tayang cerita2 70 @ 80-an waktu awal pagi. Pagi tu, aku teruja tengok Aziz M Osman berumur dalam 7 @ 8 tahun pegang watak utama.

Bagus betul lakonan budak dulu-dulu. Tak hairanlah, Aziz menang Pelakon Kanak-kanak Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik tahun 1976 di Pusan, Korea Selatan untuk filem Sayang Anakku Sayang ni (http://www.filemkita.com/).

Tapi yang kelakarnya kau tau apa?

Ada satu adegan membabitkan pengarah drama prolifik kita, Yusof Haslam. Dia jadi pegawai kebajikan masyarakat dalam filem tu.
Adegannya bermula dengan:

"Mengikut laporan yang saya terima... "

Ha ha!

Sekarang aku tau dari mana dia dapat dialog wajib drama Gerak Khas tu ;p

Friday, November 02, 2007

Pindah

Tidak.

Saya bukan berpindah blog seperti yang biasa dilakukan oleh segelintir blogger apabila 'terlanjur bercerita' di laman peribadi ;P .. Saya cuma berpindah rumah dari Puncak Perdana ke Bukit Jelutong. Masih dalam area Shah Alam, tapi dekat sikitlah untuk ke tempat kerja.

Saya juga masih bekerja di koran cakna biar pun kadang-kadang lelah menghadap waktu kerja yang tidak mengira Sabtu-Ahad dan siang-malam.

Erm, apa lagi mau update ya?

Oh ya. Selamat Hari Raya buat saya (dan kamu).

Wednesday, October 03, 2007

saya

.. ......... .. ......... ... ... .

Dan saya berdoa, saya tidak akan menyesal untuk menulis semua ini di sini, sebab saya tak tau nak buat apa apabila datang ofis terlalu awal pagi ini.

Tuesday, September 25, 2007

Mencari percaya

Jgn PERCAYA ckp kaunselor td, dia x iklas nk tlg u

# Apabila disakiti, namun tiada apa yang perlu dimaafi dan dilupakan, bagaimana harus saya bereaksi! : (

Thursday, September 20, 2007

Saya jawab Che Zaila!

5 things in my handbag/bag~

1) Henfon SonyEricsson p910i
2) Dompet merah kundang
3) Buku nota 'cakna'
4) Pas pekerja ngan tali 'Fu-Yoh'
5) Lip gloss dah nak abis

5 things in my purse~

1) IC alamat Setapak
2) Lesen mandu yang dah banyak kali renew tapi tak pernah digunakan
3) Kad bank
4) Kad kredit
5) Uwang yang tak seberapa!

5 favourite things in my favourite room~

1) Tilam tebal
2) Katil luas
3) Bantal empuk
4) Cadar lembut
5) Air-cond yang berfungsi dengan baik

5 things I would like/love to do~

1) Pergi holiday
2) Bukak bisnes sendiri
3) Beli dan bawak kereta sdn bhd
4) Pergi salun
5) Makan Nando's Extra Hot Peri2

5 things I’m currently doing

1) Berpuasa
2) Cuba menjadi orang yang lebih penyabar
3) Kuruskan badan (yo-yo-ow!)
4) Memaki hamun pembunuh Nurin - BINATANG SANGAT!
5) :: speechless::

(al-Fatihah untuk arwah Nurin Jazlin)

Wednesday, September 12, 2007

S.O.S.

Ada seorang kawan kamu mahu tahu, macam mana nak contact Dr. Howard Mierzwaik?

Thursday, September 06, 2007

Anatomi siapa

'Of course I knew. Wife always know..' kata isteri itu.

Dia bercakap sambil menahan getaran maha hebat di dalam dada paling dalam, untuk membalikkan imej tabah di cermin wajahnya.

Suaminya itu, ada membela seekor ikan di dalam penis.

Pembuluh penis suaminya dimasuki ikan itu ketika si suami bercuti bersama perempuan simpanannya di sebuah pulau.

Ternyata, isteri tidak memerlukan takdir untuk memaklumkan apa yang diperbuat si suami dibelakangnya.

'Once a manwhore, always a manwhore, right?'

Tuesday, September 04, 2007

Ditikam (aku mahu menulis 'rindu' tapi takut engkau muntah)

Percaya pada magis zaman kanak-kanak?

Demi tuhan, dahulu aku selalu merasakan zaman kanak-kanak aku adalah yang paling buruk, sedih dan basi berbanding mereka yang ditakdirkan untuk merasa makanan dan pakaian yang bagus-bagus sejak lahir dalam dingin air-cond, bersaksikan para doktor dan jururawat yang tersenyum tenang tanpa kalut-kalut menyahut teriakan pesakit di katil sebelah.

Aku juga fikir, menangguk ikan karin dan udang transparen dalam tudung saji emak, di bawah rembang matahari pagi yang sinarnya begitu mesra apabila sebati dengan kulit, tidak cool berbanding menyikat rambut Barbie di dalam bilik serba pink.

Hari ini, aku tidak tahu dan sungguh-sungguh tidak faham, kenapa pula kenangan-kenangan kampung yang tidak cool itu, terasa sangat basah dan menyenangkan apabila diingat kembali.

Malah, paya kecil yang mengalir ke kubur, kalbet sejuk yang redup dipayung pelepah sawit dan semak belakang rumah Mak Cik Mah sering menjadi escapism apabila aku rasa aku mahu lari dari masa. (Sampai sekarang aku juga hairan kenapa setiap kali bermimpikan kampung, semak belakang rumah Mak Cik Mah itu akan berulangkali muncul, terutama jika aku dikejar hantu atau berlari tanpa maksud).

Tahu kenapa aku tiba-tiba menulis entri ini dengan dada yang sarat dengan rasa rindu, kasih, damai, sebak dan segala bagai rasa syahdu? Kerana sejak ahir-akhir ini, aku begitu ingin menggenggam cita-cita, yang aku sedar aku mahukan itu sejak di bangku darjah 3, iaitu menulis!

Dan sebuah buku bertajuk Laskar Pelangi, karangannya Mas Andrea Hirata membuatkan rasa itu tidak terbendung lagi, membuatkan aku terlalu ingin menumpahkan segala rasa yang tidak pandai aku luahkan ketika kecil dahulu, dalam sebuah buku. Mungkin juga kerana ketika kecil dahulu, aku selalu merasa aku ini tidak difahami, justeru aku sangat ingin menyentuh hati kanak-kanak yang merasakan perasaan yang sama itu dengan membaca karya aku kelak.

Sebenarnya, aku malas membaca sejak meninggalkan sekolah namun dalam timbunan buku yang tidak banyak itu, aku benar-benar maklum ada sebuah karya yang paling aku sanjung - Totto Chan : Gadis Kecil Tepi Jendela.

Dan apabila membaca Laskar Pelangi, aku tahu bukan target untuk menjadi penulis best seller yang disasarkan oleh penulis kedua buku ini, namun niat yang wahid ialah membongkar emosi paling dalam yang tidak pernah karat dalam otak, agar sesudah itu mereka boleh tenang seolah-olah berjaya melangsaikan hutang pertama yang dibuat kepada teman sebelah di bangku darjah satu dulu. (Sekurang-kurangnya, itulah teori dalam angan-angan aku).

Barangkali bodoh untuk aku kongsikan di sini impian untuk menulis buku persis Mas Andrea dan Tetsuko Kuroyonagi dengan bakat serba comot yang aku ada. Tulisan ini juga sudah tentu bunyinya mengarut kerana aku menulis ini secara melulu, tergesa-gesa mahu melempiaskan perasaan yang terlalu sarat dalam hati ini sekian lama, tapi peduli apa.

Ini blog aku kan?

Sunday, September 02, 2007

Kekasih gelap

Kenapa sekarang ni banyak sangat lagu yang bertemakan kecurangan keluar radio hah?

Lirik-liriknya memang di luar kotak, tapi lagu-lagu macam inilah yang akan membuai perasaan mereka-mereka yang bercinta dengan hak orang lain. Tak pelik, kalau lepas tu mereka akan bangga mengisytiharkan lagu ini adalah lagu mereka dan menggunakannya untuk menguatkan misi rampasan kuasa.

Hei, jangan sampai aku cari kekasih gelap ya!

Marah ni!!

Wednesday, August 29, 2007

cita-cita itu air di tapak tangannya

Ada sesuatu yang mengetuk dari dalam dada. Hari demi hari.

Sampai satu ketika aku rasa seperti roma-roma menegak kerana tidak mampu menahan jantung yang hampir meletup. Serasa mahu menjerit tapi suara tertahan di kerongkong.

Kau tahu, tapi tak faham.

Kan.

Monday, August 27, 2007

Lelaki ini

Hari itu.

Semua mata melirik pada pemilik kemeja putih berambut paras bahu. Wajah kokonya manis dicalit kompak warna senada lengan.

Tangan dihulur; meja demi meja. Kebanyakannya membalas senyuman lelaki itu dengan pandangan penuh takjub pada mata, pada hidung, pada mulut, pada rambut, pada gigi, pada baju, pada seluar, pada jam, pada segala-gala yang ada pada dia.

Zie, yang sejak dulu tergila-gila pada lelaki itu - hingga pernah berkata mahu jadi perempuan kalau lelaki itu suka padanya, mengambil kesempatan bertukar ciuman di pipi. Iklan --> "Ah, berlaga pipi lelaki-perempuan pada zaman sekarang tidak membawa sebarang makna istimewa ya," kata Fasya Sandha dengan penuh sopan.

Lelaki itu pun sampai di meja kami.

Masing-masing. Tangan dihulur. Senyuman manis.

Pst, aku bukan seperti mereka tahu. Aku malah sempat menyokong lawak lelaki tulen di sebelah dengan mengekek apabila dia memperkatakan sesuatu. Tentang lelaki itu dan peminatnya, sudah tentu.

Tapi. Kenyitan mata separa spontan itu! Baru kini aku tahu, kenapa mereka tergila-gila padanya.

(Uh.. tapinya, aku belum termasuk dalam kelompok mereka oke?)

Ohhh...

Tuesday, July 31, 2007

Haru Biru

Tadi satu-satunya manusia yang biasanya paham apabila aku mengarut telefon. Satu yang aku suka dengan kawan yang seorang ini, dia tidak pernah jemu menalifon aku walaupun aku tak angkat panggilan telefon sebelumnya, haha.

Sudah, aku bukan nak cerita pasal kau, Nazri!

Oke, tadi aku katakan pada nazri, aku cinta sama Haru Biru. Katanya, kau tak baca blog aku eh? (Helloo... lu sapa? Haha.)

Jadi tadi, aku buka blog dia. Dan baca ulasannya pasal Haru Biru. Dan ulasan itu kembali mengingatkan bagaimana aku memuja (terlalu poyo perkataan tu, maafkan aku) filem ini setelah usai menontonnya. (Ya, secara percuma nok -jangan jeles).

Gila!

Gila!

Aku tak pernah fikir akan ada filem segila ini akan keluar di pawagam Malaysia dalam waktu terdekat ini, ketika aku belum bersedia untuk menerimanya.. haha.

APA PUN sebelum korang yang baca tulisan aku ini merasa teruja dan pergi menonton Haru Biru kemudian angkat jari hantu kat aku sebab ia tidaklah seagung mana, biar aku jelaskan.

Raja Azmi penerbitnya? Melihat pada ideologinya sebelum ini, aku tidak expect filem ini aku akan suka. Tapi bila dengar Adlin yang buat skripnya, aku fikir aku harus mencuba.

Dalam masa yang sama, aku risau juga jika dia mengecewakan aku seperti Saniboey dulu. Saniboey dahulu, aku cukup gemar baca ulasannya tentang filem dan lagu, namun bila dia buat 7 perhentian bersama David Teo, aku berasa sedikit kecewa (kecewa juga kenapa dia berhenti setakat itu ha? Aku masih teringin melihat hasil kerja seorang pengkritik ;P).

Sebelum tayangan, aku beli McD untuk dijamah ketika tayangan. Apa yang berlaku, aku tak sempat makan burger tu sampai ke sudah sebab aku terlalu sayang untuk tunduk mengambil burger tu. Percaya tak?

Sejak intronya ketika Que tengah dapor, pastu bunyi kereta berlanggar diikuti siren polis.. dah cukup untuk buat aku melopong.

Dan ya Nazri, aku juga 'suka gila' (aku perlu taruk calit tu supaya korang tak salah faham) bila Dynaz beristighfar sebelum dia menyerahkan diri pada Kid. Hisap dadah lebih teruk dari berzina? Cukup dikatakan, ini adalah lambang 'kejujuran' skrip Adlin ini.

Dud, aku fikir cuma orang yang pernah duduk dalam kepompong boleh tulis kisah rama-rama dengan bagus kan? Haha!

Dan harus aku katakan di sini, aku juga cukup tabik pada kualiti gambar filem ini yang compang camping. Haru Biru betullah!

Tahniah Adlin. Tahniah Shadan. Dan tahniah paling besar aku kalungkan pada Que Haidar dengan bakatnya yang gb tu!

Ada beberapa scene masih belum terjawab kan? Oke, mari kita nantikan sekuelnya kalau filem ini boleh jual k (syhttt.. nanti aku kena marah sama Raja Azmi)

WEI. Filem ni lagi baik dari filem P Ramlee tau! (Dr Rushdi? Haha.)

Minta maaf, tulisan ini dibuat dalam keadaan teruja dan tergesa-gesa. Tengoklah berapa banyak (!) yang aku taruk dalam tulisan ni ;P

Saturday, July 28, 2007

Tuhan menguji, kita menduga

Ada satu kejadian yang aku alami dalam dunia kerja, membuatkan aku belajar bahawa nilai sesuatu yang diberi itu bukan terletak pada 'besar harganya' tapi sejauh mana kita mengharapkannya. Apa yang berlaku biarlah aku simpan saja dalam otak selama mana aku mengingatnya, tapi ia memang mengajar aku sesuatu.

Oke, pernah tak alami macam ni.

(1)

Kau tengah sedap makan kat satu kedai dengan kawan-kawan. Tiba-tiba datang satu budak comot, muka ala Myanmar, tadah tangan dia sambil buat muka simpati.

Dalam masa 3 saat:

Kau pandang kopiah dia, susuri muka dia yang kau tengok tak adalah comot sangat, baju melayu kusam yang dia pakai, pastu selipar biru kedam di kakinya. Kau rasa, dia tak adalah susah sangat kot.

Cepat-cepat, kau geleng kepala dan sambung makan tanpa rasa apa-apa. Yang sempat kau cakap dalam otak cuma, 'sindiket ni'.

(2)

Kau jalan ke lrt Putra Masjid Jamek atau Puduraya misalannya, tuju ke kaunter nak beli tiket. Tiba-tiba, datang satu mamat pintas langkah kau.

"Assalamualaikum. Bang/kak, mintak tolong sangat. Saya nak balik Segambut ni, tapi dompet saya kena kebas. Kalau akak ada 2 ringgit pinjamkan saya dulu boleh, nak buat tambang la.. tolong la bang/kak."

Kau rasa cuak. Kau pegang beg kuat-kuat.

"Takde duit kecik ah-" Dan kau berlalu pergi laju-laju, tinggalkan dia terkulat-kulat.

Dalam fikiran kau mencongak, 'Kalau aku bagi, tah-tah dah sepuluh orang dia buat gitu... senang-senang dapat RM20. Tak nak aku tertipu sekali!'

GITULAH tuan-tuan dan puan-puan, corak pemikiran aku selama ini.

Faktor aku berfikiran macam tu mungkin kerana ketika aku masih hijau di KL ni, aku pernah bagi RM10 kat sorang mamat di Puduraya sebab dia kata, dompet kena kebas tapi dia kena balik kampung sebab bini dia sakit. Aku jatuh kesian bila tengok mata dia yang rabak. Aku mula terbayangkan kaki lima yang sejuk, mamat tu tidur mengerekot sambil mengenang nasib yang malang, tak cukup tidur semalaman sebab risau.. (Ya, masa tu aku tak tau apa-apa, tak kenal lagi muka orang pekena bal, dam dan sebagainya).

Punyalah sepupu aku marah, siap leter lagi kat aku kata aku dah kena tipu. Tapi sebab jiwa aku masih suci masa tu (hiks!) aku katakan padanya, biarlah kalau aku kena tipu pun sebab niat aku ikhlas. Kalau mamat tu tipu, itu soal mamat tu dengan Allah sebab yang penting, aku dah tunaikan tanggungjawab aku sebagai manusia. Sepupu aku terus terdiam, tapi dia tak tau apa yang dia katakan tadi telah mengasuh aku jadi prejudis.

Atau kalau pun tidak sebab sepupu aku tu sepenuhnya, aku fikir mungkin surat khabar dan majalah 3 jugak berjaya mendidik aku dan masyarakat supaya berfikiran negatif pada peminta sedekah atau mana-mana manusia yang datang meminta tolong, aku fikir. (Tapi, media tidak boleh disalahkan sebab apa yang dipaparkan ada benarnya juga, kan).

HARI ini, aku fikir aku mahu mensucikan sedikit jiwa aku yang kusam ni apabila memandang pada insan yang tak bernasib baik. Aku rasa aku perlu buat macam tu sebab bila aku fikirkan balik, kadang-kadang tuhan mungkin mahu menguji kita.

Sekeping syiling 50 sen mungkin tidak ada apa-apa makna bagi kita, tapi bagi seorang yang lapar, kegembiraannya mendapatkan sebungkus roti inti kelapa dari itu mungkin mengalahkan kegembiraan kita mendapat kerja pertama.

Nilai sesuatu tu bukan terletak pada besar sesuatu yang diterima, tetapi sejauh mana kita mengharapkan pemberian itu berada di atas telapak tangan kita.

Hei, cuba fikir. Kau terlalu risau kau akan tersilap memberi duit 20 sen pada anak kecil yang kau rasa anggota sindiket, hingga menghilangkan risau yang engkau sebenarnya membuatkan dia lapar sebab tak cukup duit nak beli makanan.

Bagaimana pun, kalau yang datang menadah tu kau lihat cukup sifat, cukup umur, sempurna pakaian, mata rabak lain macam, beg duit untuk mengisi huluran orang pun macam baru atau tiap-tiap hari dia itulah yang kau jumpa di situ menadah, hah.. itu mungkin kena fikir semula 2 kali sebelum menyeluk poket!

Wednesday, July 18, 2007

Cerita yang besar untuk CINTA yang kecil























Susah kalau dilahirkan dengan gen pengkritik ni, heheh.

Minggu lepas, aku keluar dengan hati yang puas amat setelah menonton Haru Biru. Aku bertekad mahu meluahkan kekaguman itu di blog ini, tapi sampai ke sudah tak tertulis. Dan semalam, setelah menonton 'Love is Cinta' dan kebodohannya, aku boleh meluangkan masa untuk -ini- sedangkan ada kerja yang harus diselesaikan.


***

Aku fikir, kerana nama Irwansyah dan Acha Septriasa itu meledak, 'Love is Cinta' terburu-buru dibuat.

"Hei. Mari kita buat filem di mana Acha menayangkan paha dan Irwan menyanyi lagu-lagu cinta untuknya. Paling penting, Acha mesti menangis dari mula sampai ke akhir filem, jadi penonton akan larut dalam emosi.

Tapi.. Irwan itu kayu ya? Oke, kita gantikan saja dia dengan pelakon lain yang lebih cengeng. Irwan kita munculkan sedikit-sedikit, itu pun lebihkan scene dia tersenyum dan berpeluk saja." Agaknya, itulah yang ada di fikiran produser ketika berbincang dengan pengarahnya, Hanny R Saputra.

Hanny Saputra tu abangnya Nicholas Saputrakah? Kalau benar, adui. Kenapalah Nicholas sanggup berlakon dalam filem ini, (setelah ditolak unsur komersialnya).

Dan Hanny Saputra, setelah garapannya dalam Virgin, Heart (Cermin, Tanpa Pesan aku tak tengok) aku tak tau macam mana kesilapan kecil macam 'konti lari' pun dia tak perasan.

Bayangkan, filem yang diuar-uarkan membuai perasaan remaja, mengabaikan kesempurnaan hingga watak Doni yang diperankan oleh Raffi Ahmad boleh bergerak-gerak tekak dan perutnya sedangkan ketika itu dia sudah mati. Baju si Acha (Cinta) ketika menari macam orang bodoh dengan Nicholas Saputra, mulanya ada chewing gum yang terlekat (aku fikir untuk menyuntik unsur 'selamba' dalam filem ini mulanya), kemudiannya hilang begitu sahaja.

Apa pun, Raffi Ahmad adalah pelakon yang sangat baik sekaligus memberi nyawa pada filem ini. Tau apa? Ketika scene mula-mula Raffi berlakon sebagai orang mati, aku sebenarnya sudah berkata pada diri, "Alamak mamat ni.. berlakon jadi orang mati pun kantoi, inikan pulak nak jadi watak utama!" Hakikatnya, mamat ni memang pandai berlakon, terutamanya kalau disuruh menangis!

Begitu pun, semua produksi filem ini harus berterima kasih pada pelakon yang memeran watak ibu dan ayah Ryan, kerana merekalah yang membuatkan filem ini bagus sedikit, dan aku menagis juga akhirnya, menonton cinta si ibu pada anak yang lebih real.

Dan kalau di Malaysia ini bercinta di atas bukit adalah signature Yusuf Haslam, aku fikir filem-filem Indonesia pula lebih senang memilih bangunan tinggal @ tak siap untuk memaparkan pasangan bercinta mereka. Mungkin kerana bangunan sebegini lebih bernilai 'seni'? Entahlah. Secara ikhlasnya, aku rasa filem Indonesia gemar sangat mengadunkan elemen perdana seperti cinta dan seks dengan sedikit elemen yang lebih 'seni' menerusi muzik, mainan props & budaya. Memang ada yang menjadi, namun ada juga yang kurang berjaya, dan menjadi mengada-ada.

Eh, sepatutnya aku menulis sedikit tentang 'cinta' dalam filem ini kan?

Itulah dia. Filem ini yang cuba mengangkat kebesaran cinta 'tak terluah' Ryan dan Cinta, bagi aku masih tidak berjaya membesar-besarkan sesuatu yang kecil. Ya, cinta Ryan nampak agak besar sebab Raffi Ahmad pandai menangis, tapi cinta Cinta terlalu kerdil sebab dia sangat bimbang jika dia tidak dicintai sehingga berkali-kali aku lihat dia mahu pergi kepada Nicholas Saputra yang pandai menyanyi (please la!) walaupun si Ryan dah hampir keluar biji matanya menangis, merayu dia percaya cintanya yang tak terluah dengan kata-kata.

Kata Hanny Saputra: Film yang bagus? Tidak harus dengan ide besar, tapi digarap secara detil. Didukung semua elemen film yang bagus. Dan harus ada pesannya, sekecil apapun, kalau tidak ada pesan hanya akan jadi sensasi. Dan harus pesan moral yang baik, karena unsur itulah yang membuat film disukai orang.

Apa yang aku rasa : Filem ini ideanya kecil, tapi cuba digarap menjadi besar. Sudahlah begitu, secara teknikal detilnya pun aku tak nampak. Kecuali unsur-unsur untuk membuai perasaan penonton seperti lagu-lagu mellow, sedikit sentuhan 'art & indie' (kononnya) dan skirt pendek Acha.. ya itu memang difikirkan secara detail.

Dan dialog ini yang bermaksud - 'Tutuplah pintu syurga kalau aku tidak dibenarkan untuk meluahkan perasaan cinta pada seorang gadis yang sedang tertunggu-tunggu ungkapan itu dari aku'. Woaa, terlalu besar untuk sebuah cinta yang kerdil seh!

Dahlah, terlalu banyak yang aku karutkan di sini sedangkan ada kerja yang belum selesai ;P

Tuesday, July 03, 2007

Aku dan Dia

Tuhan
temukan aku
rusuk yang hilang

Tuhan
telah kering
nama di loh mahfuz

Tuhan
jadikan dia
menjadi aku.

Entry Tertangguh - Buta

(Ketika marah)

Kami pernah putus gara-gara -- kau tahu sajalah kalau guna perkataan gara-gara itu.

Hanya Tuhan yang tahu sedih dan gembiranya aku ketika itu.

Dalam tempoh sebulan, aku beri peluang kepada diri untuk keluar blind date.

Pertama, orang yang aku jumpa bercakap soal angin dan pantai yang berbisik.

Kedua, mualaf yang perlu banyak ditunjuk ajar soal ugama dan budaya.

Hari ini, aku menyesal kerana tidak keluar blind date kali ketiga.

Serius.

Note: Entry ini pernah aku fikir mahu publish, tapi kekal dalam fon sahaja. Hari ini, aku publish kerana aku mahu delete dari fon ; P

Saturday, June 30, 2007

Semalam

Alhamdulillah segalanya selamat.

Walaupun;

*penat kerana bergegas dari shah alam ke HTAA dan tak sempat makan hinggalah jam 2.30am

*menunggu di luar bilik bedah yang sejuk gile selama 2 jam

*asyik nak meludah sebab rasa aku tersedut udara atau terpegang bucu yang tidak sihat

*terpaksa menahan kencing sebab risau nak guna tandas (akhirnya aku guna toilet comel di wad pembedahan kanak-kanak) ;P

*berada di KUBUR pada pukul 1.00am!

Semua itu tidak ada makna jika dibandingkan dengan sinar pada wajah ayah ketika aku, anak yang selalunya gagal ini suapkan bubur kacang padanya.

Sunday, June 24, 2007

My bad

Hanya tuhan tahu, berapa kali aku mahu menulis tentang ayah, namun memadamkan niat itu kerana aku tidak mahu menjadi manusia yang terlalu beremosi.

Ayah, ketika aku kecil adalah manusia yang memberi kasih sayang terunggul dalam hidup. Persepsi itu berubah apabila aku mempunyai adik kerana konsep ayah dalam memberi hukuman, yang besarlah yang salah apabila kami adik beradik bertengkar.

Kerana ayah tidak segarang emak, dialah yang mengajar aku menjadi manusia 'lemak'. Kalau dengan emak aku takut dicubit jika terkurang ajar, aku tega mendiamkan diri dan berjalan kaki ke sekolah walaupun ayah berulangkali memanggil nama aku dengan penuh kasih sayang ketika aku merajuk tidak diberikan wang untuk membeli buku cerita.

Ketika tadika aku pernah menangis mahu berhenti sekolah dan ayah hampir-hampir mahu menuruti kehendak tak senonoh aku tu kerana tidak sanggup mendengar aku merengek (ya, mujurlah ada emak).

Ketika emak membuntangkan mata apabila aku menangis kerana tidak pandai melukis pokok, ayah dengan rela hati melukiskannya dengan lawa.

Apabila aku menangis di telefon mengadu aku tidak mahu lagi tinggal di asrama (kerana takut hantu), ayah bergegas datang mengambil aku pulang.

Ah, terlalu banyak memori soal kasih sayang ayah.

Dan aku, anak yang tidak sedar diri ini, kian hari kian besar dan makin lama makin jauh dari ayah. Mungkin kejauhan itu aku cipta selepas mendapat malu dirotan ketika memakai seluar pendek di depan kawan ayah dalam usia 11 tahun, atau mungkin juga kerana ayah yang mula mengasingkan diri dari kami, entahlah.

Hari ini, hati aku luluh bila mengenangkan kembali bagaimana ayah gemar duduk menyeorang di tingkat atas rumah kami walaupun ketika itu kami adik beradik pulang ke rumah.

Aku pernah terfikir bagaimana ayah boleh hidup dengan membuang pandangan ke luar tingkap sedangkan kami bergelak tawa di bawah.

Sedangkan, kami pernah membesar bersama lelucon ayah. Jauh dalam hati aku tahu ada sesuatu yang tidak kena, namun selaku anak yang mementingkan diri aku tidak pernah bertanya, sekali pun tiap kali balik aku cuba untuk melayan ayah seperti biasa.

Satu-satunya terapi yang paling mujarab untuk aku menghilangkan masalah yang berlumut dalam fikiran ialah sajak. Dan aku, pernah cuba untuk membuat itu apabila mengenangkan ayah, namun tidak berjaya. Kerana setiap kali aku mengenang ayah, aku merasa sangat gagal.

Ketika pulang beraya lepas, ayah tiba-tiba menjadi lain. Ayah tiba-tiba bercerita kepada aku dan abang, sesuatu yang sudah lama dia simpan. Sekali lagi, hanya tuhan yang tahu apa yang aku rasa seusai cerita ayah. Demi tuhan, dialah lelaki paling penyabar dalam dunia aku!

Terlalu banyak kisah di bawah selimut yang menutup hidup ayah hingga dia tidak lagi menjadi seperti dahulu. Dan sudah tentu, ia akan terus menjadi lumut-lumut tebal dalam fikiran ini (dan aku akan terus-terusan merasa gagal). Aku harap, tuhan akan memberi masa untuk aku menyelesaikan perkara ini (sudah tentu, bukan dengan sajak!)

Tadi. Sebaik mendengar abang menangis dalam telefon, aku tahu, kaki ayah tidak dapat diselamatkan lagi. Aku kembali terkenang kata-kata ayah, "Kalau tahun ini tak selesai juga masalah, ayah nak kembali ke Kedah."

Minggu lepas, aku melihat pandangan mata ayah yang bersedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika rumah kami dicat lantaran luka pembedahan memotong jari kakinya yang belum sembuh. Kata Baen, ayah berulangkali mengucapkan kekesalan kerana sakit di saat anak-anak pulang dan aku memerlukannya.

Dan hari ini? Ah. Aku dapat melihat mimpi ayah menjadi pecah berkeping-keping. Pandangan matanya yang kelabu, merenung jauh ke langit tertancap kukuh dalam otak ini dan aku tidak fikir ia akan hilang dengan mudah.

Tuhan, aku tidak mahu menjadi anak yang gagal lagi. Cukuplah kegagalan2 besar lain yang aku pilih dalam hidup sebelum ini. Sekurang-kurangnya, kegagalan2 lain itu cuma menyakitkan aku, bukan insan yang meninggalkan memori kasih sayang paling besar dalam hidup ni.

Sesiapa, tak perlu fahami entry ini.. cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan ayah kerana banyak lagi mimpinya yang besar2 dan indah2 belum aku, anak yang sangat gagal ini sempurnakan.

Saturday, June 23, 2007

Kerja

Aku fikir ianya trailer.











Setelah 5 minit, aku masih fikir ianya adalah trailer (yang sangat panjang).



















10 minit kemudian, aku sedar aku sedang menonton Transformers.

Teka apa?

Aku kemudiannya bergegas keluar dari tayangan Transformers dan pergi ke panggung sebelah untuk menonton Diva.

Ya, apa yang korang fikirkan dah aku dengar dari mamat yang serahkan kembali henfon setelah aku keluar dari tayangan Transformers tu.

Thursday, June 14, 2007

Aku benci Kuala Lumpur

"Reverse! Reverse!" aku menjerit dalam nada gementar.

"ALLAHUAKBAR!"

Bas di hadapan semakin laju meluncur. Air yang pecah di tengah-tengah bercantum semula. Semua tergamam.

Aku yang berada di kerusi hadapan penumpang dapat mendengar bunyi halus air menerobos lubang kecil di mana-mana ada. Di kiri kanan manusia-manusia yang berdiri di kaki lima berteriak dengan muka cemas.

Mahu buka pintu?
Aku takut!

Mahu buka pintu?
Sudah tidak boleh!

Syukurlah (nak pakai font apa untuk tunjukkan aku benar-benar maksudkannya?) , dalam kelam kelibut tadi pintu tingkap sempat dibuka. Dan kami, keluar seorang - seorang melalui pintu tingkap bahagian pemandu.

Tidak, episod cemas belum berakhir.

Tahu apa, semasa aku menjengulkan kepala, kereta tiba-tiba bergerak kira-kira 35 darjah lantaran arus yang makin menggila.

Syukurlah (mahu guna warna apa untuk tunjukkan aku benar-benar maksudkannya?), pembahagi jalan yang sedikit tinggi menyekat tayar kereta dari terus mengikut arus. Kami selamat menyertai manusia lain di kaki lima itu.

Tidak, episod cemas belum berakhir.

Tiba-tiba datang sebuah bas yang dipandu oleh manusia bebal. Dia cuba memintas air, namun sudahnya terkandas di depan mata kami, di dalam air yang sudah mencecah paras dada.

Pintu terbuka, sepasang penumpang cuba memperjudikan nasib (nyawa) untuk menyertai manusia-manusia kaki lima yang mungkin pada pandangan mereka lebih selamat. Apa yang berlaku, salah seorang daripada mereka terjatuh dan di depan mata aku, aku dapat melihat rambut blonde-nya sahaja - bagaikan sabut yang terapung laju.

Syukurlah (kalau aku bersyukur, apatah lagi dia), kawan yang seorang lagi sempat menangkap baju atau seluar atau apa-apa pun milik perempuan itu. Mereka pun menyertai kami di kaki lima, menunggu air surut.

Beberapa jam kemudiannya aku hanya mampu melihat dengan perasaan berbaur air yang keruh, periuk besar yang berputar-putar, pokok palma dalam pasu besar yang bagaikan melayang dan air coklat yang malu-malu mencecah bumbung kereta.

Bakul ungu, periuk nasi, vakum, kasut oren, bil-bil, dokumen, kad touch n go, gula-gula hacks, Reader's Digest milik library, baju hujan, cd Dewa, cd Tribute to Titiek Puspa, cd Keane, cd Radja, cd Coheed & Cambria, kaset Zamani.. sesetengahnya masih oke, tapi nilai fizikalnya sudah susut.

Ya, ya.
Apa-apa pun, aku sangat-sangat BERSYUKUR kepadaNya.

Tuesday, June 12, 2007

Sinar Banar

Ya.

Bermula hari ini, konfem-la aku menjadi sebahagian daripada warga kerja surat kabar yang tengah mencanak naik jualannya di Kelantan tu (pa'chik tau kot) ;P

Aku fikir, inilah perkara terBESAR yang bakal berlaku pada aku lewat kebelakangan ini, tapi rupanya aku tersangatlah SILAP!

(Alhamdulillah, aku masih hidup untuk menulis ini.)

Monday, May 28, 2007

P E A C E

Agak sibuk kebelakangan ni.

(Aku sedang membuat rombakan hidup & kerjaya).

Lalalalalaaa....

Friday, May 04, 2007

Berahi

Satu waktu dulu, pada zaman kanak-kanak aku pernah merasa satu makanan yang lazat ya amat - sotong yang di dalamnya disumbat pulak dengan lauk yang lain. Aku dah lupa di mana aku mengecap makanan tu, tapi aku syak di rumah jiran sebelah. (Masa budak-budak dulu aku cukup suka bertandang ke rumah sebelah sampailah mak aku pekik panggil suruh balik makan baru aku balik. Kadang-kadang jiran aku terpaksa menipu ... ah tu cerita lain).

Itulah sekali aku makan sotong 'sumbat lauk' tu.

Sekali sekala aku teringat balik akan masakan tu tapi aku tak pernah lagi bertemu dengan hidangan serupa itu kecuali sotong sumbat pulut. Ah, sotong sumbat pulut tak berapa sedap bagi aku kalau nak dibandingkan dengan sotong sumbat lauk tu. Aku tak ingat sama ada aku pernah tanya pada mak pasal masakan tu tapi seingat aku tidak sebab aku tau masakan tu tak termasuk dalam senarai menu masakan mak. Sampai satu waktu, aku sangka sotong sumbat lauk tu adalah cuma satu mimpi indah semasa kanak-kanak atau mungkin makanan dari syurga yang termasuk dalam mimpi aku, tahu.

Kini, salah satu makanan kegemaran aku ialah bubur nasi berlauk. Beberapa minggu lepas aku ke Kg Baru untuk menikmati bubur tu di sebuah kedai yang dah lama aku tak jejak sebab biasanya kedai tu sesak. Tapi oleh sebab masa tu petang hari dan aku merupakan pelanggan pertama di kedai tu, aku singgah la jugak kat kedai susah-nak-dapat-parking tu.

Teka apa? Di situ aku terperasan sotong yang aku sangka makanan dari syurga tu, sebenarnya benar-benar wujud. Maka, aku pun beli 2 ekor dan makan dengan gembira.

Sekian, terima kasih.














(Bukann. Bukan yang ini..)


*Aku agak kecewa sebab tak sempat nak kata apa budak yang jual tu dah potong sotong kecik2 sedangkan aku nak makan seekor-seekor macam yang aku buat 'dalam mimpi'.

*Taklah sedap sangat, kuat pulak tu baunya. Tapi, aku puas hati sebab berakhirlah sudah salah satu persoalan dalam hidup aku ~ ; P

Monday, April 23, 2007

Bapak

Kami orang kerdil
tercatuk di papan petak
terserah pada bapak
ke mana kami nak diletak

(kerana kami orang kerdil) dan
di tangan bapak ada air.

Ya, aku pernah mengepos ini dulu!

Friday, April 20, 2007

Bercakap Dengan Botak

Inilah wallpaper bagi desktop pc aku.
(aku curi dari saharil -kau kenapa) hiks!














*
Semalam Botak datang, duduk berhampiran aku.

Katanya: Kau suka Kahlil Gibran?
Tak, aku suka Saharil - kata aku.

Kahlil Gibran Yahudi - kata Botak.
Jawab aku : Dia Kristianlah Tak.

"Oh, lain kali jangan percayakan aku sangat"
Botak tersengih sambil berlalu.

**
Aku sebenarnya percayakan Botak.

Bila aku periksa, rupa-rupanya Kahlil Gibran orang Lebanon, tapi sebahagian besar usia produktifnya dihabiskan di Amerika.
***
Bercakap pasal garam, aku fikir garam banyak beri rasa pada hidup manusia. Rasa pada makanan, rasa pada kehidupan. 'Aku lebih dulu makan garam!'-kata orang tua-tua.

Garam juga digunakan untuk menghalau makhluk halus dalam kehidupan mistik Melayu (eh, kenapa garam yang ditabur tok imam dalam Jangan Pandang Belakang nampak basah ek?)

Oleh kerana Kahlil kuat agama, aku cuba periksa apa kaitan garam dengan anutannya. Hasilnya, aku mendapat tahu jesus pernah menyamakan pengikutnya dengan 'salt of earth'.

Patutlah.
Kahlil membesar dengan Bible sebab keluarganya yang miskin tak mampu menghantarnya ke sekolah. Jadi, pandangan dan karyanya apabila dewasa banyak berlandaskan itu.

Oh, ya.
Aku lebih suka cucur masin dari cucur manis tau!
( kalau ada yang berminat nak taulah ;P )

Tuesday, April 10, 2007

Jangan Pandang Belakang

AMARAN: Kalau berhajat nak tengok filem Jangan Pandang Belakang, entry ini boleh 'menyepoilkan' anda!

JANGAN Pandang Belakang adalah 'cite antu' kedua aku tengok sengsorang lepas filem The Shutter. (Aku menganggap pergi tengok wayang seorang diri adalah satu terapi. Untuk menjadikan anggapan tu satu kenyataan 'feel gud movie' adalah pilihan terbaik, biasanya).

So semalam, lunaslah keinginan untuk tengok filem yang asyik dok tayang trailer dan the making of yang 'macam seram' je ni.

Bagi aku, JPB taklah seram sangat tapi unsur suspen yang dirancang Piere (selaku penulis skripnya) menjadi, dan boleh dibanggakan. Camana pun filem ni mempunyai kontra antara bagus dan tidak, jadi kalau ditanya pada aku berapa bintang, separuh daripada markah ekspektasi la yang aku boleh beri. Antara kontra yang aku maksudkan adalah pemilihan pelakon -ada yang berlakon dengan bagus, ada yang kurang (jurang bagus dan kurang bagus tu ketara benar sebab ada Piere (Darma) berganding dengan Intan (Seri) yang masih terlalu hijau untuk diangkat menjadi heroin. Kadangkala, kekakuan dan 'ke-skema-an' Intan aku rasakan mengikis bakat besar Piere). Paling superb, pemegang watak Opah-lah (Ruminah Sidek) - ah, siapa bleh lupa masa dia jadi Puteri Gunung Ledang dulu kan?

Elemen kelakar banyak memberi nyawa pada filem ini sementelah jalan ceritanya sangat apartment (pinjam kata2 Hattan, haha) dan boleh diagak. Walaupun cuma pada satu dua babak, kelakar yang dicipta menjadi dan melucukan. Scene guard di bangunan tempat kerja Darma, pemandu bas ekspres (Cat Farish) baiki kereta dan semua babak-babak yang diisi oleh Opah menerbitkan ketawa penonton. Selain tu ada jugak scene kelakar yang orang tak gelak, tapi aku gelak sorang2. Contohnya:

1) Masa hantu dok kat belakang kereta Darma -aku rasa hantu tu tak larat dah nak terbang mengikut kereta Darma sebab jauh kampung mamat tu jadi lebih baik dia tumpang je.
2) Masa kereta Darma rosak -aku tiba-tiba teringatkan kartun Lambok (salah sorang kartunis Apo yang suka jadikan hantu sebagai subjek dalam kartunnya). Kalau hantu tu ada dalam kartunnya, dah sah-sah hantu tu kena tolong baiki kereta.

3) Dalam gambar kat kamera digital, tunang Darma (Rose) yang mati bunuh diri tu kelihatan posing ngan rambut 'terlebih' kat pinggang. Mesti tersepit hantu raya yang dok kat belakang dia tu sebab Rose duduk kat sofa yang berpenyandar!

4) Aku tak paham apakah Metrowealth cuba membeli jiwa atau secara terang terangan nak mengutuk RTM. Setiap kali Darma menonton tv, dia akan menekan channel RTM. Tekan tv1, tv2 lepas tu buat muka bosan, pergi buat kerja lain atau tidur. Nampak sangat RTM bosan, digunakan hanya untuk menidurkan diri, hahah.

Sebenarnya kat atas meja ada remote astro, tapi Darma tak guna. Agaknya Astro kena potong pasal tak bayar, tu yang tengok RTM je, hiks.

5) Ada sekali tu masa hantu raya menyerang Darma, nampak sangat hantu tu didudukkan atas kerusi pastu ditolak. Ha ha hampeh!

6) Scene hantu muncul kat tepi cermin kereta tu memang seram, tapi boleh tak kalau tali yang digunakan untuk mengikat encik hantu tu dikendalikan dengan cermat sikit so dia tak nampak tergoyang2 macam tersangkut?

(Dalam Mukhsin, aku juga kecewa ketika Mukhsin nampak tergoyang2 masa diangkat ke atas dari bangku kat tepi sawah tapi aku maafkan sebab itu cuma mimpi).

7) Dan hantu raya tu. Masa dia muncul dalam keadaan terang benderang, topeng muka hantu tu especially bijik mata kaler putih yang nampak plastik gile buat aku rasa dia ni adik beradik ngan hantu scary movie.

Helloo. Kalau rasa tak nak keluar bajet lebih untuk mekap hantu betul2, lebih baik munculkan hantu tu dalam keadaan gelap atau suram2 je! Aku tengok mekap tangan, pakaian, rambut dah real dah, tapi muka hantu fake gile!) Kalau pun hasil *research Piere menyatakan hantu boleh kelihatan di tempat terang, tak yah diikut sangat la kalau bajet mekap hantu tu ciput, oke ;P

Apa pun, Jangan Pandang Belakang 14 kali ganda lagi menghiburkan AKU daripada filem2 profesor (madya) yang aku pernah tonton sebelum ni (tolak 7 Perhentian-lah, sebab filem tu masih boleh diterima kalau Erra tak berlakon).

Oke, cukuplah semua spoiler ni. Sekarang ni nak tanya, tau tak apa kaitan antara jagung dan hantu raya?

Jawapannya ada dalam... Jangan Pandang Belakang!
Haha.

*Dikatakan, Piere banyak membuat research untuk filem ni. Aku rasa research yang dimaksudkan adalah apakah jenis hantu yang selalu ganggu kat bangunan (hantu anak beranak takde muka), macamana rupa hantu terbang (masa hantu tu terbang ikut kereta meremang jugak bulu roma aku), kejadian seram yang selalu berlaku (dengar bunyi pinggan pecah tapi bila check takde, pintu kena ketuk kuat2) dsb. Yang aku tak suka, hantu main tv. Adush.
p/s : Lagi satu, kalau tangan antu raya tu tak tergapai2 lagi seram rasanya! ;P

Thursday, April 05, 2007

Update

Tak ada cerita menarik,

atau aku dah hilang rasa?

... .

Thursday, March 15, 2007

Mukhsin

Bukan sekali panggung Bukit Raja buat aku geram. Dulu masa menonton filem-apa-ya-aku-dah-lupa, pintu panggung tak ditutup setelah wayang bermula. Lepas tu ada dua orang mamat sepet yang duduk sama barisan dengan aku boleh bercakap kuat-kuat, siap gelak-gelak lagi masa wayang berlansung. Lagi geram hati aku, aku tau dua mamat tu bukannya beli tiket sebab dorang hanya duduk setelah wayang bermula dan ada orang yang claim kata itu seat dorang. (Lepas tu lah setan dua ekor tu duduk sama barisan ngan aku).

Malam tadi aku duduk barisan kedua sebelum akhir. Malangnya, sekarang musim cuti sekolah dan masa inilah mak-mak, bapak-bapak nak bawak anak diorang tengok wayang. Tengok Mukhsin pulak tu! Hadui.

Perlu ke intro-intro ni semua hah?

Perlu, sebab aku nak cerita betapa budak-budak yang menangis, gelak kuat-kuat, honggah seat aku masa tengah kusyuk menonton, bunyi batuk bersahut-sahutan.. semua tu aku lupa ketika keluar panggung.

Ya kawan-kawan semua, aku cintakan filem ini!

Tapi. Oleh sebab aku tak pandai, buta, tak kritis, tak belajar dan bongok utk mengulas apa inti pati filem yang aku tonton mengikut ilmu filem seperti kebanyakan kawan-kawan lain, bare in mind yang tulisan ini hanyalah dari lens seorang penonton biasa yang tidak pernah masuk kelas profesor Razak. Ada paham?
.........................................

YASMIN memang (mak) tok selampit yang sangat bagus. Dalam Mukhsin aku dapat melihat setiap scene yang mengisi skrin memuatkan cerita yang kadang-kadang lebih dari satu. Daripada awal filem hinggalah ketika krew-krew menari depan kamera, aku sibuk mencari cerita-cerita tersembunyi yang ada.

Bagi penonton yang tidak pernah menghadap hasil bikinan Yasmin sebelum ni, rasa aku mereka masih boleh menerima Mukhsin sebagai sebuah filem yang berdiri sendiri. Manakala bagi yang dah menonton Rabun, Sepet & Gubra.. ada hadiah untuk kita di dalamnya. Pelbagai watak sama ada utama mahupun pembantu membawa kita untuk lebih kenal dengan watak-watak dalam 3 filem tersebut. Bila melihat mereka semua dalam Mukhsin kita akan menjadi bertambah akrab dan jatuh sayang (aku betul-betul maksudkan frasa ni walaupun korang mungkin akan jerit POYO! kat aku) sebab memang itulah yang aku rasa.

Antara watak dan perwatakkan yang semakin aku fahami:

1) Kecintaan Orked terhadap hujan. Ketika Orked tersenyum memandang langit yang mendung, ohh! aku rasa nak menjerit kesukaan sebab akhirnya ada orang yang sama macam aku – tersengih bila langit jadi mendung.

(Aku tak tau apakah mak Yasmin suka menari dalam hujan dengan beliau, tapi aku dapat merasakan betapa hujan (air) dan Yasmin ada ikatan sentimental yang amat kuat sebab beberapa karyanya menggunakan hujan / air sebagai lambang ikatan kasih sayang. Antaranya main hujan mak-anak, mandi bersama laki-bini, kongsi segelas air laki-pompuan, mandikan ayah.. dan sebagainya.

Atau;

kalau rasa aku ni silap, Yasmin ni penggemar filem Hindustan agaknya ; P

2) Kenapa Mak Inom lancar sangat bercakap omputeh dan
berbahasa asing tu siang malam?

Sebelum ni kita tau dia bekas guru Bahasa Inggeris namun kalau di-compared ngan cikgu Benggali yang mengajar English masa aku sekolah dulu pun, aku tak dapat merasakan 'slang English cikgu-cikgu' tu kat dia. Ouh, rupanya Mak Inom dulu study kat England dan dia memang bercakap omputeh ngan keluarga sejak balik Malaysia lagi. Dia berangan nak jadi orang putih, kata jirannya. Haha.

p/s Yasmin kemudiannya backing Mak Inom indirectly bila Orked bagitau tau Mukhsin ayah dia masukkan dia ke sekolah Cina sebab dia dah pandai cakap Melayu ; )

3) Dalam Sepet aku agak heran bila Kak Yam terlalu bagus speaking-nya. Dalam Mukhsin kita akan tau yang Kak Yam dulu bukannya pandai speaking pun. Dalam satu scene dia berkata pada Mak Inom, 'You is naik first' . Haha.

Begitu juga keterbukaan Kak Yam menerima keluarga Pak Atan yang kadang-kadang berfikir di luar kotak Melayu. Kata Kak Yam, dia dulu pun menyampah juga tengok Pak Atan & Mak Inom yang takleh berenggang, tapi lama-lama dia dah jadi besa dah.

Oh, ya. Mungkin Yasmin sangat sayangkan orang gajinya. Seperti dalam Sepet, Mukhsin sekali lagi mengingatkan kita Kak Yam itu dah jadi anggota keluarga Pak Atan & tak boleh dianggap pekerja kat rumah tu. Cerita Orked pada Mukhsin, dia pernah kena kena pukul ngan Mak Yam sebab panjat tangki air. Bila cerita kat mak dia, Mak Inom pukul dia pulak sebab mengadu (refer iklan bedak kat tv tuh).

4) Aku tidak menganggap filem ini sebagai prekuel kepada Sepet, Gubra mahupun Rabun, tapi aku melihat kaitan antara mereka. Aku rasalah, (mungkin aku yg perasan dan ianya tak benar tapi biarlah) Yasmin telah memberi pelbagai clue tentang nasib awal mahupun akhir watak-watak yang dia perkenalkan kepada kita sebelum ini (dan kerana itulah aku kata ini bukan filem prekuel semata-mata). Kalau prekuel, apa kehal pulak kita dibawa melihat melihat kehidupan 'Orked -Sepet' yang kini bahagia di samping Jason & baby comel mereka kan.

Walau bagaimanapun, pendapat yang menyatakan Mukhsin adalah prekuel kepada 3 filem yang tersebut tadi mungkin kerana dalam Mukhsin kita dapat melihat 'Jason-Sepet' masa kecik yang suka dok usya Orked setiap kali balik sekolah (so Yasmin dah lama merancang Mukhsin ni lah?!), asal pelacur nama Kiah dalam Gubra dan beberapa watak lain lagi.

Sekali lagi, aku rasa mungkin ada terjemahan watak yang aku tersilap, namun biarlah sebab aku percaya Yasmin sendiri bangga apabila setiap penonton membuat tafsirannya sendiri – sebab ini kan petanda filemnya berjaya meresap dalam palotak kita?

Aku juga sukakan sinematografi (hellooo, ini filem Yasmin), skrip, kebanyakan pelakon yang dipilih, props yang mengingatkan aku zaman kanak-kanak dulu dan segala-galanya tentang Mukhsin. Aku tau sesetengah orang Melayu yang menonton Mukhsin akan terpukul dengan mesej yang tersurat di dalamnya namun jika 'dada' tu dibuka sedikit ketika menontonnya, kita tentu akan merasa lebih selesa. (Tapi masyarakat yang sebelum ini mengutuk filem-filem Yasmin dan melabelkannya sebagai 'pencemar budaya' rasanya akan berlembut sikit dengan filem ni memandangkan ia dah menang international award, apatah lagi Mukhsin dan Orked masih belum akil baligh kot). Haha.

Apa lagi yang aku nak kata tentang Mukhsin?

Erm, untuk mengetahui lebih lanjut lagi aku rasa korang patut pergi tengok sendirilah. Sebab walaupun aku rasa apa yang aku post ni dah cukup panjang, ada banyakkk lagi yang aku rasa aku ter-miss sebenarnya. (Mungkin, aku patut menontonnya lagi sekali kalau betul-betul nak hadam apa yang Yasmin hidangkan dalam Mukhsin).

Oh, ya. Untuk rekod Rabun aku suka gitu-gitu aje, Sepet aku sangat suka, Gubra suka jugak tapi kurang sikit daripada Sepet dan yang ini?

Wo ai ne –lah!



Orked mengajar Mukhsin banyakk perkara, begitu juga sebaliknya.

Wednesday, March 14, 2007

Masih Bodoh

Sayang
saya masih hidup
ini bukan kali pertama dibunuh.


*Aku baru balik dari melawat bekas editor yang kematian ayahnya.
Sesiapa, tolong sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Hj. Mohd Yusof Yahya ya!

Monday, March 12, 2007

Mengenang






Aku tengok Cinta semalam
(ya, aku selalu ketinggalan sesuatu yg bagus)

Akibatnya;

aku-menjadi-bodoh seharian.

Wednesday, March 07, 2007

Lawak Semalam

Seorang askar harus punya senapang, nelayan perlukan jala manakala petani mesti ada cangkul.

Aku..?

Ouh, aku cuma ada buku nota ehsan syarikat dan pen hitam yang dibagi free ketika Pameran Tamadun Islam tempoh hari.
Lawak, lawak!

Wednesday, February 28, 2007

Hantu Jeruk Perut Yang Melebih2

Oleh kerana Ghost Rider dah diwarnai merah - aku, Maman dan Addin tergaru-garu (kepala) memikirkan apa yang berbaloi dengan RM10 kami. Aku teringin jugak nak tengok Puaka Tebing Biru, tapi sebab Maman dah bagi amaran dia tak nak aku menyesal seperti dia beberapa hari sebelumnya, hasrat tu dibatalkan.
Akhirnya kami sepakat memilih Hantu Jeruk Perut. "Dengar kata ni filem paling seram kat Indon," kata aku menimbulkan perasaan teruja di hati kedua2 jejaka metroseksual tersebut dengan jayanya.
Maka, 40 minit kemudian terperangkaplah kami bertiga bersama puluhan yang lain dalam sebuah pengalaman yang seram (dan geram).
....
Hantu Jeruk Perut.
Cerita dimulakan oleh seorang pakcik tua yang sedang mencari frekuensi dangdut pada radio buruknya di tepi kawasan perkuburan Jeruk Perut (ceh! sebelum tu aku bayangkan jeruk perut merujuk kepada usus yang disimpan oleh seekor hantu perempuan berambut panjang kusut dalam balang di rumahnya). Tak taulah apa kenanya pakcik tu jadi bodoh duduk di situ (barangkali penjaga kubur agaknya) tapi yang paling penting adegan itu memperkenalkan kepada kami hantu paderi tanpa kepala yang bakal menjadi 'lead hantu' dalam filem ini (sepatutnyalah -nanti aku ceritakan kat bawah). Walau bagaimana pun, ini adalah satu-satunya scene di mana hantu paderi ini menunjukkan sifat baik dan kelakarnya kerana meminta api sahaja daripada orang tua tu sedangkan dengan watak-watak lain dia menjadi bukan main kejam lagi.
p/s kebodohan pakcik tua yang melepak di kawasan perkuburan tu akan menjadi biasa setelah cerita ini berjalan kerana rupa2nya ramai yang lagi bodoh dan gila daripadanya akan dipersembahkan selepas ini.
Apabila beberapa orang anak muda mengambil keputusan ke kubur berkenaan (ha kan!) selepas clubbing, Maman di sebelah dah mula menceceh. Macam tak logik aja, katanya. Aku pujuk dia dengan menyatakan budak2 tu tengah khayal, sebab tu buat kerja gila. Semata-mata nak tengok hantu maka budak bertiga ni mengelilingi kawasan kubur selama 7 kali. Sudahnya kesemua mereka mati dengan ngeri apabila sebuah kereta tiba-tiba muncul dan mencetuskan tragedi kematian tragis ala-ala Final Destination. 'Oh baguslah mati awal, dorang tak pandai berlakon,' aku masih cuba memujuk hati.
Kisah kemudiannya berkisar kepada Anna, penulis yang sedang membuat research untuk novel paranormalnya. Apabila dia berminat untuk mengkaji dan menulis tentang Hantu Jeruk Perut, dia mula diganggu oleh hantu perempuan persis Sadako. Oh dia bukan watak utama rupanya, sekejapan sahaja dia pun mati namun sebelum mati dia sempat menalifon Airin, seorang pelajar perempuan yang berminat untuk menjadi penulis novel popular sepertinya dan berpesan supaya Airin meneruskan kajian yang tak sempat dia sudahkan. Sejak itu Airin pun mula diganggu oleh sosok hantu perempuan berkenaan yang setiap kali muncul akan membawa bersamanya bunyi2an seperti air (selain atas dasar menimbulkan elemen seram tah apa kena mengenanya bunyi tu ngan hantu tu tak taulah) di samping hantu paderi tanpa kepala sekali sekala.
Barangkali pengarahnya tau setakat hantu paderi takde kepala belum cukup untuk mendatangkan jeritan di kalangan penonton, maka dia memasukkan juga hantu 'Sadako' berkenaan kat sini. Bilik air, bilik tidur, makmal sains dan hospital turut digunakan sehabis2nya untuk mengadakan pelbagai scene seram dengan mengabaikan sama sekali unsur logika. Hantu merangkak dari dinding, bola jadi kepala, hantu belakang jururawat, hantu belakang tirai mandi.. ah tak perlu tengok filem2 seram Hollywood, Korea dan Jepun lama2 sebab semua scene seram dalam filem2 tu dah dilambakkan kat sini!
Untuk mengambil hati penonton yang terkejut tapi rasa bodoh dengan scene2 tipikal ini agaknya, diadakan pula dialog seorang doktor stylo yang ironinya, menerangkan bahawa hospital yang menggunakan lampu malap dan ruang kecemasan sempit dan nampak lecah itu memang bakal ditutup kerana keuzurannya. Haha! (Belum masuk soal skirt pendek budak2 pelajar tu - apa di seberang pelajarnya boleh berskirt pendek bawah punggung?, pemilihan pelakon yang muda tapi memegang watak emak, rumah yang dah macam muzium dan aku sangat2lah tak paham kenapa orang2 dalam filem seram ni suka sangat buat kerja dalam gelap dan tidur di merata tempat dalam rumah?)
Diadakan juga watak2 berkonflik bagi menjadikan premis cerita nampak lebih 'sibuk' seperti cinta diam2 boyfren kawan Airin kepadanya dan si emak yang sering melayan depresi, namun semua ini masih tidak berupaya untuk menjadikan filem ini nampak bijak.
Sayang, pelakon yang baik seperti Angia Yulia (Virgin- filem yang ramai kata cuba menjadi seni sedangkan bermain dengan unsur seks tapi bagi aku masih bagus), berperan dalam filem yang terlalu berusaha untuk jadi seram namun hasilnya menjadi mengada dan melebih-lebih pula.
Yach, filem horror yang dimomokkan oleh syarikat produksinya sebagai filem terhorror di Indonesia ini memang 'horror' siot!





Katil (?), lampu merah, kerusi roda, bangku, troli, signboard bilik mayat.. asal boleh sinonim ngan elemen seram semuanya dilambakkan dalam ruang yang sempit ketika hantu bawak kepala lalu!

Friday, February 23, 2007

Seni Konon

Jejaka perasan ni (mengikut gelaran yang diberikan oleh lelaki normal) telah meng-tag aku. Nak tau 06 jenis benda yang pelik tapi benar tentang aku katanya.

Ini soalan yang agak mencabar memandangkan aku lebih banyak dirujuk sebagai mengada-ada daripada pelik oleh mereka-mereka yang rapat ngan aku. (Ayat merujuk aku sebagai mengada-ada itu di sesetengah waktu membuat aku merasa kiut tapi dalam keadaan tertentu membuatkan aku menyesal sebab tak bawak pisau dalam beg).

Takpalah, ni aku cuba senaraikan 06 perkara pasal aku, yang aku rasa sebenarnya tak adalah pelik sangat kot?

1- Aku jarang bertukar handbeg selagi ia tak koyak rabak (biasanya kat bahagian dalam beg tu sebab terkena kunci dan sebagainya). Ada sekali je aku beli handbag baru sebelum yg lama koyak, tu pun sebab ada sorang kawan sekerja kat ofis lamaaa dulu tegur tanya, 'Tu beg ke bantal busuk?' (shilake sangat soalan dia kan).

2- Menulis boleh meredakan tekanan perasaan aku serta merta. Macam yg aku tulis dalam komen kat blog tuan tanah, ada banyak resit-resit lama kat dalam beg aku. Bila marah, aku ambik satu dan hamburkan kemarahan kat situ. Ini menjadi alternatif mujarab jika aku tak bawak pisau dalam beg (sila rujuk para atas kenapa aku perlukan pisau kadang-kadang).

3- Aku sangat pendiam kalau tak kenal orang tapi kalau dah kenal dan orang tu boleh mengikut rentak aku (tak ramai yang aku jumpa biasanya), aku boleh menjadi peramah ya amat. Ini kerana aku merasakan tak ramai orang boleh bersabar ngan ayat-ayat poyo dan melankolik yang biasa aku gunakan.

4- Aku tak suka rumput basah. Comot.

5- Aku cintakan suasana mendung sebelum hujan. Sangat-sangat! Mengenangkannya pun dah buat hati aku berbunga-bunga.

Dan macam yang pernah aku post sebelum ni :

6- Aku takleh bau parfum beraroma rempah sebab nanti gigi aku akan terasa ngilu.

7- Aku jugak takleh bercakap sambil makan maruku atau keropok sebab nanti aku pening mana satu nak dengar; bunyi maruku ke suara aku?

8- Dan lagu-lagu Enrique Iglesias.. tolonglah jangan pasang tepi telinga ini sebab suara dia terlalu lemak, boleh buat aku muntah! Serius.

Haaa.. ambek. Daripada 06 terus jadi 08.

Err, aku nak kena tag orang ke? Err, seganla. Tapi, kalau ada yang berminat silalah berbuat demikian tanpa perasaan malu ye.

Rules & Regulations: Each player of this game starts out by giving 6 weird things about themselves. People who get tagged need to write in a blog of their own 6 weird things as well as state the rules clearly. In the end, you need to choose 6 people to be tagged and list their names. After you do that, leave them each a comment letting them know you tagged them and to read your blog!

Ok dah, aku nak siapkan artikel Karam Singh Walia ni.

p/s aku sebenarnya segan nak tag orang sbb dibuatnya org tu buat tak layan je, malu la aku. Oh..

Thursday, February 22, 2007

Poyo

"Kalau saya mengumpat atau seumpamanya orang lain, akak jangan percaya sangat ye. Saya sebenarnya bukan bercerita pasal orang lain, tapi diri sendiri"

Friday, February 16, 2007

Babi Yang Comel

Van buruk tu menyaksikan rosli, k. sheri dan em, aku berhimpit di tengah-tengah. Bahagian belakang penuh dengan majalah.

Tiba-tiba.

Sebuah lori memotong van kami. Di belakangnya ada pagar kayu yang jarang. Di balik pagar kayu itu ada sesuatu berwarna pink.

Pinky-pinky itu memerhatikan kami di balik pagar kayu. Mata pinky terkejip-kejip menahan angin yang menyapa. Lubang pada mukanya mengeluarkan titis-titis halus. Serta merta tingkap van bagai disapa gerimis.

"Ei, babi!" Aku separuh menjerit.

Comel betul.

~ Selamat bercuti sempena Raya Cina (ni bukan merahlah kak gee..)

Wednesday, February 14, 2007

Nikmat Paling Lazat - TIDUR

Mengantuklah.

Kalaulah aku penulis bijak atau rajin, tentu aku sekarang sedang mengingat proses kimia dalam diri yang berlaku hingga terjadinya kantuk kan. (Malangnya aku tidak). Sebenarnya aku rasa mata aku ni rasa mahu terkatup dan tangan rasa berat nak diangkat. Anehnya aku tidak membayangkan tilam atau katil, tapi aku teringatkan impian yang dah lama aku pasang. Idea datang ketika aku bosan di sebuah kompleks membeli belah ketika bersama kekasih lama dulu. (Ah si bedebah itu!)

Oh ya, fasal impian dan mengantuk kan. Begini, kalaulah.

Kalau satu hari nanti aku sewa satu premis dalam pusat membeli belah, kemudian aku bahagikan kepada dua bilik; satu untuk lelaki, satu untuk perempuan. Di dalam bilik itu aku letak pula langsir sebagai pembahagi, ada 8 katil misalnya. Dengan bayaran RM10 untuk setengah jam, kau boleh tidur sementara orang rumah membawa anak-anak membeli pakaian atau kau boleh merehatkan kaki setelah penat membeli tingkap. Kau rasa kau berminat tak?

Bagi tahu aku, mana orang lelaki yang betah menemi perempuan membeli belah? (Kalau ada pun itu mungkin di awal fasa dating atau berumah tangga). Lelaki lazimnya akan terus menuju ke tempat barang yang dicari, acukan pada badan kalau hendak membeli baju misalnya, kemudian terus bayar kalau berkenan. Habis kuat pun, mereka akan mencuba di fitting room.

Kalau perempuan, kita perlu meneliti setiap urat dan ira yang ada pada barang. Maklumlah, kita kan orang teliti dan tidak semborono.

Tapi itulah, kau berminat tak?

Tuesday, February 13, 2007

Karya Pertama

Kejap-kejap ketuk kotak-kotak kekunci, kemudian berhenti. Ketuk-ketuk lagi, garu belakang telinga. Terlebih garu, pedih sebab kulit di situ nipis.

Tap! Tap!

Tapppppppp! Backspace ditekan.

Ah susah rupanya! Rasa nak menjerit tapi kang ganggu orang sebelah pula. Kalau di rumah barangkali aku sudah menyembam ke dalam bantal sofa. Jerit kuat-kuat sampai hati puas. Tapi lumrahlah, kita ini bukankah macam sesumpah. Ok, perempuan mana yang tak pernah sendawa? Tapi, apakah engkau akan berbuat begitu di depan kawan-kawan? Ah, lelaki pun sama juga. Mencarut sana sini, jumpa perempuan letak tangan atas meja, keluarkan falsafah macam dialah Giacomo Casanova.

Acap kali, aku naik hairan memikirkan macam mana waktu di tingkatan 3 dulu aku boleh terfikir nak berhenti sekolah untuk hidup dengan menulis dan melukis kartun saja (kononnya). Tiap-tiap malam aku ketuk mesin taip second hand hadiah daripada mak dan taip macam-macam cerpen dan sajak.

Passion. Mungkin itu yang aku hilang agaknya. Dulu, hati aku membuak-buak rasa nak menulis. Nak-nak bila cerpen pertama yang aku karang dan hantar ke sebuah majalah komik keluar dalam majalah tu isu September '95. Punyalah kecewa aku bila tup-tup nama penulis pada cerpen tajuk 'Kebarung Hijau Pucuk Pisang' tu, ditaruk Adi Wijaya. Malulah wei, cerpen tu dibuat oleh sorang budak menengah rendah!

Hari ni bila kesempatan dah ada, tak jadi-jadi jugak. Mungkin jugak sebab aku risau kot. Aku dapati karya-karya sekarang penuh dengan perkataan atau frasa yang kadangkala buat aku tertanya-tanya, ‘Walawei, dia orang ni hafal semua falsafah dan terms biologi dalam otak setiap masa ke?’. Aku cuba-cuba juga 'google' sambil mengarang tapi sudahnya rasa macam apa-apa.

Ah, persetanlah dengan penulisan-penulisan yang membayangkan engkau dah mengembara ke serata pelosok dunia, pernah mendayung perahu di setiap lautan terkemuka, kenal jenis-jenis peluru dan punat pesawat segala!

Aku cuma nak menulis apa yang di depan mata. Apa yang aku, engkau, engkau, engkau dan dia tahu dan rasa. Okey, mungkin engkau lebih tau daripada aku, tapi siapa suruh engkau tak mau jadi penulis? (Ya, mungkin penulis yang menghafal nama-nama peluru itu sebenarnya memang jauh lebih pandai daripada aku, memang mereka pernah masuk sekolah tentera di mana-mana, cuma aku yang tak tau).

Aku mau menulis karya ringan saja sebenarnya, tapi bebas. Yang aku risaukan, terlalu banyak karya-karya 'tingkat tinggi' menguasai pasaran. Di sebelah sini ketinggian tahap imaginasinya hingga hero engkau perlu bersajak di balai ketibaan, di sebelah sana pula tahap pemikirannya sampai engkau perlu menulis tentang kedut katil selepas senggama. Aku mahu berada pada garis halus di tengah-tengah, namun mampukah aku dilihat nanti?

‘Wei, cerpen untuk tiga muka surat perlu berapa patah perkataan ha?

...................................

* Jadi macam satu tanggung jawab pulak bila aku ala-ala berjanji ngan sorang kawan nak join projek buku dia. Terpaksa aku cuba membuang sumpahan malas dalam diri, tapi ini je hasilnya. Weh, aku cuba tau!

Hipo

Katakanlah kan. Katakanlah... kalau tak dapat macam mana? Adakah aida akan kekal..?

Erm, tetap lah kot. Tapi artikel saya tanpa jiwalah.

Erm..

Wednesday, February 07, 2007

*Motor - Panggung Wayang - Escapism

Aku tak ingat bila kali terakhir aku membonceng motor tapi sedar-sedar semalam aku dah berada kat highway cuba mengimbangi badan daripada meleret melekap ke belakang badan alin yang menunggang skuternya dengan sungguh otai sekali.

Keras jugaklah Yan menunggu aku & Alin depan Poh Kong Bukit Raja tu, dalam pukul 8.15pm baru kitorang sampai. Yan nak tengok Hantu Jeruk Perut, tapi sian kat Alin pulak sebab dia tinggal sorang sekarang, Maman nak tengok Night At The Museum tapi aku dah tengok, sudahnya suara majoriti memilih The Holiday. Aku memang teruja gile nak tengok movie tu mengenangkan Jack Black berlakon kan.

Tak taulah sebab movie ni memang dragging atau perasaan aku je sebab tengok wayang dah malam, 2 jam 15 minit terasa lambat sekali berlalu. Ditambah aircond yang sejuk macam nak gila, scene pulak kebanyakannya melibatkan suasana sejuk, pundi kencing aku berfungsi dengan sungguh cemerlang.

Secara ringkasnya The Holiday berkisar kisah 2 wanita; Amanda, ceo kompeni buat trailer-editing yang berjaya dan Iris, penulis kolum Daily Telegraph yang bagus, tapi pathetic dalam bab cinta. Iris menjadi bodoh kerana menjadi hamba cinta kepada sorang lelaki di tempat kerjanya manakala Amanda punya masalah plak kehilangan 'feel' merasai kasih sayang sejak ayahnya meninggalkn rumah setelah berpisah ngan mak dia. Sebagai escapism, Amanda & Iris bertukar rumah ketika cuti Krismas untuk melupakan permasalahan yang melanda mereka. Amanda ke cottage comel milik Iris manakala Iris plak ke rumah mewah milik Amanda.

Kerana Amanda ini penuh dengan keberuntungan dari segi material, cottage kecil milik Iris itu barangkali boleh dibayangkan sebagai kebahagiaan yang tak tersangka, boleh berada di mana-mana, dengan cara yang tak terduga. Dengan apa yang ada pada dirinya Amanda boleh jadi kuat menerima apa sahaja possibility yang berlaku dalam hidup, namun lama kelamaan dia mula rasa macam batu. Di saat dia sepatutnya menangis, air mata sudah tidak mahu keluar lagi.

Manakala apabila Iris, yang sudah 4 tahun setia (&) gila kepada (so-cal) kekasihnya dan perasaannya mudah benar terbuai-buai walaupun apabila si jantan mengingatkannya kepada bikini merah (hello! lelaki mana yang tak teringat mende-mende gitu?) tiba di rumah serba lengkap milik Amanda, aku memandang yang kehidupan yang senang kadangkala mampu menjadikan kita seorang yang realistik dalam membuat atau menerima keputusan dalam hidup.

Tapi itulah, aircond yang sejuk -sedangkan scene kebanyakannya berlatarkan cuaca winter & windy, membuatkan aku menggeletar dan menguap beberapa kali. Mujurlah, Graham (Jude Law) sangattt hensem (kecuali masa bulu dadanya terpamer semasa dia berborak ngan Amanda di atas katil -euu!) dan Miles (Jack Black) masih menghiburkan.

Cuma kerana Diaz tu lebih popular dan langsing daripada Winslet agaknya, aku rasakan skrip yang memang dibuat khas untuk 4 pendukung watak utama ni lebih kepada Diaz. Akan tetapi, karakter Iris melontarkan banyak quotes yang indah-indah dan sungguh tepat sekali dengan realiti dunia kehidupan (yelah, dia kan penulis sedangkan si Amanda tu apa) jadi kemunculannya lebih diingati.

Setiap karakter berjaya memperlihatkan 'kepelbagaian' masing-masing, tapi The Holiday cacat sedikit kerana membiarkan kita tertunggu-tunggu terlalu lama untuk melihat sesuatu yang kita sudah tahu akan berlaku.

Menanti Graham dan Miles muncul, kita dihidangkan terlalu banyak scene yang tak berapa penting. Antaranya, ketika Iris berada dalam kapal terbang tambang-murahnya manakala Amanda dalam kelas pertama penerbangan untuk menunjukkan perbezaan antara mereka, tidak perlu sebenarnya kerana melihat jalan masuk ke rumah mereka pun sudah jelas perbezaan itu.

Kejutan pertama (yang tak berapa terkejut pun sebenarnya) apabila Amanda muncul di bar menghilangkan terus perasaan yang sepatutnya timbul semasa Amanda membuat kejutan ke rumah Miles. Dan Jack Black, biar pun menghiburkan, dia perlu buat sesuatu supaya orang (yang tak seminat aku kat dia) tak merasa bosan dengan karakternya yang itu-itulah.

Pada aku, apa yang membuatkan penonton akan terus melekat menonton The Holiday adalah, mungkin sebab nak tengok baju Cameron Diaz, muka hensem Jude Law dan.. apa lagi ye? Erm, mungkin adegan comolot kot. Apa pun, ni cuma pandangan orang yang BUTA FILEM macam akulah.


























Oh, ni ada beberapa quotes dari The Holiday yang aku rasa banyak berlaku dalam kehidupan kebanyakan kita~

Because you're hoping you're wrong. And every time she does something that tells you she's no good, you ignore it. And every time she comes through and suprises you, she wins you over, and you lose that argument with yourself, that she's not for you - Iris

Iris, in the movies, we have leading ladies and we have the best friend. You, I can tell, are a leading lady, but for some reason, you're behaving like the best friend - Arthur Abbott

@ sweet! sangat~

Iris, if you were melody... I used only the good notes - Graham
*aku sebenarnya nak taruk tajuk 'Percutian Bukan Escapism' tapi takut ada member terasa plak ;P

Wednesday, January 31, 2007

Kenalkan Aku Dr. Mata

Okey, mari kita serahkan tanggung jawab mendidik minda pembaca dengan kupasan isu-isu semasa / ilmiah kepada blogger-blogger yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman luas (jangan BACA - tua) ye. Hari ni aku teringin nak menulis pasal cinta. (Eh takkk, aku bukan salah sorang pompuan yg mengharap utusan mawar tanggal 14 hb ni tau, huhu.)

Sebelum tu aku nak ucapkan tahniah kepada mana-mana manusia yg kisah cintanya begitu lancar dan polos. Masa seragam putih biru cuba-cuba menulis / terima surat cinta, balik rumah berangan-angan, jumpa kat library konon belajar bersama, putus lepas spm, masuk ipt jumpa teman baru, berpeleseran sana sini, dapat kerja, kahwen.

Bagi yang kisah cintanya terkandas di tengah jalan kerana engkau meninggalkan atau ditinggalkan, tak ada pasangan sebab nafsu yang tersilap arah atau mungkin engkau tak cantik / tak hensem (ok, ok kita tukar alasan yg itu kepada cerewet memilih).. cerita kita mungkin tidak berapa sama. Penghujungnya, kita masih menanti pasangan yang tepat sedangkan kalendar terus bertukar.

Satu hari, katakan kita jumpa seseorang yang mula buat kita terbuka hati untuk membuat pinjaman bank. Mula berkira-kira nak anak berapa, rumah konsep macam mana hiasannya, macam mana nak tetapkan giliran balik beraya... tup-tup kita dapati dia dan kita makin tak searah pulak. Engkau bercakap dia pandang kiri kanan tak selesa, bila dia bersuara pulak engkau rasa nak radak perut orang yang lalu berhampiran sebab bosan. Perlukah engkau meneruskan hubungan sedangkan engkau dah tak sabar-sabar nak posing macam-macam atas katil pengantin (dan pelamin)?

Dalam banyak keadaan, cinta memang membutakan. Seorang kawan aku bercinta macam nak rak selama 3 tahun, sanggup tidur kat tangga hostel sebab balik lambat pintu dah ditutup. Boyfren pulak garang macam apa, asal marah campak helmet pada dinding, sepak tiang lampu sampai jalan dengkot-dengkot. "Kalau semua orang tak nak bersama dengan orang panas baran, sapa nak kawen dengan mereka dalam dunia ni?" Aku ingat lagi kata-kata akak tu dengan leher merah-merahnya. Sudahnya kahwen, tapi sebaik lahir anak pertama terus bercerai. Alasan?

"Sebab dia tak nak sembahyang,"kata akak tu semasa aku terjumpa dia di mahkamah tinggi berhampiran masjid jamek bersama seorang lelaki berkopiah.

Berbaloikah kita bersabar dengan harapan segalanya akan oke-oke saja satu hari nanti kalau dah hari ini pun kita dah lihat yang cinta tu lebih membawa kita ke arah negatif?

Banyak juga kisah di mana perempuan yang menerima huluran surat / emel cinta, tapi mereka tetap cam bangang mengejar lelaki 'abnormal'. Kadang-kadang lelaki yang mengejar mereka ni ada semuanya tapi kenapa tetap kena reject? Jawapannya ialah lelaki-lelaki ini terlalu mencuba. Kenapa banyak lelaki 'abnormal' menjadi pilihan perempuan? Sebab mereka biasanya cool, tak terlalu mencuba dan lelaki-lelaki ini juga tahu bila dan bagaimana nak menggatal dengan perempuan.

Kalau dalam kerja kita mungkin sanggup bersabar demi gaji setiap bulan, tapi dalam hal cinta sesama manusia, aku rasa kita patut berani membuat keputusan awal-awal. Ini kerana bila engkau dibuang kerja secara tiba-tiba sekalipun, engkau masih boleh menapak ke mana-mana syarikat untuk bertanya kalau-kalau ada kekosongan tanpa dipandang serong oleh orang tapi kalau engkau berpisah atau bercerai? Kau tak mungkin boleh menadah tangan di kaki-kaki lima ajak sesapa dating atau kahwen! (Abaikan cerita mana lagi pedih antara hilang kerja dgn hilang aweklah).

Tapi itulah, cinta itu kan boleh buat orang jadi gila. Membodohkan. Kerana itulah ada antara kita yang sedang mengulit cinta abnormal atau sudah ditinggalkan kekasih tak sebulu tahu mereka perlu buat sekian, sekian tapi mereka tetap berlambat-lambat mengambil tindakan atau tetap mahu mengenang yang telah pergi sehingga merana, terbaring kering, melungkup di tepi, bawah, atas katil sambil menjerit why? why me? pada tuhan.

Apa yang penting ialah kita tahu ke mana hubungan tu nak dibawa, adakah kita bersama dengan org yang tepat dan jika kita rasa ia tidak berbaloi utk diteruskan, blah saja.

Ya, ya. Apa pun kita mesti berbalik pada Yang Di Atas. (Terima kasih untuk komen anda)

Tuesday, January 23, 2007

Not Into Blues

Kadang-kadang aku rasa nak lari jauh-jauh sampai sesat.

Di satu tempat asing, aku ingin bercakap lama-lama dengan orang pertama yang menegur aku.

Aku nak ceritakan semua, segalanya.
Apa yang sudah berlaku, apa yang telah dilalui, apa-apa sahaja.

Setelah diluahkan segala, aku akan meminta diri untuk balik.
(cukuplah)

Sayangnya,
HIDUP INI BUKAN MUDAH SANGAT.

Tuesday, January 16, 2007

Meranduk Banjir

Sebenarnya apabila adik yang itu -yang menjadi rebutan di kampung kerana cantiknya, rajin, peramah, pandai mengambil hati orang tua, boleh dibawa ke tepi ke tengah datang ke sini, aku tahu dia akan menghadapi cabaran maha besar. Silap-silap, kemungkinan untuk dia mendapat calon terbagus bagi gadis dalam kategorinya mungkin akan terhapus jika dia tersilap langkah.

Malangnya, sudah lumrah kehidupan perempuan lebih tertarik kepada yang nakal.

Kalau kau pergi ke mana-mana sekolah, kau akan dapati pelajar yang menjadi ketua penyangak akan lebih diminati berbanding pelajar cemerlang subjek Kimia -percayalah. Para lelaki, mungkin ini jawapannya kalau kamu masih tertanya-tanya kenapa hingga ke hari ini tak ada perempuan yang sangkut dengan kamu!

Dia bukan adik betul aku, jadi aku diam sajalah apabila kakak-kakak dan abang-abang bising risaukan pilihan hatinya. Sehinggalah ketika meredah banjir bersama lelaki itu untuk ke rumah pengantin perempuan, aku rasa tak sedap hati pula. Bukan sebab dia tak berbual langsung di sepanjang perjalanan (walaupun mengucapkan terima kasih kepada wali pengantin perempuan yang sanggup membuang tenaga demi majlisnya) dan bukan juga kerana dia tak menghulurkan langsung duit minyak (atau sekurang-kurangnya turun mengisi minyak), tapi kerana satu insiden ketika menunggu bot ke kota.

Kalau pun engkau memang orang yang tak reti berbasa basi atau tidak diajar mengucapkan terima kasih, sanggup ke engkau berpayung sorang-sorang masa hujan sedangkan bakal-bakal ipar, anaknya dan ada orang tua turut berhujan di tempat kejadian?

Wajah semulajadi masam? Tak pandai berborak? Psiko? Tak sabo nak naik pelamin? Seingat aku, sepanjang perjalanan yang aku betul-betul dengar suaranya cuma ketika dia bertanyakan beg berisi pakaian pengantin. Hamboih!

Apa pun aku mendoakan adik akan bahagia dan penilaian mata kasar aku ni silap. (Paling utama, semoga lelaki itu tak mengulangi sejarah melibatkan balai polis yang pernah dia catat bersama isteri pertamanya).

Moralnya, lain kali nak buat majlis kawin jangan buat masa banjir eh? ; P

Monday, January 08, 2007

Antara Pen dan Dapur

* Sejak kecik hingga sekarang aku percaya kita mesti ada respek pada setiap manusia walaupun bayi. Ini kerana setiap manusia ada perasaan, cuma bezanya adakah dia mampu untuk menzahirkannya?

* Dulu-dulu bila balik dari sekolah rendah, aku suka mengerekot di tepi simen dinding mencuri sejuknya. Bila lenguh aku suka menulis pada buku latihan tahun lepas. Paling aku benci bila pen tak ada dakwat. Aku masih ingat, aku terlalu geram sampai aku tulis dengan mata bolpen 'Aku Benci Bila Pen Takde Dakwat', tenyeh kuat-kuat sampai muka suratnya koyak.

Kenapa aku mulakan ayat cerita pasal simen tu eh? Entah, mungkin sebab simen itu sebenarnya lebih aku ingati berbanding kisah pen dan dakwatnya.

* Kini bila aku meninggalkan alam persekolahan dan memasuki alam bekerja, apa yang dapat dirumuskan adalah aku paling benci bila internet connection lembab.

Oh, ya. Di ofis lama dulu perkara ini juga satu kepantangan bagi kawan-kawan yang lain. Salah seorangnya adalah orang yang duduk bersetentang dengan aku. Nampak skema, tapi masalah internet boleh membuatkan dia mencarut-carut pada status ym-nya. Dia adalah orang sama yang meng-sms aku di hari jadi tahun lepas dan membahasakan aku dinda hingga aku terperasan sekejap. Hampeh.

* Aku baru lepas menulis tentang Chairil Anwar untuk majalah (ilmiahku - oh). Aku dapat tahu sajaknya 'Aku' dijadikan pembakar semangat oleh mereka-mereka yang nak memberontak di Indonesia. Aku percaya ini, sebab ada juga sesetengah tulisan yang aku baca membuatkan aku rasa nak membunuh, nak mencurangi dan bermacam-macam lagi perlakuan yang biasanya bukan aku.

Ada antara mereka yang membuai perasaan aku rupa-rupanya gay. Apa boleh buat, penulis agung semuanya wajib menjadi gay, kata Vovin.

Sebelum tu, aku nak tujukan sajak (please-la!) di bawah untuk mereka yang tidak menghormati perasaan bayi -

Keji
pergi jauh-jauh
tinggal aku kering di sini.

Jangan datang semula
hampiri aku
anjing.

Sekian, tima kaseh.

Thursday, January 04, 2007

Peluh

Auntie tu.

Up! And Down!
Up! And down!

Dengan seluar seketat-ketat tidaknya.

Are you with me?

Baju sleeveless jarang jaring nampak perut.

Oh.. yeahh...

Ulang-ulang.

Sedang aku tetap terkial-kial. Kaki dan tangan sesat barat. Sudahnya, aku pilih treadmill saja.

"Eh. Mana cikgu tadi?"

"Tuuu.."

Oh, yang bertudung..? Dan berjubah tu?

Bertuah suaminya ;)

Blog Archive