Showing posts with label personal. Show all posts
Showing posts with label personal. Show all posts

Tuesday, September 25, 2007

Mencari percaya

Jgn PERCAYA ckp kaunselor td, dia x iklas nk tlg u

# Apabila disakiti, namun tiada apa yang perlu dimaafi dan dilupakan, bagaimana harus saya bereaksi! : (

Wednesday, August 29, 2007

cita-cita itu air di tapak tangannya

Ada sesuatu yang mengetuk dari dalam dada. Hari demi hari.

Sampai satu ketika aku rasa seperti roma-roma menegak kerana tidak mampu menahan jantung yang hampir meletup. Serasa mahu menjerit tapi suara tertahan di kerongkong.

Kau tahu, tapi tak faham.

Kan.

Tuesday, July 03, 2007

Aku dan Dia

Tuhan
temukan aku
rusuk yang hilang

Tuhan
telah kering
nama di loh mahfuz

Tuhan
jadikan dia
menjadi aku.

Entry Tertangguh - Buta

(Ketika marah)

Kami pernah putus gara-gara -- kau tahu sajalah kalau guna perkataan gara-gara itu.

Hanya Tuhan yang tahu sedih dan gembiranya aku ketika itu.

Dalam tempoh sebulan, aku beri peluang kepada diri untuk keluar blind date.

Pertama, orang yang aku jumpa bercakap soal angin dan pantai yang berbisik.

Kedua, mualaf yang perlu banyak ditunjuk ajar soal ugama dan budaya.

Hari ini, aku menyesal kerana tidak keluar blind date kali ketiga.

Serius.

Note: Entry ini pernah aku fikir mahu publish, tapi kekal dalam fon sahaja. Hari ini, aku publish kerana aku mahu delete dari fon ; P

Sunday, June 24, 2007

My bad

Hanya tuhan tahu, berapa kali aku mahu menulis tentang ayah, namun memadamkan niat itu kerana aku tidak mahu menjadi manusia yang terlalu beremosi.

Ayah, ketika aku kecil adalah manusia yang memberi kasih sayang terunggul dalam hidup. Persepsi itu berubah apabila aku mempunyai adik kerana konsep ayah dalam memberi hukuman, yang besarlah yang salah apabila kami adik beradik bertengkar.

Kerana ayah tidak segarang emak, dialah yang mengajar aku menjadi manusia 'lemak'. Kalau dengan emak aku takut dicubit jika terkurang ajar, aku tega mendiamkan diri dan berjalan kaki ke sekolah walaupun ayah berulangkali memanggil nama aku dengan penuh kasih sayang ketika aku merajuk tidak diberikan wang untuk membeli buku cerita.

Ketika tadika aku pernah menangis mahu berhenti sekolah dan ayah hampir-hampir mahu menuruti kehendak tak senonoh aku tu kerana tidak sanggup mendengar aku merengek (ya, mujurlah ada emak).

Ketika emak membuntangkan mata apabila aku menangis kerana tidak pandai melukis pokok, ayah dengan rela hati melukiskannya dengan lawa.

Apabila aku menangis di telefon mengadu aku tidak mahu lagi tinggal di asrama (kerana takut hantu), ayah bergegas datang mengambil aku pulang.

Ah, terlalu banyak memori soal kasih sayang ayah.

Dan aku, anak yang tidak sedar diri ini, kian hari kian besar dan makin lama makin jauh dari ayah. Mungkin kejauhan itu aku cipta selepas mendapat malu dirotan ketika memakai seluar pendek di depan kawan ayah dalam usia 11 tahun, atau mungkin juga kerana ayah yang mula mengasingkan diri dari kami, entahlah.

Hari ini, hati aku luluh bila mengenangkan kembali bagaimana ayah gemar duduk menyeorang di tingkat atas rumah kami walaupun ketika itu kami adik beradik pulang ke rumah.

Aku pernah terfikir bagaimana ayah boleh hidup dengan membuang pandangan ke luar tingkap sedangkan kami bergelak tawa di bawah.

Sedangkan, kami pernah membesar bersama lelucon ayah. Jauh dalam hati aku tahu ada sesuatu yang tidak kena, namun selaku anak yang mementingkan diri aku tidak pernah bertanya, sekali pun tiap kali balik aku cuba untuk melayan ayah seperti biasa.

Satu-satunya terapi yang paling mujarab untuk aku menghilangkan masalah yang berlumut dalam fikiran ialah sajak. Dan aku, pernah cuba untuk membuat itu apabila mengenangkan ayah, namun tidak berjaya. Kerana setiap kali aku mengenang ayah, aku merasa sangat gagal.

Ketika pulang beraya lepas, ayah tiba-tiba menjadi lain. Ayah tiba-tiba bercerita kepada aku dan abang, sesuatu yang sudah lama dia simpan. Sekali lagi, hanya tuhan yang tahu apa yang aku rasa seusai cerita ayah. Demi tuhan, dialah lelaki paling penyabar dalam dunia aku!

Terlalu banyak kisah di bawah selimut yang menutup hidup ayah hingga dia tidak lagi menjadi seperti dahulu. Dan sudah tentu, ia akan terus menjadi lumut-lumut tebal dalam fikiran ini (dan aku akan terus-terusan merasa gagal). Aku harap, tuhan akan memberi masa untuk aku menyelesaikan perkara ini (sudah tentu, bukan dengan sajak!)

Tadi. Sebaik mendengar abang menangis dalam telefon, aku tahu, kaki ayah tidak dapat diselamatkan lagi. Aku kembali terkenang kata-kata ayah, "Kalau tahun ini tak selesai juga masalah, ayah nak kembali ke Kedah."

Minggu lepas, aku melihat pandangan mata ayah yang bersedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika rumah kami dicat lantaran luka pembedahan memotong jari kakinya yang belum sembuh. Kata Baen, ayah berulangkali mengucapkan kekesalan kerana sakit di saat anak-anak pulang dan aku memerlukannya.

Dan hari ini? Ah. Aku dapat melihat mimpi ayah menjadi pecah berkeping-keping. Pandangan matanya yang kelabu, merenung jauh ke langit tertancap kukuh dalam otak ini dan aku tidak fikir ia akan hilang dengan mudah.

Tuhan, aku tidak mahu menjadi anak yang gagal lagi. Cukuplah kegagalan2 besar lain yang aku pilih dalam hidup sebelum ini. Sekurang-kurangnya, kegagalan2 lain itu cuma menyakitkan aku, bukan insan yang meninggalkan memori kasih sayang paling besar dalam hidup ni.

Sesiapa, tak perlu fahami entry ini.. cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan ayah kerana banyak lagi mimpinya yang besar2 dan indah2 belum aku, anak yang sangat gagal ini sempurnakan.