Saturday, November 08, 2008

Ayah

Sunday, 27 June 2007
My Bad

Hanya tuhan tahu, berapa kali aku mahu menulis tentang ayah, namun memadamkan niat itu kerana aku tidak mahu menjadi manusia yang terlalu beremosi.

Ayah, ketika aku kecil adalah manusia yang memberi kasih sayang terunggul dalam hidup. Persepsi itu berubah apabila aku mempunyai adik kerana konsep ayah dalam memberi hukuman, yang besarlah yang salah apabila kami adik beradik bertengkar.

Kerana ayah tidak segarang emak, dialah yang mengajar aku menjadi manusia 'lemak'. Kalau dengan emak aku takut dicubit jika terkurang ajar, aku tega mendiamkan diri dan berjalan kaki ke sekolah walaupun ayah berulangkali memanggil nama aku dengan penuh kasih sayang ketika aku merajuk tidak diberikan wang untuk membeli buku cerita.

Ketika tadika aku pernah menangis mahu berhenti sekolah dan ayah hampir-hampir mahu menuruti kehendak tak senonoh aku tu kerana tidak sanggup mendengar aku merengek (ya, mujurlah ada emak).

Ketika emak membuntangkan mata apabila aku menangis kerana tidak pandai melukis pokok, ayah dengan rela hati melukiskannya dengan lawa.

Apabila aku menangis di telefon mengadu aku tidak mahu lagi tinggal di asrama (kerana takut hantu), ayah bergegas datang mengambil aku pulang.

Ah, terlalu banyak memori soal kasih sayang ayah.

Dan aku, anak yang tidak sedar diri ini, kian hari kian besar dan makin lama makin jauh dari ayah. Mungkin kejauhan itu aku cipta selepas mendapat malu dirotan ketika memakai seluar pendek di depan kawan ayah dalam usia 11 tahun, atau mungkin juga kerana ayah yang mula mengasingkan diri dari kami, entahlah.

Hari ini, hati aku luluh bila mengenangkan kembali bagaimana ayah gemar duduk menyeorang di tingkat atas rumah kami walaupun ketika itu kami adik beradik pulang ke rumah.

Aku pernah terfikir bagaimana ayah boleh hidup dengan membuang pandangan ke luar tingkap sedangkan kami bergelak tawa di bawah.

Sedangkan, kami pernah membesar bersama lelucon ayah. Jauh dalam hati aku tahu ada sesuatu yang tidak kena, namun selaku anak yang mementingkan diri aku tidak pernah bertanya, sekali pun tiap kali balik aku cuba untuk melayan ayah seperti biasa.

Satu-satunya terapi yang paling mujarab untuk aku menghilangkan masalah yang berlumut dalam fikiran ialah sajak. Dan aku, pernah cuba untuk membuat itu apabila mengenangkan ayah, namun tidak berjaya. Kerana setiap kali aku mengenang ayah, aku merasa sangat gagal.

Ketika pulang beraya lepas, ayah tiba-tiba menjadi lain. Ayah tiba-tiba bercerita kepada aku dan abang, sesuatu yang sudah lama dia simpan. Sekali lagi, hanya tuhan yang tahu apa yang aku rasa seusai cerita ayah. Demi tuhan, dialah lelaki paling penyabar dalam dunia aku!

Terlalu banyak kisah di bawah selimut yang menutup hidup ayah hingga dia tidak lagi menjadi seperti dahulu. Dan sudah tentu, ia akan terus menjadi lumut-lumut tebal dalam fikiran ini (dan aku akan terus-terusan merasa gagal). Aku harap, tuhan akan memberi masa untuk aku menyelesaikan perkara ini (sudah tentu, bukan dengan sajak!)

Tadi. Sebaik mendengar abang menangis dalam telefon, aku tahu, kaki ayah tidak dapat diselamatkan lagi. Aku kembali terkenang kata-kata ayah, "Kalau tahun ini tak selesai juga masalah, ayah nak kembali ke Kedah."

Minggu lepas, aku melihat pandangan mata ayah yang bersedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika rumah kami dicat lantaran luka pembedahan memotong jari kakinya yang belum sembuh. Kata Baen, ayah berulangkali mengucapkan kekesalan kerana sakit di saat anak-anak pulang dan aku memerlukannya.

Dan hari ini? Ah. Aku dapat melihat mimpi ayah menjadi pecah berkeping-keping. Pandangan matanya yang kelabu, merenung jauh ke langit tertancap kukuh dalam otak ini dan aku tidak fikir ia akan hilang dengan mudah.

Tuhan, aku tidak mahu menjadi anak yang gagal lagi. Cukuplah kegagalan2 besar lain yang aku pilih dalam hidup sebelum ini. Sekurang-kurangnya, kegagalan2 lain itu cuma menyakitkan aku, bukan insan yang meninggalkan memori kasih sayang paling besar dalam hidup ni.

Sesiapa, tak perlu fahami entry ini.. cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan ayah kerana banyak lagi mimpinya yang besar2 dan indah2 belum aku, anak yang sangat gagal ini sempurnakan.

Ini adalah entry yang aku tulis tahun lalu, ketika ayah terpaksa dipotong kaki kirinya kerana kencing manis.

Manalah aku tahu...

1) Pandangan sayunya kerana tidak jadi balik ke utara raya lalu kerana emak tak sihat;

2) Pesannya acapkali pada kami adik beradik supaya jangan tinggal solat;

3) Kata-katanya ini panggilan telefon terakhir;

4) Tidur di pangkuan emak yang tak pernah dilakukan sebelum ini;

5) Menyatakan kesediaan untuk 'pergi' bila-bila masa;

ADALAH YANG TERAKHIR.

20 Oktober lalu ayah pergi. Padahal malam itu dia sepatutnya tidur di rumah aku.

Dan abang, sudah mengganti tikar di rumah untuk menyambut ketibaan ayah. Sudah merencana dan terbayang-bayang kegembiraan ayah apabila dibawa ke ceramah Pas Kg Medan.

Tapi, Tuhan ada rencana lain. Tak apalah, ayah pergi setelah segala-galanya dia lunaskan.

Dia sempat hantar Ain ke sekolah hingga hari terakhir PMR, sempat berikan senarai orang yang perlu kami cari untuk bertanya jika ada hutangnya dan lebih dari itu, dia sudah memberikan bekal ilmu agama secukupnya untuk kami agar dia terhalang dari seksa di sana.

Hingga ke hari ini pun, selang beberapa hari aku akan terbangun setelah bantal basah kerana bermimpi arwah masih ada, tapi apakan daya.

Lagi pula, ayah hanya dipanggil balik oleh pemilik yang meminjamkannya kepada kami.

Saturday, September 13, 2008

Hidup memang palat - Abu

SEBUAH lukisan yang cantik mungkin terdiri daripada bauran pelbagai warna, namun lukisan yang unik dan mahal tidak mustahil hanya terhasil daripada satu atau dua warna sahaja. Jika dirujuk kepada cabang seni yang lain - seperti filem atau muzik misalannya, ketidaksempurnaan tidak semestinya bermakna sesebuah karya itu murahan.

Dalam Kami The Movie, ketidaksempurnaan mendukung semangat indie yang menjadi inti pati filem arahan pasangan suami isteri, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak. Hinggakan, serba sedikit kecacatan pada sudut teknikal dan wajah tanpa mekap Liyana Jasmay akan membuatkan kita menganggapnya sebahagian isi yang menyempurnakan filem ini. Jika yang menontonnya adalah seorang remaja urban, maka ini satu bonus untuk anda. Ini kerana, apa yang dipaparkan dalam filem ini agak dekat dengan realiti sebenar kehidupan.

Kami The Movie sebenarnya sebuah projek seni yang dibuat ‘step by step’ oleh Red Films. Bermula dengan beberapa siri gig percuma diikuti tayangan drama bersirinya di kaca TV, klimaks kepada pengikut KAMI ialah tayangan filem. Sudah tentu, apa yang terpapar dalam filem mempunyai rantaian dengan drama bersiri namun satu yang harus ditabik pada sutradara dan penulis skrip, mereka yang tidak mengikuti keseluruhan drama pun masih boleh memahami dan mengikuti perjalanan cerita tanpa masalah. Tapi sudah tentu, mereka yang mengikuti karya ini dari akarnya akan lebih menjiwai apa yang mereka tonton di layar lebar.

KAMI mengisahkan lima anak muda yang memikul masalah masing-masing. Kesemua mereka mempunyai rahsia hidup dan perasaan terpendam yang membelit hidup. Masalah keluarga, cinta, dadah dan pengaruh rakan sebaya menjadi tunjang permasalahan setiap watak. Apabila kesemua subjek dan masalah diadunkan, lahirlah sebuah karya yang mewakili apa yang berlaku pada anak muda setiap zaman.

Kisah bermula apabila Abu (Nas-T) melarikan diri dari rumah pemulihan akhlak untuk meraikan hari terakhir Lynn (Liyana Jasmay), Sofie (Juliana Evans) dan Adii (Zayanah Ibrahim) menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mereka bersama Ali (Syarul Ezani). Sejak penyatuan kembali lima sahabat ini, hidup mereka dipenuhi ceria apatah lagi mereka berkongsi minat yang sama iaitu mendengar dan mengikuti konsert gig.

Masing-masing sebenarnya menyimpan rahsia. Lynn contohnya, sedaya upaya berahsia bahawa dia merupakan penulis sebuah kolum dalam majalah yang menggunakan nama Teka Teki setelah dia mengkritik pedas ‘band’ Ali dalam satu tulisannya. Ali pula bergelut dengan masalah keluarga setelah ibunya meninggalkan bapanya demi bersama lelaki lain. Abu terlibat dengan pergaduhan dan kecurian kerana kemarahan bapa yang tidak pernah surut, Sofie kecewa apabila ibunya tidak mahu melepaskannya hidup berdikari manakala Adii pula menghadapi kesukaran menemui pasangan hidup yang sesuai. Masalah yang melingkari hidup sekawan ini meruncing apabila ‘kisah lama’ Lynn ketika di kampung dahulu kembali menghantui hidupnya.

‘KAMI’ mungkin diangkat menjadi tajuk filem kerana penceritaan yang merujuk kepada lima anak muda ini. Dari segi lain, KAMI merupakan tajuk majalah ‘indie’ yang diusahakan oleh Lynn. Bukan itu sahaja, kaitan ‘indie’ dengan filem ini juga tercermin pada nilai bajet pembikinannya yang kurang daripada RM1 juta ringgit, jauh lebih rendah berbanding apa yang biasa dikeluarkan untuk sebuah filem arus perdana. Dengan bajet serendah itu, KAMI boleh dikatakan bergantung sepenuhnya pada kekuatan skrip dan olahan sutradara. Melihat dari sudut itu, filem ini boleh dianggap berjaya malah jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan beberapa filem kita yang menggunakan bajet jauh lebih besar.

Ada lagi faktor yang mampu menarik minat penonton ke panggung untuk menonton KAMI selain kerana filem ini sudah menghimpun ‘fan base’ sendiri menerusi tayangan drama bersirinya sebelum ini. Tidak dapat dinafikan, ‘tagline’ nakal yang digunakan iaitu ‘Hidup memang palat, tapi esok masih ada’ pasti mengundang seribu satu pertanyaan sejauh mana relevannya ungkapan itu dengan KAMI. Sesungguhnya ‘tagline’ yang sebegitu, ditambah pula dengan dialog yang bersahaja dan semberono menjadi nilai tambah ‘indie’ bagi KAMI selain lagu-lagu nyanyian Meet Uncle Hussain, Laila’s Lounge, Bittersweet dan kumpulan underground lain *(MUH underground ke? Btw, aku rasa vokal Lan terlalu sedap untuk sebuah band undergound. Huhu!)

Oh dan sekadar nota, kalaulah KAMI keluar pawagam lewat sepuluh tahun lalu ketika gig menjadi fenomena yang jauh lebih meriah berbanding sekarang, tentu filem ini senang-senang pecah panggung!
Filem Kami The Movie akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula hari raya pertama ini.


*Sian Abu (tido bawah)... dia selalu menumpang.

Wednesday, August 13, 2008

Menjejak Andrea Hirata

Sebenarnya, tajuk di atas boleh dianggap ejekan untuk diri sendiri. Kerana, aku tidak tahu langsung Andrea bekerja di Bandung hinggalah pesawat sedang membelah awan menuju ke Kuala Lumpur, itu pun setelah aku membelek-belek kulit dalam belakang Sang Pemimpi.
Sang Pemimpi satu daripada dua tetralogi laskar pelangi yang aku beli selain Edensor, memandangkan Maryamah Karpor hanya akan keluar hujung tahun ini (demikian menurut pekerja di kedai buku Toko Agung).

Sesungguhnya, Andrea hanya satu daripada satu lagi takdir pahit yang hanya aku ketahui dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Husein Sastranegara. Rupa-rupanya tuhan hanya mahu menemukan kami dengan seseorang yang kami cari di saat semuanya sudah terlambat.
Tolol. Di saat Dewa 19 dan Dewi-Dewi membuat persembahan di Chiampalas Walk, kami sedang berangkut beg ke Dago. Aku fikir, The Titans yang membosankan itu petanda kehidupan malam di Chi Walk sudah mati. Rupa-rupanya, aku ketinggalan menonton Ahmad Dhani membuat persembahan di tempat sendiri!

Tambah menyakitkan jiwa, kami bertanya pada orang yang salah apabila menyentuh soal musik di sana. Kesemua yang ditanya, terpasuk pramuwisata pemalas yang membawa kami ke beberapa tempat hanya maklum soal dangdut dan terlupa langsung memberitahu kami bahawa di Bandung ada kafe The Rock, project band milik Ahmad Dhani (ya, yang berlagak itu).

Maka, tinggallah Dewa 19 dan Andrea Hirata. Mungkin aku akan terus kekal sebagai penggemar berat kalian dari jauh sahaja.
Haihhh!

Kenapa aku jatuh cinta pada dia?

Monday, August 11, 2008

Susuk yang merasuk

NOTED: Aku dapat rasa satu kepuasan tersendiri bila Kala Malam Bulan Mengambang menang FFM. Yeay!

JIKA engkau orang yang.. err boleh merasa tersangat hepi semata-mata kerana sebuah filem, engkau tentu akan faham betapa seronoknya jika menonton sebuah filem yang mampu membuatkan engkau terkenang-kenang walaupun sudah seminggu menontonnya. Susuk sebagaimana tajuknya, ya tuhan, telah berjaya merasuk aku sampai ke hari ini.

“Saya tahu ada antara kita pantang berfikir. So kalau (menonton Susuk) buat anda perlu berfikir sangat saya minta maaflah..” sinikal sekali Amir Muhammad menjawab apabila ditegur kekeliruan yang dicetuskan seusai tayangan perdananya baru-baru ini. Man… aku benci sarcasticsm tapi Amir ini begitu memikat sekali bila bercakap. Aku enjoy setiap jawapan yang dia bagi untuk setiap pertanyaan bagaimana remeh sekalipun.

Tentang Susuk - secara peribadi, aku rasa penonton kebanyakan (dalam banyak segi aku juga tergolong dalam kelompok itu, aku akui) yang datang menonton mungkin akan berseronok dengan hantu yang ditampilkan sangat ganas. Bukan banyak cerita Melayu boleh keluar hantu yang berjaya menakutkan kan? Justeru, aku percaya seratus persen, jika trailer filem ini (atau filem hantu lain) dimasuk penampilan hantu bertaring, ia pasti akan menjebak penonton ke panggung (tanyalah Shuhaimi Baba).

Bagaimanapun, Susuk turut menghidangkan twist yang memang menjadi kebencian sesetengah orang. Filem dengan naratif non-linear juga harus diakui, bukan karya yang bakal ditabik oleh penonton kita. (Kalau tak, tak adalah aku dengar beberapa budak punk menjerit suruh dipulangkan duit tiket lepas menonton Cloverfield awal tahun hari tu.)

Dari segi lain, Susuk kata Amir, banyak bermain dengan elemen dwiniti. Susuk itu sendiri ada dua maksud iaitu susuk untuk cantik, dan susuk tubuh. Susuk untuk cantik tu pulak ada dua, satu untuk memuaskan nafsu diri (untuk nampak cantik, jadi glamour dsb) dan satu lagi, susuk keramat yang akan lebih difahami setelah kita menonton Susuk.

Selain tu, ada lagi sumpahan nombor dua dalam filem ini. Pengarahnya pun dua (Amir Muhammad dan Naeim Ghalili) dan potongan LPF pun ada dua jugak untuk filem ini. Eh, eh ada lagi. Filem ni terperap selama dua tahun sebelum boleh ditayangkan di pawagam sekarang!

Dari segi lakonan, tak usahlah kita nak mempertikaikan lakonan Ida Nerina dan Adlin Aman Ramlie walaupun diorang ni dikenali antara artis yang ‘kekwat’ di kalangan wartawan. Tak apalah, mereka tahu mereka bagus kot. Atau, mereka antara orang seni yang ada sedikit persamaan gen dengan Ahmad Dhani agaknya (itu cerita lain).

Tapi paling superb, lakonan Sofia Janelah. Walaupun cuma 5 scene, aku takleh lupa bila dia sebut “JAHAN..NAMMM’ sebaik sahaja bangun dari tidur. Tapi aku fikir, scene itu aku kenang sebab aku perempuan. Sebab kalau engkau lelaki, engkau tentu akan lebih terkesan saat Sofia dipakaikan susuk, SERIUS.

Diana Rafar. Lakonan dia tak mengecewakan. Tapi aku percaya, dia sebenarnya kurang faham tentang roh Susuk hinggalah dia sendiri menontonnya bila filem ini sudah siap. Ini kerana dia pernah mengaku dalam satu artikel, dia tak faham kenapa solekannya tipis walaupun masa tu dia dah pakai susuk. kalau tak percaya kenapa aku kata dia tak faham tentang watak dia ini, tontonlah Susuk dan seperti Diana, engkau akan faham kenapa pembangunan karakter dan penampilannya dibuat berdikit-dikit.

Paling utama, Susuk sebenarnya akan lebih difahami jika kita membaca novelnya sebelum atau selepas menonton. Bagi aku ini filem yang bagus. Apa pun (meminjam kata-kata Amir), let’s the movie do the talking.





~ Aku fikir, Sofea Jane yang ini lebih daring dari Perempuan, Isteri dan ******!










(Untuk rekod)

H: Susuk yang merasuk

FILEM yang bagus tidak akan terhenti dinikmati penonton sebaik sahaja 'credit title' menguasai layar lebar. Sesungguhnya, Susuk adalah filem yang menepati kriteria ini. Segala 'twist' yang dikisar di dalamnya akan terus merasuk penonton dan bagi penulis sendiri, beberapa adegan berlegar-legar dalam fikiran biarpun sudah seminggu menonton filem ini ketika tayangan perdananya.

Begitu pun, tidak semua orang yang 'dirasuk' oleh Susuk akan menyukai keadaan ini. Sedia kita ketahui, naratif filem yang melanggar kebiasaan atau non-linear bukan sesuatu yang disukai oleh sebilangan penonton filem tempatan. Sudah banyak terjadi dalam filem yang cuba diolah oleh pengkarya filem kita untuk sedikit melanggar kebiasaan, mereka akan dicemuh kerana dianggap 'syok sendiri' oleh mereka yang membayar RM10 untuk terpesona dengan elemen klise seperti hero-heroin yang kacak-cantik jelita, pemandangan yang muluk-muluk dan balasan setimpal untuk antagonis di akhir cerita.

“Saya tahu ada antara kita pantang berfikir. Jadi kalau menonton Susuk buat anda perlu berfikir sangat saya minta maaflah..” demikian sinikal jawapan Amir Muhammad apabila ditegur tentang kekeliruan yang dicetuskannya dalam Susuk. Apa lagi yang mampu dijawab olehnya? Sedikit sebanyak, dia tidak mampu untuk mengubah sesetengah mentaliti yang enggan berfikir lebih panjang apabila disajikan sesuatu berbentuk 'puzzle' di dalam filem.

Jika sedikit 'twist' yang dihidangkan pun sudah mampu membuahkan ketidakpuasan hati penonton, penulis percaya elemen 'subtle' seperti penggunaan ayam sebelum pembunuhan berlaku di samping paparan Putrajaya sebagai simbolik pengaruh kuasa di dalam Susuk akan tambah mengundang bingung. Justeru harus diakui, Susuk ialah filem yang akan dianggap sangat baik oleh sesetengah penonton, manakala sebilangan penonton yang lain akan berasakan ia sebuah filem yang kacau.

Sekiranya anda berada dalam kelompok yang kedua, sudah semestinya ia sesuatu yang merugikan. Bagaimanapun, Susuk mungkin akan lebih mudah untuk dihadam sekiranya kita membaca novel yang digarap oleh Nizam Zakaria bagi versi Bahasa Melayu dan versi Bahasa Inggeris yang memakai tajuk 'The Evil Within' tulisan Amir Hafizi sebelum atau selepas menontonnya.

Nombor dua dalam Susuk

Dari segi lain - Susuk menurut Amir, banyak bermain dengan elemen dwiniti. Susuk sendiri mempunyai dua maksud iaitu susuk untuk cantik dan susuk tubuh. Susuk untuk cantik pula terbahagi kepada dua. Satu, susuk untuk memuaskan nafsu diri (untuk nampak cantik, glamor dan lain-lain) manakala satu lagi, susuk keramat yang akan lebih difahami setelah kita menonton filem ini. Bukan itu sahaja 'sumpahan' nombor dua dalam Susuk. Filem ini diarahkan oleh dua pengarah yang menampilkan kolaborasi kejap iaitu Amir Muhammad dan Naeim Ghalili. Selain itu, ada dua adegan yang tidak lepas potongan LPF untuk filem ini dan Susuk juga terperap selama dua tahun sebelum boleh ditayangkan di pawagam sekarang!

Antara kekuatan Susuk yang tidak dapat dinafikan ialah pemilihan pelakon-pelakon hebat yang berjaya menangani karakter masing-masing dengan cukup baik. Ida Nerina, Adlin Aman Ramlie dan Sofea Jane cemerlang sekali menampal ruang yang diberikan kepada mereka. Lakonan Sofea misalnya, biarpun hanya dalam lima babak berjaya mengumpan rasa meluat penonton dengan perangai 'diva'nya.

Lakonan Diana juga tidak mengecewakan, cuma penulis merasakan roh Susuk sebenarnya tidak benar-benar didalami oleh pelakon bermata bundar ini dan hanya difahaminya setelah dia menonton sendiri naskhah yang sudah siap. Ini kerana Diana pernah menyatakan di dalam sebuah artikel berkaitan sebelum ini, dia tidak faham mengapa wajahnya diberi solekan yang tidak selayaknya biarpun sudah 'memakai susuk'. Hanya setelah menonton filemnya, bukan sahaja Diana malah penonton sendiri akan faham mengapa pengembangan karakter Soraya dari aspek penampilan dilakukan secara berdikit-dikit.

Apa pun ada satu pesan penting kepada mereka yang bakal menonton Susuk - jangan keluar sebaik sahaja 'credit title' meluncur turun di akhir cerita kerana Susuk sebenarnya masih belum berakhir ketika itu!

Sinar Harian,
12 Ogos 2008




Tuesday, July 08, 2008

'Sepi Itu Indah'

HARI ini, lahir sebuah filem yang berjaya memberi keterujaan kepada penggemar filem tempatan; tidak kiralah sama ada ia berjaya meraih kutipan yang membanggakan mahu pun tidak kelak. Manakan tidak, kesemua penonton terutamanya mereka yang pernah mengagumi filem Cinta pasti ternanti-nanti apakah Kabir Bhatia, karyawan yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia tahun ini mampu mengulangi keindahan Cinta yang masih sukar dilupakan.

Jawapannya, ya. Namun biarpun berkali-kali Kabir serta penulis skrip, Ara dan Mira Mustafa mengingatkan audien agar tidak mengenang Cinta ketika menonton Sepi, ada satu faktor yang membuatkan elemen Cinta terus diingati. Pautan cerita tidak boleh dijadikan persamaan kerana dalam Cinta, kelima-lima kisah boleh hidup tanpa bantuan kisah lain manakala dalam Sepi pula, terdapat satu babak yang memberi nyawa kepada ketiga-tiga watak di dalamnya.

Apa yang sama ialah ‘signature’ Kabir iaitu kesempurnaan dari sudut visual atau kerja kamera. Cerewet Kabir dapat dilihat apabila dia menyatakan ketidakpuasan hatinya pada visual ketika tayangan perdana bersama media dan ‘bloggers’ baru-baru ini sedangkan kecacatan itu kurang ketara pada pandangan mereka yang hadir menonton pada hari berkenaan. Pendirian Kabir terhadap soal visual juga terpercik dari nota produksi yang dititipkannya bersama CD yang mengandungi babak dan siaran akhbar Sepi. Menurut pengarah yang yang juga suami Mira ini, dia percaya penonton yang mengeluarkan RM10 perlu dihiburkan dengan visual yang tidak diperolehi mereka dengan menonton televisyen di rumah.

Tiga subjek utama di dalam Sepi ialah Adam, Sufi dan Imaan. Adam, seorang chef pastri yang hidupnya dilingkari kawan-kawan dan keluarga yang ‘happening’ tetapi dia sebenarnya kesunyian tanpa teman hidup. Sufi pula seorang suami yang terbeban dengan penyesalan setelah kehilangan orang yang paling disayangi dalam hidup dalam keadaan tidak terjangka. Manakala Imaan pula, gadis manis yang tidak mahu melepaskan cinta yang telah pergi kerana takut sepi.

Kedatangan Ilyana dan Suzie, Marya dan Zain serta Khalif dan Ean merubah warna hidup Adam, Sufi dan Imaan namun keindahan penceritaan yang dicantumkan dengan baik oleh Kabir ini tentunya perlu dinikmati sendiri pembaca yang mahu menonton Sepi kelak tanpa sebarang ‘spoiler’ di dalam ulasan ini. Pun demikian, kecemerlangan Afdlin membawa watak Adam yang selamba, Nasha dengan watak Suzie yang kecoh dan Pierre sebagai Khalif antara yang paling menyerlah bagi penulis.

Terdapat faktor ‘x’ sebenarnya yang membuka hati Adam, Sufi dan Imaan untuk keluar dari kesepian dalam hidup mereka. Sama ada kita sedar atau tidak, daya penarik seseorang individu lain kepada kita biasanya tidak sama biar pun secara asasnya kecantikan lahiriah menjadi imbasan pertama yang mengundang minat. Dalam Sepi, ada haruman kamelia, ‘humming’ Aku Bukan Untukmu dan bait puisi yang berjaya menjentik rasa di hati karakter utamanya dan faktor ‘x’ ini bagi penulis, bagai kudap-kudapan yang menyedapkan lagi filem ini.

Dari sudut lain, Eja masih cemerlang sebagai Marya yang hidup dalam kesedihan, cuma barangkali impak lakonannya menjadi sederhana setelah sekian banyak watak sedemikian telah ditanganinya. Ean yang dipertanggungjawabkan kepada Syed Hussain pula, boleh dianggap bagai persembahan yang biasa-biasa sahaja namun tidaklah sampai mencacatkan. Mungkin atas sebab pengalaman yang lebih dasar, watak Zain lakonan Riezman Khuzaimi yang hanya muncul dalam beberapa babak ternyata lebih mendatangkan kesan.
** ~ **
Sebenarnya, ulasan (kalau layak digelar demikian) ini aku dah lama aku buat untuk siaran Sinar Harian.
Tapi, sesuatu yang ingin aku rekodkan kat sini... sesuatu yang lebih menjentik aku dalam Sepi.
Ntah napa, aku tidak dapat melupakan Suzie (Nasha Aziz) dan anak Sufi yang bagi aku lebih malang sebab cinta mereka tidak mendapat tempat yang sewajarnya. Suzie dijadikan objek escapism oleh jejaka yang dia puja dan ditinggalkan begitu sahaja apabila si jejaka itu mendapat apa yang dia mahu manakala Sufi pula, lebih sibuk menangisi cinta yang pergi dan memancing cinta baru daripada menghargai kasih seorang anak yang sudah tentu lebih luhur.
Tapi itulah, dunia ini kan bukan simetri. Jangan cari keseimbangan sebab hanya Yang Di Atas saja yang ada hak untuk menjawab tentang itu.

Friday, June 27, 2008

lucky me

Aku dah lupa sama ada aku pernah menang apa-apa lucky draw sebelum ni. Puas aku cuba imbas dan selak kenangan termasuk masa sekolah dulu, tapi masih tak ada apa yang dapat aku ingat.


Kesimpulannya, memang tak ada kot ;P


Maka, semalam adalah hari yang bertuah apabila nama aku diumumkan sebagai pemenang satu daripada dua hadiah lucky draw ketika menghadiri tugasan di Carcosa Seri Negara.

Alhamdulillah. Walaupun hadiahnya taklah se-grand mana tapi harap-harap ni pemecah ais untuk aku terus bertuah dalam lucky draw yang lain lepas ni. Kui Kui.


















LG's portable DVD player

Tuesday, June 24, 2008

demi dia

Aku benci betul apabila disuruh bersosial dengan golongan mak-mak datin ni. Bukan saja kerana pangkat dunia, tapi aku juga merasa jurang umur antara kami akan membuatkan aku mati kutu kelak. Prinsip hidup aku, biar mati kutu di rumah, jangan di luar rumah yang jauh dari bantal dan katil.

Kerana itu, aku tarik muka patblas apabila dipaksa menghadiri satu majlis perkahwinan di bandar yang banyak lampu baru-baru ini. Duduk semeja dengan mereka yang berpakaian penuh sequence dan tudung ber'awning' membuatkan aku betul-betul terseksa.

Mujurlah, kehadiran anak dara Dato' M membuatkan aku menjadi manusia yang lebih bersyukur. Budak entah tingkatan berapa itu menarik muka masam dari mula perjalanan kami di Shah Alam hinggalah ke sudah. Mungkin untuk menghilangkan bosan, dia asyik menangkap gambar sendiri dengan kamera henfonnya, aku syak untuk dimuatkan ke dalam facebook atau myspace. Sekurang-kurangnya terhibur jugak aku memerhatikan perangai budak-budak sekarang. Satu yang aku tak faham, pose mulut muncung memang trend sekarang eh?

Ketika aku sudah mengambil tempat duduk, seorang wanita yang menggelarkan dirinya 'aunty' menggamit aku supaya duduk di sebelahnya. Interest aunty ini adalah Akademi Fantasia, jadi tak susah untuk aku dapat masuk dalam perbualannya, hinggalah dia mula bercerita tentang New Zealand, negara Eropah lain dan Disneyland Hong Kong yang baru dikunjunginya.

"Call me Dato' R," kata suaminya yang dapat aku tangkap ketika disapa sopan tetamu di sebelahnya.

"Ok datin... nice talking to you. Jumpa di konsert AF 7 tahun depan ya?" begitu ayat penyudah sebelum aku dan 'aunty' itu berlaga pipi sesudah majlis.

Soo plastik.

Wednesday, June 04, 2008

fatamorgana

Ketika di Utopia dulu, aku pernah keluar assignment dengan Wan; peminat irama keras yang terpaksa menggalas tugas sebagai fotografer kerana err.. sebab kompeni memang tak ada fotografer masa tu.
"Yang mana satu artis karang? Aku tak kenallah wei," itulah pertanyaan dengan nada suara cuak yang diulang-ulang Wan sejak dia mengundurkan kereta untuk meninggalkan ofis, sampailah kami masuk parking hotel.
"Kalau tak kenal, ko tangkap je gambar sapa-sapa pun yang pakai baju 'glamer' kat situ. Balik ofis kita kenal pasti," aku bagi cadangan kat Wan yang terus buat muka cuak.
Sebenarnya, aku tau bukan sebab tak kenal artis saja Wan menyampah nak keluar assignment. Sebagai teman sebelah meja, serba sedikit aku dapat menganalisa yang dia ni kurang suka mengikuti dunia artis tempatan. Habis kuat pun dia cuma berminat untuk tahu siapa nama artis wanita yang jadi penghias muka depan Pancaindera aje.
"Da!" Wan gamit aku.
Aku syak, dia dah bosan gile walaupun nampak enak duduk di tepi sebatang tiang, di luar bilik function.
"Apa kau dengar?" tanya dia sambil ketuk-ketuk tiang.
Aku buat muka konfius. Memang konfius pun.
"Macam mana kosong bunyi tiang ni, macam itulah dorang-dorang ni semua ," kata Wan sambil memuncungkan mulut kepada mereka-mereka di sekeliling kami. Kebanyakannya mengepil rokok di jari, macam Wan jugak.
Oh cuma bezanya; mereka semua kelihatan sangat riang dan memakai baju yang 'glamer'!

Tuesday, June 03, 2008

Letih

Huaa... lama tak update kan?

Betul, aku bz.

Sebetulnya, nak kata bz sangat tu tidaklah. Tapi beberapa minggu kebelakangan boleh dikatakan aku tak duduk rumah setiap kali cuti, dan ada juga minggu yang aku tak sempat cuti pun kerana menggantikan member yang cuti bersanding.

Oh, projek yang memerlukan aku mencari tempat makan tempoh hari tu pun tak dapat aku habiskan kerana tak terhambat dek kerja seharian. Tak apalah, mungkin tak ada rezeki kot.

Tapi, sempat jugalah aku ke Johor menggeledah tempat makan yang disarankan oleh Tok Rimau. Paling best, Kg Senibonglah. Cuma tak sempat nak merasa belangkas black pepper tempoh hari sebab tiba waktu kedai-kedai pun dah nak ditutup.

Macam mana cara percutian yang terbaik? Percutian yang aku impikan ialah pilih satu destinasi - Perlis misalnya, kemudian terus ke sana dan explore sendiri apa yang menarik.

Hm, bilalah nak jadi kenyataan lagi agaknya.

Sunday, May 04, 2008

Tolonglah beli

Aku dah agak dah.


Tak ada gunanya mintak tolong kat sini kalau yang datangnya tu setakat 3 orang. Nampak gayanya terpaksalah aku recce sendiri tempat-tempat makan tu, dan terbengkalailah lagi blog ni sepanjang pemergian aku nanti gamaknya.



Apa pun, ni ha. Gangguan Teksual terbaru dah keluar. Tolonglah beli. Harga tak mahal, RM20 jah. Jika mahu order, bagitahu saya tanpa segan silu menerusi emel honey_riezura@yahoo.com.sg atau sms ke 016-6106642. Dapat?

Sayang. Kalaulah tak kerana aku kena kerja semalam, dapatlah bertemu muka kali kedua dengan Abang Naga. Oh!

Thursday, May 01, 2008

Ayat Ayat Cinta

Sepatutnya aku ke KLCC menonton Ayat-Ayat Cinta semalam. Tapi itulah. Hidup akan sentiasa berwarna-warni kalau aku bersama beberapa manusia yang sudah aku kenal pasti salah seorangnya adalah Botak.

Apa yang berlaku, kebaikan hatinya telah membantu seorang manusia lain dan dalam masa yang sama, meluluhkan harapan manusia yang lain; yakni aku.

Maka, kami masih berpusing-pusing di KLCC ketka jam sudah menunjukkan pukul 4.30 petang. Untuk menyenangkan hati sendiri dan dalam masa yang sama menyakitkan hatinya, aku membuka Klasik.fm.

Apa yang berlaku, manusia berwarna warni itu masih mampu membuka mulutnya tanpa henti dan bercerita soal sejarah Malaysia yang tidak tepat, perempuan eksotik berdada tipis dan misi hidupnya untuk bergelar haji.

Dalam perkembangan lain, aku memerlukan maklumat daripada siapa-siapa yang baik hatinya (seperti Botak) untuk memberitahu aku tempat makan yang femes, sedap atau unik di mana-mana tidak kira di KL, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak atau Sarawak.

Tolong aku, dan aku akan bayarkan teh tarik kamu kalau kita ada jodoh untuk bertemu nanti. Ok.

Friday, March 21, 2008

Akhirat yang hazab

AKU sangkakan perasaan benci akan kebah memandangkan aku menonton Akhirat lewat Selasa lepas. Tapi tak.

Bayangkan. Habis saja tayangan aku membuat beberapa kesimpulan. Pertama, aku membuat rumusan bahawa inilah filem paling tepat untuk menimbulkan ketegangan kaum, fikiran atau apa saja yang seumpamanya. Sebab, selepas habis menontonnya kau akan rasa nak merusuh. Kedua, bagi tau aku apa kata makian paling sucks yang boleh diberikan kepada sesuatu produk yang mengecewakan. Sebab kalau ada, aku mahu kalungkan di leher pengarahnya.

Aku tak tau apa yang ada dalam fikiran Vanidah Imran sampai dia mau membintangi filem ni. Kata seorang kakak, Vanidah tak bersalah sebab skrip yang mula-mula diberi kepadanya tidak sama apabila penggambaran berlangsung. Aku rasa, itulah alasan paling baik boleh terluah dari mulut Vanida sebab dia pun mesti malu melihat hasil filem ini.

Akhirat mempersembahkan sinopsis yang cukup menarik. Katanya: Akhirat merupakan senaskhah coretan tinta hitam yang membelenggu kehidupan seorang wanita suci kerana nafsu serakah manusia durjana. Akibat dari tragedi malang itu kehidupan Mira semakin pudar setelah dia disahkan menghidap penyakit yang amat menggerunkan. Konflik melanda apabila dia tidak dapat menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai isteri...

WAH, WAH , WAH. Kemain lagi sinopsisnya. Taglinenya pulak – the beginning of the end katanya. Tang mana akhiratnya dalam ini cerita, aku pun tatau!

Pernah dengar bagaimana filem dengan elemen porno nyaris-nyaris meruntuhkan industri perfileman Indonesia dan membuatkan filem-filem Bollywood menjadi murahan? Bagi aku, inilah filem yang boleh menjadikan trend ini terjebak ke Malaysia jika dibiarkan. Plot sukati pakcik dia, skrip huru-hara, skor muzik ketinggalan zaman dan aku tak nampak tang mana best-nya sinematografi bagi filem ini sekali pun pengarah fotografinya diambik nun dari Mumbai. Kalut.

Jalan cerita bancai. Tau siapa paling aku kesian? Ustaz Asri dari kumpulan nasyid Rabbani tu. Tah sapa punya kerja, dipanggilnya ustaz yang tak bersalah ni untuk membaca doa bagi kesejahteraan filem ini sebelum tayangan. Aku pasti, ustaz mesti beristighfar apabila perlu menonton bagaimana unsur seks dimainkan untuk membeliakkan mata penonton kemudiannya. Hello... kalau betul filem ini mahu memasukkan elemen moral, Mira takkan senang-senang pakaikan adiknya dengan baju terbelah sampai bontot pastu disuruh tidur dalam biliknya. (Itu lagi menyeksa laki adalah ;P). Untuk mengaburi mata, dipakaikan pula bapak Mira (Jins Dhamsuddin) dengan songkok, pastu Mira dan suaminya berbusana batik tanpa mengira waktu.

Tau kenapa aku marah sangat? Kerana aku pernah menonton Virgin, filem yang berkisar bagaimana seorang gadis cuba mempertahankan daranya, yang dibikin di Indonesia, namun unsur seks yang dieksploitasi di dalam situ pun tidak sebusuk Akhirat. Sama ada penulis skrip dan pengarahnya terlalu risau yang penonton Malaysia ini bangang sehingga susah nak faham maka perjalanan cerita terlalu tertumpu untuk memahamkan audien bahawa Mira tak dapat main dengan suaminya kerana HIV positif; atau dia memang mahu menggunakan seks sebagai senjata pelaris filem ini, tak tahulah aku.

Yang nyata, ia dilakukan secara keterlaluan. ‘Balik hantar bil air’, ‘I wanna make love with u’, ‘sori pasal pagi tadi..’, ‘kita dah lama tak bersama..’ dan banyak lagi diungkapkan semata-mata mahu menunjukkan betapa gersangnya husben si Mira ini tadi. Akibat terlalu lama dan syok menumpukan perhatian dalam soal memahamkan penonton tentang hal inilah, berlaku kebodohan melampau apabila plot bergerak macam siput tapi huru-hara. Jalaludin Hasan muncul dalam dua scene sebagai ketua penyangak penuh misteri, pastu wataknya lenyap begitu sahaja. Adi Putra pula ditampilkan kemain samseng, tapi kena tangkap polis sekelip mata. Dan apa gunanya lagu-lagu dalam filem ini? Tolonglah. Biarkan Bollywood dengan cara mereka dan belajarlah dari kegagalan teruk Diva.

Aku fikir begini. Mungkin masa mula-mula nak buat filem ini mereka mahu sesuatu yang melankolik dan boleh mengalirkan air mata. Di pertengahan produksi, mereka mungkin bertukar fikiran dan mahukannya lebih kepada muzikal tapi sudahnya, mereka terfikir pula untuk memasukkan unsur komedi. Agaknya itulah pasal laki Mira mengungkapkan dialog ‘Mira demam dan cirit birit dari tadi’ ketika mahu memberitahu isterinya itu perlu dihantar ke hospital a.s.a.p.

Kalau tanya pendapat aku, jangan la pergi tengok filem ni. Tapi kalau rasa dah kemaruk sangat dengan serba sikit elemen seks yang terhidu di dalamnya, pergi cari bisidi kaler langit lagi baik!

Wednesday, March 05, 2008

Novel Duyung jadi 'spoiler'

“JADI, inilah filem yang mensasarkan kutipan 10 juta?” itulah yang terdetik di hati penulis setelah berkesempatan menonton filem tersebut ketika tayangan malam gala yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam Duyung hasil kerja CGI yang dibuat wajar dipuji, membuatkan adegan Jimmy (Saiful Apek) memberi makan burung di atas tapak tangannya begitu menghiburkan. Begitu juga bagi adegan yang menampilkan duyung berenang di dalam air, Maya Karin telah membuktikan dirinya masih lagi perenang profesional biar pun gelaran itu didukungnya pada zaman kanak-kanak.

Sebahagian daripada kos RM2 juta yang diperuntukkan untuk filem ini barangkali teragih pada sudut logistik di mana penggambaran Duyung dijalankan di Pulau Sipadan yang terkenal antara perairan tercantik di dunia. Kepayahan yang digambarkan oleh pengarah filem ini, Profesor Madya A. Razak Mohaideen juga terpamer dari cuaca panas yang memayungi Pulau Maiga dan Pulau Mabul, penempatan atas air yang menjadi latar filem ini.

Satu perkara yang harus dipuji, Duyung membawa nafas baru dalam industri perfileman apabila Malaysia juga mampu tampil dengan sebuah filem yang tidak hanya mempertaruhkan keindahan negara luar yang menjadi trend dalam kalangan pengarah filem satu ketika dahulu. Seperti kata Razak, filem ini sekurang-kurangnya mampu mempertontonkan sebuah khazanah negara yang tidak ternilai kepada penonton dari luar.

Di barat, unsur ‘spoiler’ sangat dielakkan kerana ia boleh mempengaruhi sambutan penonton. Malah, pelakon besar seperti Kevin Spacey sendiri pernah meminta namanya tidak diletakkan dalam senarai pelakon utama filem ‘Seven’ semata-mata kerana hal ini. Pun demikian, Duyung mengabaikan aspek ini apabila perbezaan dari segi skrip mahu pun jalan cerita dengan novel yang dilancarkan pada 24 Januari lalu sangat nipis. Malah sekali pun filem ini diangkat ke layar lebar daripada novel sekali pun, beberapa ‘twist’ seharusnya dilakukan untuk mengelakkan penonton berasa bosan kerana sudah dapat menelah lebih 95 peratus perjalanan ceritanya.

Selain itu, genre filem fantasi bukanlah alasan bijak untuk menyediakan pakaian yang hampir sama seisi kampung. Mungkin di lain kali, pembikin filem tempatan boleh mengambil berat sedikit aspek begini kerana biar pun dianggap remeh, ia boleh mengurangkan nilai sesebuah filem di mata penonton sekarang yang dilambakkan dengan pilihan filem yang pelbagai.

Kalau pun kita tidak mampu menghasilkan filem hebat dengan bajet puluhan juta, sekurang-kurangnya kita mengambil perhatian kepada unsur-unsur kecil sebegini yang masih berada di dalam lingkungan kemampuan kita untuk dititikberatkan. Tindakan segelintir penonton tempatan yang mendabik dada tidak mahu menonton filem sendiri sememangnya tidak wajar, namun pembikin filem sendiri seharusnya lebih cermat untuk mengelakkan penonton sedia ada tidak kecewa.

Apa-apa pun, penghasilan Duyung wajar dibanggakan kerana seperti Cicakman, ia diharapkan menjadi evolusi atau titik tolak kepada penghasilan filem yang lari daripada beberapa subjek klise yang menghiasi wajah filem kita sekian lama.

SINAR HARIAN, 04 Mac 2008.

* Setelah aku membuat review berkaitan Duyung kat bawah, ada yang bersikap sinis dengan menyatakan artikel ini akan ditapis untuk siaran akhbar. Well... uols silap! ;P

Saturday, March 01, 2008

Buat pertama kalinya, aku masukkan artikel yang aku tulis kat sini. Bukan sebab apa, tapi sistem prestige down jadi ini sebagai perisai supaya aku tidak dipanggil ketika sedang enak bercuti ;P

AYU BAGAI 'CINDERELLA' OIAM

OLEH sebab peringkat akhir One In A Million (OIAM) musim kedua tidak dapat dilangsungkan secara ‘live’ gara-gara ketelanjuran Faizal Tahir tempoh hari, suasana di Stadium Malawati terasa hambar biar pun jam sudah menunjukkan hampir 8.30 malam. Hal ini terasa kerana di majlis-majlis hiburan yang disiarkan secara langsung di kaca TV, penonton biasanya mengambil tempat lebih awal, jadi debaran untuk majlis bermula sepatutnya sudah mula terasa apatah lagi rakaman akan disiarkan tepat jam 9.00 malam di 8TV.

Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan daripada peserta top 9 wanita iaitu Rina, Tiara, Intan dan Joni yang membawakan lagu Lady Marmalade diikuti peserta top 9 lelaki yang terdiri daripada Roni, Iz, Shone, Mark dan AB dengan lagu Alright Now. Pembukaan yang baik, namun kehangatan majlis hanya terasa apabila muncul kelibat tiga peserta akhir iaitu Ayu, Shila dan Sarah di atas pentas. Membawakan lagu Destinasi Cinta, suasana dewan mulai dipenuhi sorakan daripada penyokong masing-masing.

Momentum OIAM terus mencanak apabila gandingan pengacara kacak-jelita, Awal Ashaari dan Marion Counter menyatakan sudah tiba masanya untuk mengumumkan perjalanan siapakah yang terhenti di awal acara malam itu. Sejurus nama Sarah diumumkan, sorakan memenuhi dewan kerana keputusan itu amat menyedihkan biarpun ia memenuhi kebanyakan telahan. Sarah kelihatan menahan perasaan ketika menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu dan sebelum menamatkan persembahan, dia bagai melepaskan geram apabila melakukan ‘ad-lips’ yang mengundang tepukan gamat penonton di dalam stadium.

Persembahan diteruskan dengan lagu pilihan juri. Ayu menyanyikan lagu Samudera manakala Shila membawakan Contigo En La Distancia. Syafinaz dan Paul dilihat kurang berpuas hati dengan persembahan lagu pertama mereka ini namun kritikan kepada persembahan Ayu dilihat lebih kepada unsur fizikal di mana Paul turut menggunakan perkataan ‘ugly duckling’ yang membuatkan penyokong Ayu berbunyi tidak setuju. Shila pula dikatakan kurang menjiwai lagu yang pernah dibawakannya di konsert mingguan dengan cemerlang hinggakan raut wajah Syafinaz jelas hampa sebaik sahaja Shila menyudahkan lagu Sepanyol itu.

Seterusnya, Ayu dan Shila tampil dengan lagu pilihan masing-masing. Saat inilah, Ayu mencuri serpihan penyokong Sarah untuk memihak kepadanya apabila lagu Ceritera Cinta yang dibawa disifatkan oleh Syafinaz sebaik penyampaian penyanyi asalnya, Jaclyn Victor. Bukan itu sahaja, Ayu berjaya membawa karakter lagu tersebut dengan cukup baik sehinggakan Paul yang terkenal dengan ‘hati kering’ turut mengakui dapat merasakan emosi Ayu yang terbias begitu jujur.

Persembahan Shila menerusi lagu baru ciptaan Aubrey Suwito dan Tinta S iaitu Memori Tercipta bagaimana pun mendapat respon berbeza. Paul menyatakan dia tidak terkesan dengan lagu berkenaan manakala Syafinaz pula memberikan komen yang lebih lembut dengan meluahkan perasaan fahamnya akan kesukaran membawakan sebuah lagu baru yang mampu mencuri perhatian ketika kali pertama diperdengarkan.

Sejurus kemudian, Ayu meneruskan perjuangan dengan menyanyikan lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Habsah Hassan, Hanya Di Mercu. Dia bertuah kerana lagu ini tidak dapat dinafikan cukup menarik dan keupayaan vokal Ayu membuatkannya begitu memikat telinga. Biarpun sedikit ‘terkucil’, Ayu tetap mendapat komen yang positif. Syafinaz sudah mula memberi ‘hint’ kepada pengundi untuk menyokong Ayu sekiranya mereka inginkan satu muka baru dalam industri muzik manakala Paul pula biar pun mengakui ini bukan persembahan yang terbaik, namun katanya Ayu berbaloi untuk meraih sokongan.

Pun demikian, persembahan penutup daripada Shila yang melagukan medley Oops I Did It Again dan Stuck kembali membuatkan dewan bergema dengan tepukan. Shila yang diketahui lebih senang membawakan lagu-lagu rancak seperti ini begitu bergaya dan cemerlang membawakan lagu-lagu kegemarannya itu. Persembahan dinamik ini membuatkan unsur suspen mulai terasa kerana kedua-dua peserta akhir ini jelas sama hebatnya.

Meminjam kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, Ayu, Shila dan Sarah merupakan finalis terbaik yang pernah dilahirkan dalam mana-mana rancangan pencarian bakat oleh 8TV sebelum ini. Justeru, biar siapa pun yang menang ketiga-tiga mereka diketahui umum sememangnya berbakat besar.

Namun, malam kelmarin ternyata milik Ayu. Daripada 167, 977 undi Ayu memonopoli 62 peratus manakala Shila pula hanya mencatat 38 peratus. Persis kisah klasik Cinderella moden, pada awalnya siapa dapat menyangka peserta dari kampung terpencil di negeri bawah bayu yang pernah gagal untuk mara ke peringkat akhir OAIM musim pertama ini bakal dinobatkan sebagai juara OIAM musim kedua? Kini, ‘Cinderella’ itu bakal memulakan babak baru dalam hidupnya sebagai ‘jutawan’ dan penyanyi di mana single pertamanya, Hanya Di Mercu sudah mula ke udara di stesen-stesen radio semalam!

MENARIK SEPANJANG MAJLIS

* Kata-kata Awal ketika Ayu diberi tepukan gemuruh untuk lagu Hanya Di Mercu cukup pedas namun menarik. Katanya, “Sepanjang konsert mingguan OAIM berlangsung tiada orang nak sorak apabila nama Ayu diumumkan. Tapi malam ini, sana sini ada penyokong Ayu. Di mana anda selama ini?”

* Darling hadir bersama buah hatinya yang merupakan ketua unit hiburan di sebuah penerbitan. Mereka sama-sama mengenakan baju berwarna merah.

* Zahid AF2 pula hadir bersama rakan-rakan termasuk pemenang ‘Malaysian Most Beautiful’, Nita yang digosipkan bercinta dengannya.

* Penonton yang disifatkan Shila antara penyokong istimewanya iaitu Alif OIAM1 turut hadir memberikan sokongan.

* Majlis di Stadium Malawati kelmarin berlangsung dengan lancar namun segalanya punah apabila penonton yang berada di tempat duduk bahagian atas membaling kertas keras berbentuk tangan yang disediakan pihak penaja ke tengah-tengah dewan. Tindakan tidak bermoral ini membuatkan penonton yang berada di tempat duduk bawah terpaksa menutup kepala untuk mengelak daripada terkena balingan mereka. Insiden ini juga membuatkan ada penonton yang cedera ringan.

MAHU BELI RUMAH, BUAT GIGI...

SEUSIA acara kelmarin, Ayu ditemu bual pula oleh pihak media. Jelas, Ayu kelihatan kekok dan masih tetap dengan jawapan ‘naif’ apabila ditanya berkaitan kemenangan dan hala tujunya selepas ini. Ikuti antara temu bual yang berlangsung semalam.

APAKAH YANG AYU RASA SEKARANG?
Tau tak apa yang jadi sekarang, itulah yang Ayu rasa.

BAGAIMANA PERASAAN AYU APABILA SARAH TERSINGKIR DI AWAL ACARA?
Terus terang Ayu katakan, apabila Sarah tersingkir Ayu rasa lega, agak gembira dan keyakinan diri terus meningkat kerana dia memberikan saingan yang sengit.

AYU TAK TAKUT BERLAWAN DENGAN SHILA?
Ayu tak takut sebab kami sama-sama berlawan dengan diri sendiri.

APA PENDAPAT AYU TENTANG KOMEN PAUL DAN SYAFINAZ?
Ayu ambil komen Paul dan Syafinaz sebagai panduan. Macam apabila Paul cakap Ayu ‘ugly duckling’, Ayu mahu saja katakan padanya ‘macamlah dia kacak sangat’ tapi Ayu tak akan berbuat demikian (disambut ketawa semua yang hadir).

APA AYU NAK BUAT SELEPAS INI?
Macam Ayu katakan sebelum ini, Ayu mahu membeli sebuah rumah untuk keluarga dan pergi jumpa doktor gigi.

APAKAH AYU MASIH TIDAK YAKIN DENGAN BAKAT SEHINGGA TETAP DENGAN KEPUTUSAN MAHU MEMBETULKAN GIGI?
Sebenarnya Ayu mahu membetulkan gigi sebaik tamat sekolah lagi. Ayu sudah mendaftar (di klinik gigi) pun, tapi sering tertangguh kerana banyak kerja dan kemudiannya menyertai OIAM.

APA YANG AYU ‘JUMPA’ DALAM DIRI SETELAH MENYERTAI PERTANDINGAN INI?
Ayu ganas sedikit orangnya, tetapi menyanyi lagu balada. Jadi selepas ini tidak kenalah kalau Ayu tetap dengan jeans koyak tetapi menyanyikan lagu-lagu begini.

Saturday, February 23, 2008

melihat duyung

Mengecewakan. Aku dah nampak penurunan graf keseronokan menonton wayang Melayu pada pertengahan suku tahun ni. (Dannn, perlu ke aku katakan di sini ini adalah blog aku dan segala statistik atau apa-apa titik pun di sini datang dari pendapat peribadi aku semata-mata huh?)
Kala Malam Bulan Mengambang membuatkan aku tersenyum puas. Dunia Baru The Movie juga. Cuci kemudiannya mengundang tanda tanya aku dari mana datangnya kepuasan kepada seseorang yang menulis cerita itu bagus. Anak boleh tahan tapi aku benci klise dan sekarang, Duyung membuatkan aku rasa nak cepuk kepala orang yang bagi job mengarah filem ni pada.. kau tahulah siapa kan.
Lawak Apek masih menjadi sekala sekala, dan aku juga melihat dia cuba memancing pembikin filem emosi untuk menawarkan job kepadanya selepas ini. Sementara berbalas-balas nguap dengan Saylo kat sebelah semalam, aku masih sempat tertanya-tanya, siapa punya idea yang pandai sangat pi release novel Duyung sebelum filem ni keluar?
Bagi aku yang sudah membaca novelnya (of course sebab diberi percuma) segala inti pati Duyung sudah dapat diagak. Kebanyakan filem yang diadaptasi kepada novel atau sebaliknya (jarang sket dibuat orang tapi aku nampak itu kegemaran kat Malaysia) akan mengubah atau menambah serba sedikit mana-mana sisi cerita untuk menjadikannya twist kepada pembaca, tapi malangnya Duyung sedikit pun tidak mengambil berat hal berkenaan.
Aku tak tau orang lain, tapi aku tak hingin nak tengok transformasi 100 peratus apa yang aku baca - ibaratnya daripada audio kepada visual tanpa sebarang penambahan atau pengurangan yang bijak. Kenapa aku kata bijak? Kerana aku sungguh-sungguh sakit hati dan menyumpah apabila di penghujung skrip apa yang dipaparkan ialah 3 gadis Digi (maklumla penaja nok!) muncul dengan lakonan patung cendana.
Aku juga melihat bagaimana unsur surreal yang tersepit dan aku menontonnya dengan penuh benci dalam Duyung. Sama seperti filem lacur yang cuba menjadi seni, setakat ini aku rasa teori rekaan aku bahawa segala yang dibuat melebih-lebih akan menjadi antara dua; sama ada genius atau jelek memang tepat.
Dalam Duyung engkau sanggup datang jauh-jauh ke perairan Sipadan untuk dapatkan shot yang menarik (dengan alasan mahu dunia tahu betapa cantiknya peraiaran kita di sebalik filem yang memalukan?!) , tapi kenapa engkau terlalu malas untuk membuat kain baju yang lebih menarik. Berapa kau bayar lump sum tukang jahit sampai baju yang dibuatnya sama satu kampung? Dan kalau kau fikir mahu wujudkan satu masyarakat baru di atas air, jangan biarkan pelakon-pelakon utama berambut blonde sedangkan di satu ketika, kesemua audien menjerit - 'hei, ini mesti orang kampung sebenar!'.
Dalam pada itu, aku turut menemui beberapa fakta menarik tentang duyung yang aku mahu kongsi, jadi engkau tahu kalau pun tidak sempat menonton filem ini sebab tiketnya sold-out (maklumlah, ada profesor kata filem ini mungkin cecah 10 juta) :
1) Kadang-kadang duyung pakai eye-shadow kaler hijau (bukan semestinya tapi maskara itu wajib).
2) Mata duyung akan menjadi merah apabila terlalu lama berendam dalam air.
3) Duyung sebenarnya kuat. Dia boleh mengangkat dua peti harta karun (dianggarkan 100 kg setiap peti) dengan mudah tapi tak mampu mengoyakkan jala (kecuali sebab dia berlagak kiut sebab tunggu hero datang selamatkan).
4) Duyung pandai pergi pasaraya (sebab tu dia boleh adakan buah-buahan tempatan termasuk durian dalam guanya).
Pun demikian, aku sangat kagum dengan gaya renangan Maya Karin. Dia meliuk dengan cantik sekali di dalam air. Aku masih ingat kata Maya, dia takut-takut juga untuk berlakon dalam filem komedi setelah tersilap membuat percaturan dulu (pernah tengok No Problem? Kalau tak pernah aku bagi amaran jangan menempah nahas!). Nyata, dalam Duyung aku melihat Maya bagaikan Halle Berry yang gatal-gatal cuba menjadi Catwoman.
Selain lakonan Maya untuk scene duyung berenang, lakonan kedua paling mantap adalah beruk lakonan Yasin. (Kalau Yasin ada kat situ, katakan padanya aku ucapkan tahniah sebab dia kelihatan beruk sekali.)

Terima kasih.

Monday, February 11, 2008

Sedap Belaka

Aku nak bagi tau Dunia Baru The Movie memang best. Itu aje.

Perkembangan lain, CJ7 pun best - tapi bagi peminat tegar Stephen Chow cam aku, ia sedikit menghampakan apabila dibikin terlalu 'bersih' dan U.

Oh, ya.

Satu lagi, jangan tengok wayang jika panggungnya terletak di Klang. (Kau akan rasa nak tenyeh kepala orang depan nanti.)

Tuesday, February 05, 2008

Rasakan!


Manusia memang selalu kalah dengan nafsu, walaupun tahu akan mendatangkan bahana pada badan.

Itulah yang berlaku apabila aku tak serik-serik makan Nando's dengan menu yang sama - 1/4 chicken (extra hot peri2) + peri chips & coleslaw walaupun tahu, akan sakit perut setiap kali lepas makan.

Friday, January 25, 2008

'Live for nothing, or die for something'

Jika engkau lahir pada tahun 80 dan sebelumnya, jangan tipu dengan menyatakan engkau tak kenal siapa Slyvester Stallone. Atas sebab itulah, aku tak sabar-sabar nak tengok apa jadinya Rambo 4 bila ia difilemkan sewaktu Stallone dah tua, dah cecah umur 62. Oke2, aku ngaku aku juga penonton tipikal yang tertarik nak tonton bila tengok ada ular dalam trailer.

Sebenarnya aku silap bila menyangka seperti Rocky, ini adalah filem terakhir Rambo. Rupa-rupanya kata Stallone, Rambo bukan atlit cam Rocky jadi dia tak ada had umur untuk bersara.

Pun begitu, sedap (dan meloyakan) filem ni. Sedap kerana Stallone masih mampu mengekalkan ketak badannya (haha - gurau je wehh) dan meloyakan kerana ada banyak babak yang membuatkan aku tak dapat nak masukkan popcorn dalam mulut. Bluek! Ko kena tengok sendiri untuk tahu.

Aku fikir, Stallone galas cabaran besar untuk buktikan dia masih mampu berlakon filem aksi. Setelah dia keluarkan beberapa statement lazer yang menyatakan tak ada pelakon filem aksi yang bagus di zaman ini, dia kena telan kata-kata tu dan buktikan macamlah dia tu bagus sangat. Sebab itulah agaknya, dia macam lepas geram habis-habisan dalam filem ni.

Bagi aku, Rambo bukan action movie yang baik. Ia adalah action-packed movie terbaik!

Woohoo.

Saturday, January 19, 2008

coklat berinti kacang (dan Halim Othman)

Kau suka makan coklat?
Aku suka, tapi kadang-kadang.
Dan bila mahu makan, aku hanya mahu cicip coklat berinti kacang. Apa-apa kacang pun boleh la.
Kenapa teringatkan coklat berinti kacang sedangkan aku mahu menulis tentang Halim Othman?
Kerana Halim dan kacang berinti coklat berada di bilik yang sama, dalam satu daerah otak ini.
Lawak atau kata-kata yang terkeluar dari mulut lelaki berwajah 'bukan jenis saya' ni bagi aku umpama coklat berinti kacang itulah. Yang aku tak jamah setiap hari, tapi buat aku sentiasa ingin mengerling setiap kali membayar di kaunter stesen minyak (ya, aku bayangkan coklat Vochelle di sini).
Aku tak makan setiap hari, tapi ada kalanya aku teringin!
Justeru aku terasa dan mengambil keputusan untuk membiarkan Sofaz di Planet tanpa aku bila tahu Halim akan diraikan dalam satu majlis perpisahan semalam. Kata Halim, dia mahu berundur untuk menulis kaligrafi dan mendokumentasikan surat dan gambar-gambar lama.
Tak, aku tak dengar Sinar Pagi sebelum ni. (Kalau dengar pun, aku mungkin lebih sukakan Salleh Yaccob agaknya.) Dan aku jugak pernah menaruh curiga macam mana dia boleh menang 5 kali untuk kategori penyampai radio popular. Dan aku tak teruja langsung dengan rekod-rekod yang dia buat untuk Malaysia Book of Record tu.
Cuma, sekali sekala aku suka mendengar lawak-lawak dia yang membuatkan sesetengah orang kata dia berlagak nak mampus. Malah, aku antara yang gelak bila dia bercakap besar semasa genggam trofi dulu. Ini kerana, aku rasa aku faham apa yang dia mahu katakan sebenarnya. Marilah, dia hanya berlawak dengan caranya sendiri!
Kata Halim, dia hanya seorang anak kampung yang teringin menjadi DJ (masa itu belum diguna istilah penyampai radio) satu waktu dulu tapi malu untuk bagi tau pada mok dia. Jadi, dia ke AS untuk belajar Bahasa Inggeris. Kata dia lagi, kalau anda berasal dari Kerteh dan tidak pernah ke luar negeri selama 9 tahun, anda mungkin tidak akan menang trofi seperti dia.
Di AS, selain Bahasa Inggeris dia belajar bahawa wajah adalah tulang yang ditampal isi dan kulit, lalu dipupuk mekap. Tapi kita masih boleh hidup tanpa mekap, tambahnya.
"Sesungguhnya saya tidak bermaksud untuk membuat syarahan di atas ini dan membuatkan saya kelihatan lebih pandai daripada anda di bawah sana."
Aku, penggemar coklat berinti kacang ini pun ikut mengekek dalam samar-samar cahaya Zeta Bar.

apa di atas

Aku dapati tidak ada perkara yang lebih menyakitkan daripada melihat tulisan yang kita buat dengan sepenuh jiwa dibelah hingga tercedera isinya.

Setelah beberapa waktu, aku rasa makin loya dengan perkara yang acap kali berlaku ini.

Dan lagi, kau mungkin takkan faham macam mana bencinya melihat reka letak yang menghimpunkan seluruh gambar di penjuru muka sedangkan kau tahu, pembikinnya boleh melakukan sesuatu yang lebih baik kalau dia baca dan fahami dulu apa yang mahu dikerjakan.

Sungguh-sungguh, aku sakit hati.

Monday, January 14, 2008

Kala Malam Bulan Mengambang

UPDATE.
Rupa-rupanya, post asal yang aku dakwa hilang, terselit dalam draft di bawah tajuk 'Mamat buat gila (lagi)!' Maka, aku mengambil keputusan untuk delete entry sebelum ini dan menggantikannya dengan yang ini walaupun semua pengomen kat bawah tulis berdasarkan entry yang sudah aku delete tu! ; p
Seharusnya kita, penggemar-penggemar filem kat Malaysia ni bersyukur sebab ada Tayangan Unggul yang ada bajet besar untuk suntik dana supaya pembikin filem kat negara ini tidak mati. TU best sebab mereka tak ralat untuk salurkan dana kepada filem yang tidak bersandarkan komersial semata-mata.
Contohnya macam Syaitan. Walaupun kutipannya mengalirkan air mata, filem tu sebenarnya tidaklah seburuk mana. Kalau tak takkanlah Bade boleh menang pengarah terbaik dan kata Bade, biar pun filemnya tidak lulus di hati penonton, dia tetap bangga sebab filem tu dijadikan rujukan dalam kalangan pelajar perfileman di negara ini.
Sekarang, TU keluarkan dana lagi (1.5 juta) untuk filem Kala Malam Bulan mengambang yang ditangani oleh pengarah yang mengaku dia ‘gila’, Mamat Khalid. Aku antara yang hadir sewaktu tayangan untuk press baru-baru ni. Dalam ucapan pembukaannya, Mamat beria-ia ingatkan, KMBM adalah sebuah filem noir. Katanya lagi untuk perhatian orang yang buta filem macam aku, noir bukanlah sebuah genre, tapi istilah yang digunakan untuk sebuah menggambarkan filem bergaya Hollywood yang merentangi zaman 40an hingga 50-an.
Maka sepulangnya aku ke ofis, aku pun mencari ‘apa barang’ noir ni. Ohh.. rupanya filem noir (kelam) ialah filem hitam-putih bergaya Hollywood yang dibikin merentangi zaman 40 hingga 50an. Biasanya filem noir mengangkat drama kriminal yang disuntik unsur moral dan seksual.
Aku rasa, gaya noir Mamat memang menjadi dalam KMBM. Selain visual hitam-putih, pencahayaan yang rendah dipraktikkan dalam filem ni menepati ciri-ciri noir biar pun tidak terhidang secara ekstrem. Kata penerbitnya Gayatri Su-Lin Pillai, gaya noir dalam KMBM lebih terkawal kerana jika terlalu mengikut gaya Hollywood, barangkali tiada penonton yang akan ke panggung.
Sebenarnya, aku sudah hampir menyampah dengan Mamat. Aku tidak tonton Lang Buana, tapi Rock betul-betul buat aku jatuh cinta walaupun rasa loya tu masih ada bila dikenangkan adegan 'burung belatuk'. Semangat Man Laksa pula aku salute walaupun filem tu tak termasuk dalam karya Melayu yang boleh buat aku ternganga. Zombi Kg Pisang plak, buat aku terus muak dengan semangat 'syok sendiri' Mamat.
Jadi oleh sebab expectation yang rendah atau filem ini memang bagus, aku rasa mahu melaung sambil melompat-lompat untuk menyatakan 'KMBM best oiii!'. Persetankan aspek bagus secara teori, kerana aku menilai filem yang bagus dari persepsi aku dengan cukup mudah - filem yang best ialah filem yang membuatkan aku sentiasa teringat padanya setelah selesai menonton.
Justeru itu, aku ucapkan terima kasih kepada Mamat kerana menutup tirai perfileman (yg aku tonton pada 2007) dengan filem sebagus ini. Barangkali aku tidak pandai menilai filem lebih jauh sehingga mampu menghadap setiap subteks dalam KMBM, tapi itu sebenarnya berita baik buat Mamat kerana ia membawa makna filem ini masih mampu melekat pada penonton kebanyakan macam aku. Lebih dari itu, KMBM membuatkan aku terfikir, gen kreatif dan kritis sebenarnya boleh diwarisi.

Thursday, January 03, 2008

teringin

Aku ingin menulis tentang Kala Malam Bulan Mengambang, tapi nampak gayanya merenung kosong pada skrin pc ni jauh lebih mudah...

Wednesday, January 02, 2008

Arus perdana

Macam pelik je kalau tak ucap selamat tahun baru kat blog kan.

Sooo ok.

Ermm.. Selamat Tahun Baru ya semua!

(dan aku mahu muntah)