Saturday, June 30, 2007

Semalam

Alhamdulillah segalanya selamat.

Walaupun;

*penat kerana bergegas dari shah alam ke HTAA dan tak sempat makan hinggalah jam 2.30am

*menunggu di luar bilik bedah yang sejuk gile selama 2 jam

*asyik nak meludah sebab rasa aku tersedut udara atau terpegang bucu yang tidak sihat

*terpaksa menahan kencing sebab risau nak guna tandas (akhirnya aku guna toilet comel di wad pembedahan kanak-kanak) ;P

*berada di KUBUR pada pukul 1.00am!

Semua itu tidak ada makna jika dibandingkan dengan sinar pada wajah ayah ketika aku, anak yang selalunya gagal ini suapkan bubur kacang padanya.

Sunday, June 24, 2007

My bad

Hanya tuhan tahu, berapa kali aku mahu menulis tentang ayah, namun memadamkan niat itu kerana aku tidak mahu menjadi manusia yang terlalu beremosi.

Ayah, ketika aku kecil adalah manusia yang memberi kasih sayang terunggul dalam hidup. Persepsi itu berubah apabila aku mempunyai adik kerana konsep ayah dalam memberi hukuman, yang besarlah yang salah apabila kami adik beradik bertengkar.

Kerana ayah tidak segarang emak, dialah yang mengajar aku menjadi manusia 'lemak'. Kalau dengan emak aku takut dicubit jika terkurang ajar, aku tega mendiamkan diri dan berjalan kaki ke sekolah walaupun ayah berulangkali memanggil nama aku dengan penuh kasih sayang ketika aku merajuk tidak diberikan wang untuk membeli buku cerita.

Ketika tadika aku pernah menangis mahu berhenti sekolah dan ayah hampir-hampir mahu menuruti kehendak tak senonoh aku tu kerana tidak sanggup mendengar aku merengek (ya, mujurlah ada emak).

Ketika emak membuntangkan mata apabila aku menangis kerana tidak pandai melukis pokok, ayah dengan rela hati melukiskannya dengan lawa.

Apabila aku menangis di telefon mengadu aku tidak mahu lagi tinggal di asrama (kerana takut hantu), ayah bergegas datang mengambil aku pulang.

Ah, terlalu banyak memori soal kasih sayang ayah.

Dan aku, anak yang tidak sedar diri ini, kian hari kian besar dan makin lama makin jauh dari ayah. Mungkin kejauhan itu aku cipta selepas mendapat malu dirotan ketika memakai seluar pendek di depan kawan ayah dalam usia 11 tahun, atau mungkin juga kerana ayah yang mula mengasingkan diri dari kami, entahlah.

Hari ini, hati aku luluh bila mengenangkan kembali bagaimana ayah gemar duduk menyeorang di tingkat atas rumah kami walaupun ketika itu kami adik beradik pulang ke rumah.

Aku pernah terfikir bagaimana ayah boleh hidup dengan membuang pandangan ke luar tingkap sedangkan kami bergelak tawa di bawah.

Sedangkan, kami pernah membesar bersama lelucon ayah. Jauh dalam hati aku tahu ada sesuatu yang tidak kena, namun selaku anak yang mementingkan diri aku tidak pernah bertanya, sekali pun tiap kali balik aku cuba untuk melayan ayah seperti biasa.

Satu-satunya terapi yang paling mujarab untuk aku menghilangkan masalah yang berlumut dalam fikiran ialah sajak. Dan aku, pernah cuba untuk membuat itu apabila mengenangkan ayah, namun tidak berjaya. Kerana setiap kali aku mengenang ayah, aku merasa sangat gagal.

Ketika pulang beraya lepas, ayah tiba-tiba menjadi lain. Ayah tiba-tiba bercerita kepada aku dan abang, sesuatu yang sudah lama dia simpan. Sekali lagi, hanya tuhan yang tahu apa yang aku rasa seusai cerita ayah. Demi tuhan, dialah lelaki paling penyabar dalam dunia aku!

Terlalu banyak kisah di bawah selimut yang menutup hidup ayah hingga dia tidak lagi menjadi seperti dahulu. Dan sudah tentu, ia akan terus menjadi lumut-lumut tebal dalam fikiran ini (dan aku akan terus-terusan merasa gagal). Aku harap, tuhan akan memberi masa untuk aku menyelesaikan perkara ini (sudah tentu, bukan dengan sajak!)

Tadi. Sebaik mendengar abang menangis dalam telefon, aku tahu, kaki ayah tidak dapat diselamatkan lagi. Aku kembali terkenang kata-kata ayah, "Kalau tahun ini tak selesai juga masalah, ayah nak kembali ke Kedah."

Minggu lepas, aku melihat pandangan mata ayah yang bersedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika rumah kami dicat lantaran luka pembedahan memotong jari kakinya yang belum sembuh. Kata Baen, ayah berulangkali mengucapkan kekesalan kerana sakit di saat anak-anak pulang dan aku memerlukannya.

Dan hari ini? Ah. Aku dapat melihat mimpi ayah menjadi pecah berkeping-keping. Pandangan matanya yang kelabu, merenung jauh ke langit tertancap kukuh dalam otak ini dan aku tidak fikir ia akan hilang dengan mudah.

Tuhan, aku tidak mahu menjadi anak yang gagal lagi. Cukuplah kegagalan2 besar lain yang aku pilih dalam hidup sebelum ini. Sekurang-kurangnya, kegagalan2 lain itu cuma menyakitkan aku, bukan insan yang meninggalkan memori kasih sayang paling besar dalam hidup ni.

Sesiapa, tak perlu fahami entry ini.. cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan ayah kerana banyak lagi mimpinya yang besar2 dan indah2 belum aku, anak yang sangat gagal ini sempurnakan.

Saturday, June 23, 2007

Kerja

Aku fikir ianya trailer.











Setelah 5 minit, aku masih fikir ianya adalah trailer (yang sangat panjang).



















10 minit kemudian, aku sedar aku sedang menonton Transformers.

Teka apa?

Aku kemudiannya bergegas keluar dari tayangan Transformers dan pergi ke panggung sebelah untuk menonton Diva.

Ya, apa yang korang fikirkan dah aku dengar dari mamat yang serahkan kembali henfon setelah aku keluar dari tayangan Transformers tu.

Thursday, June 14, 2007

Aku benci Kuala Lumpur

"Reverse! Reverse!" aku menjerit dalam nada gementar.

"ALLAHUAKBAR!"

Bas di hadapan semakin laju meluncur. Air yang pecah di tengah-tengah bercantum semula. Semua tergamam.

Aku yang berada di kerusi hadapan penumpang dapat mendengar bunyi halus air menerobos lubang kecil di mana-mana ada. Di kiri kanan manusia-manusia yang berdiri di kaki lima berteriak dengan muka cemas.

Mahu buka pintu?
Aku takut!

Mahu buka pintu?
Sudah tidak boleh!

Syukurlah (nak pakai font apa untuk tunjukkan aku benar-benar maksudkannya?) , dalam kelam kelibut tadi pintu tingkap sempat dibuka. Dan kami, keluar seorang - seorang melalui pintu tingkap bahagian pemandu.

Tidak, episod cemas belum berakhir.

Tahu apa, semasa aku menjengulkan kepala, kereta tiba-tiba bergerak kira-kira 35 darjah lantaran arus yang makin menggila.

Syukurlah (mahu guna warna apa untuk tunjukkan aku benar-benar maksudkannya?), pembahagi jalan yang sedikit tinggi menyekat tayar kereta dari terus mengikut arus. Kami selamat menyertai manusia lain di kaki lima itu.

Tidak, episod cemas belum berakhir.

Tiba-tiba datang sebuah bas yang dipandu oleh manusia bebal. Dia cuba memintas air, namun sudahnya terkandas di depan mata kami, di dalam air yang sudah mencecah paras dada.

Pintu terbuka, sepasang penumpang cuba memperjudikan nasib (nyawa) untuk menyertai manusia-manusia kaki lima yang mungkin pada pandangan mereka lebih selamat. Apa yang berlaku, salah seorang daripada mereka terjatuh dan di depan mata aku, aku dapat melihat rambut blonde-nya sahaja - bagaikan sabut yang terapung laju.

Syukurlah (kalau aku bersyukur, apatah lagi dia), kawan yang seorang lagi sempat menangkap baju atau seluar atau apa-apa pun milik perempuan itu. Mereka pun menyertai kami di kaki lima, menunggu air surut.

Beberapa jam kemudiannya aku hanya mampu melihat dengan perasaan berbaur air yang keruh, periuk besar yang berputar-putar, pokok palma dalam pasu besar yang bagaikan melayang dan air coklat yang malu-malu mencecah bumbung kereta.

Bakul ungu, periuk nasi, vakum, kasut oren, bil-bil, dokumen, kad touch n go, gula-gula hacks, Reader's Digest milik library, baju hujan, cd Dewa, cd Tribute to Titiek Puspa, cd Keane, cd Radja, cd Coheed & Cambria, kaset Zamani.. sesetengahnya masih oke, tapi nilai fizikalnya sudah susut.

Ya, ya.
Apa-apa pun, aku sangat-sangat BERSYUKUR kepadaNya.

Tuesday, June 12, 2007

Sinar Banar

Ya.

Bermula hari ini, konfem-la aku menjadi sebahagian daripada warga kerja surat kabar yang tengah mencanak naik jualannya di Kelantan tu (pa'chik tau kot) ;P

Aku fikir, inilah perkara terBESAR yang bakal berlaku pada aku lewat kebelakangan ini, tapi rupanya aku tersangatlah SILAP!

(Alhamdulillah, aku masih hidup untuk menulis ini.)