Sunday, June 24, 2007

My bad

Hanya tuhan tahu, berapa kali aku mahu menulis tentang ayah, namun memadamkan niat itu kerana aku tidak mahu menjadi manusia yang terlalu beremosi.

Ayah, ketika aku kecil adalah manusia yang memberi kasih sayang terunggul dalam hidup. Persepsi itu berubah apabila aku mempunyai adik kerana konsep ayah dalam memberi hukuman, yang besarlah yang salah apabila kami adik beradik bertengkar.

Kerana ayah tidak segarang emak, dialah yang mengajar aku menjadi manusia 'lemak'. Kalau dengan emak aku takut dicubit jika terkurang ajar, aku tega mendiamkan diri dan berjalan kaki ke sekolah walaupun ayah berulangkali memanggil nama aku dengan penuh kasih sayang ketika aku merajuk tidak diberikan wang untuk membeli buku cerita.

Ketika tadika aku pernah menangis mahu berhenti sekolah dan ayah hampir-hampir mahu menuruti kehendak tak senonoh aku tu kerana tidak sanggup mendengar aku merengek (ya, mujurlah ada emak).

Ketika emak membuntangkan mata apabila aku menangis kerana tidak pandai melukis pokok, ayah dengan rela hati melukiskannya dengan lawa.

Apabila aku menangis di telefon mengadu aku tidak mahu lagi tinggal di asrama (kerana takut hantu), ayah bergegas datang mengambil aku pulang.

Ah, terlalu banyak memori soal kasih sayang ayah.

Dan aku, anak yang tidak sedar diri ini, kian hari kian besar dan makin lama makin jauh dari ayah. Mungkin kejauhan itu aku cipta selepas mendapat malu dirotan ketika memakai seluar pendek di depan kawan ayah dalam usia 11 tahun, atau mungkin juga kerana ayah yang mula mengasingkan diri dari kami, entahlah.

Hari ini, hati aku luluh bila mengenangkan kembali bagaimana ayah gemar duduk menyeorang di tingkat atas rumah kami walaupun ketika itu kami adik beradik pulang ke rumah.

Aku pernah terfikir bagaimana ayah boleh hidup dengan membuang pandangan ke luar tingkap sedangkan kami bergelak tawa di bawah.

Sedangkan, kami pernah membesar bersama lelucon ayah. Jauh dalam hati aku tahu ada sesuatu yang tidak kena, namun selaku anak yang mementingkan diri aku tidak pernah bertanya, sekali pun tiap kali balik aku cuba untuk melayan ayah seperti biasa.

Satu-satunya terapi yang paling mujarab untuk aku menghilangkan masalah yang berlumut dalam fikiran ialah sajak. Dan aku, pernah cuba untuk membuat itu apabila mengenangkan ayah, namun tidak berjaya. Kerana setiap kali aku mengenang ayah, aku merasa sangat gagal.

Ketika pulang beraya lepas, ayah tiba-tiba menjadi lain. Ayah tiba-tiba bercerita kepada aku dan abang, sesuatu yang sudah lama dia simpan. Sekali lagi, hanya tuhan yang tahu apa yang aku rasa seusai cerita ayah. Demi tuhan, dialah lelaki paling penyabar dalam dunia aku!

Terlalu banyak kisah di bawah selimut yang menutup hidup ayah hingga dia tidak lagi menjadi seperti dahulu. Dan sudah tentu, ia akan terus menjadi lumut-lumut tebal dalam fikiran ini (dan aku akan terus-terusan merasa gagal). Aku harap, tuhan akan memberi masa untuk aku menyelesaikan perkara ini (sudah tentu, bukan dengan sajak!)

Tadi. Sebaik mendengar abang menangis dalam telefon, aku tahu, kaki ayah tidak dapat diselamatkan lagi. Aku kembali terkenang kata-kata ayah, "Kalau tahun ini tak selesai juga masalah, ayah nak kembali ke Kedah."

Minggu lepas, aku melihat pandangan mata ayah yang bersedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika rumah kami dicat lantaran luka pembedahan memotong jari kakinya yang belum sembuh. Kata Baen, ayah berulangkali mengucapkan kekesalan kerana sakit di saat anak-anak pulang dan aku memerlukannya.

Dan hari ini? Ah. Aku dapat melihat mimpi ayah menjadi pecah berkeping-keping. Pandangan matanya yang kelabu, merenung jauh ke langit tertancap kukuh dalam otak ini dan aku tidak fikir ia akan hilang dengan mudah.

Tuhan, aku tidak mahu menjadi anak yang gagal lagi. Cukuplah kegagalan2 besar lain yang aku pilih dalam hidup sebelum ini. Sekurang-kurangnya, kegagalan2 lain itu cuma menyakitkan aku, bukan insan yang meninggalkan memori kasih sayang paling besar dalam hidup ni.

Sesiapa, tak perlu fahami entry ini.. cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan ayah kerana banyak lagi mimpinya yang besar2 dan indah2 belum aku, anak yang sangat gagal ini sempurnakan.

14 comments:

Pa'chik said...

erk...

semuga kamu, dan keluarga sentiasa dalam lindungan-Nya. semuga apa jua yang kamu usahakan itu berjaya. Amiin.

debikdebuk said...

Semoga ayah ko sihat. Aku pun sayang abah aku walaupun dah hampir setahun dia tinggalkan kami...

13may said...

moga semuanya selamat...
Amin!

boe~ said...

....spend some time for him. please do that. bercakap, berbual, bersembang adalah satu rawatan untuk mereka yg selalu bersendirian. semoga tabah menghadapi dugaan. ajak adik beradik duduk depan dia kat atas tu. tengok langit sama2. bergelak ketawa dgn dia. bukan berasingan kt bawah. kene buat. kene korban... aku pun sayang kat abah.

Haryani Kamilan said...

@Kata Rasulullah: Ibu..ibu...Ibu... baru ayah...
Tapi dalam banyak hal, aku meletakkan nama abah dahulu sebelum mak... berdosakah aku...abah aku terlalu istimewa...

Unknown said...

hati anak perempuan ada pada ayahnya.

selalunya begitulah.

Mak Su said...

bercakaplah dengan ayah anda, semoga lapang skit fikirannyer pabila dia berkongsi perasaannyer dengan anak-anak yang disayangi.

Kemat said...

saya doakan semoga ayah kamu bertambah sihat..

kingbinjai said...

semoga kau tidaklagi menjadi gagal

doff said...

moga ayah cepat sembuh

- G O R O - said...

Sebelum Terlambat... Sebelum meratapi... Sebelum ia pergi tak kembali...


Salam Dunia..

Haryani Kamilan said...

hoi aida!
ko dah tukar nombor tepon ke? awat aku sms ko tak reply? ko dah tak mo kawan aku eh? tk nak kawan takpe...

(kalau ko still sudi berkawan dengan aku, sila bagi msg kat aku secepat mungkin, ada sesuatu nak aku tanyakan pada ko ni)

areyoung said...

pa'chik ~terima kasih.

debik ~innalillah...

13May ~terima kasih.

oe ~terima kasih.

raden ~kasih sayang ayah sangat menyentuh, kan.

kelambu ~mungkin benar tu ; )

mak su ~saya akan cuba : )

kemat ~terima kasih.

king ~amin..

doff ~terima kasih.

goro ~geddit. tima kasih : )

raden ~skrg jugak aku call ko.. haha!

Pegawai Khalwat said...

Amin!