Friday, March 21, 2008

Akhirat yang hazab

AKU sangkakan perasaan benci akan kebah memandangkan aku menonton Akhirat lewat Selasa lepas. Tapi tak.

Bayangkan. Habis saja tayangan aku membuat beberapa kesimpulan. Pertama, aku membuat rumusan bahawa inilah filem paling tepat untuk menimbulkan ketegangan kaum, fikiran atau apa saja yang seumpamanya. Sebab, selepas habis menontonnya kau akan rasa nak merusuh. Kedua, bagi tau aku apa kata makian paling sucks yang boleh diberikan kepada sesuatu produk yang mengecewakan. Sebab kalau ada, aku mahu kalungkan di leher pengarahnya.

Aku tak tau apa yang ada dalam fikiran Vanidah Imran sampai dia mau membintangi filem ni. Kata seorang kakak, Vanidah tak bersalah sebab skrip yang mula-mula diberi kepadanya tidak sama apabila penggambaran berlangsung. Aku rasa, itulah alasan paling baik boleh terluah dari mulut Vanida sebab dia pun mesti malu melihat hasil filem ini.

Akhirat mempersembahkan sinopsis yang cukup menarik. Katanya: Akhirat merupakan senaskhah coretan tinta hitam yang membelenggu kehidupan seorang wanita suci kerana nafsu serakah manusia durjana. Akibat dari tragedi malang itu kehidupan Mira semakin pudar setelah dia disahkan menghidap penyakit yang amat menggerunkan. Konflik melanda apabila dia tidak dapat menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai isteri...

WAH, WAH , WAH. Kemain lagi sinopsisnya. Taglinenya pulak – the beginning of the end katanya. Tang mana akhiratnya dalam ini cerita, aku pun tatau!

Pernah dengar bagaimana filem dengan elemen porno nyaris-nyaris meruntuhkan industri perfileman Indonesia dan membuatkan filem-filem Bollywood menjadi murahan? Bagi aku, inilah filem yang boleh menjadikan trend ini terjebak ke Malaysia jika dibiarkan. Plot sukati pakcik dia, skrip huru-hara, skor muzik ketinggalan zaman dan aku tak nampak tang mana best-nya sinematografi bagi filem ini sekali pun pengarah fotografinya diambik nun dari Mumbai. Kalut.

Jalan cerita bancai. Tau siapa paling aku kesian? Ustaz Asri dari kumpulan nasyid Rabbani tu. Tah sapa punya kerja, dipanggilnya ustaz yang tak bersalah ni untuk membaca doa bagi kesejahteraan filem ini sebelum tayangan. Aku pasti, ustaz mesti beristighfar apabila perlu menonton bagaimana unsur seks dimainkan untuk membeliakkan mata penonton kemudiannya. Hello... kalau betul filem ini mahu memasukkan elemen moral, Mira takkan senang-senang pakaikan adiknya dengan baju terbelah sampai bontot pastu disuruh tidur dalam biliknya. (Itu lagi menyeksa laki adalah ;P). Untuk mengaburi mata, dipakaikan pula bapak Mira (Jins Dhamsuddin) dengan songkok, pastu Mira dan suaminya berbusana batik tanpa mengira waktu.

Tau kenapa aku marah sangat? Kerana aku pernah menonton Virgin, filem yang berkisar bagaimana seorang gadis cuba mempertahankan daranya, yang dibikin di Indonesia, namun unsur seks yang dieksploitasi di dalam situ pun tidak sebusuk Akhirat. Sama ada penulis skrip dan pengarahnya terlalu risau yang penonton Malaysia ini bangang sehingga susah nak faham maka perjalanan cerita terlalu tertumpu untuk memahamkan audien bahawa Mira tak dapat main dengan suaminya kerana HIV positif; atau dia memang mahu menggunakan seks sebagai senjata pelaris filem ini, tak tahulah aku.

Yang nyata, ia dilakukan secara keterlaluan. ‘Balik hantar bil air’, ‘I wanna make love with u’, ‘sori pasal pagi tadi..’, ‘kita dah lama tak bersama..’ dan banyak lagi diungkapkan semata-mata mahu menunjukkan betapa gersangnya husben si Mira ini tadi. Akibat terlalu lama dan syok menumpukan perhatian dalam soal memahamkan penonton tentang hal inilah, berlaku kebodohan melampau apabila plot bergerak macam siput tapi huru-hara. Jalaludin Hasan muncul dalam dua scene sebagai ketua penyangak penuh misteri, pastu wataknya lenyap begitu sahaja. Adi Putra pula ditampilkan kemain samseng, tapi kena tangkap polis sekelip mata. Dan apa gunanya lagu-lagu dalam filem ini? Tolonglah. Biarkan Bollywood dengan cara mereka dan belajarlah dari kegagalan teruk Diva.

Aku fikir begini. Mungkin masa mula-mula nak buat filem ini mereka mahu sesuatu yang melankolik dan boleh mengalirkan air mata. Di pertengahan produksi, mereka mungkin bertukar fikiran dan mahukannya lebih kepada muzikal tapi sudahnya, mereka terfikir pula untuk memasukkan unsur komedi. Agaknya itulah pasal laki Mira mengungkapkan dialog ‘Mira demam dan cirit birit dari tadi’ ketika mahu memberitahu isterinya itu perlu dihantar ke hospital a.s.a.p.

Kalau tanya pendapat aku, jangan la pergi tengok filem ni. Tapi kalau rasa dah kemaruk sangat dengan serba sikit elemen seks yang terhidu di dalamnya, pergi cari bisidi kaler langit lagi baik!

Wednesday, March 05, 2008

Novel Duyung jadi 'spoiler'

“JADI, inilah filem yang mensasarkan kutipan 10 juta?” itulah yang terdetik di hati penulis setelah berkesempatan menonton filem tersebut ketika tayangan malam gala yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam Duyung hasil kerja CGI yang dibuat wajar dipuji, membuatkan adegan Jimmy (Saiful Apek) memberi makan burung di atas tapak tangannya begitu menghiburkan. Begitu juga bagi adegan yang menampilkan duyung berenang di dalam air, Maya Karin telah membuktikan dirinya masih lagi perenang profesional biar pun gelaran itu didukungnya pada zaman kanak-kanak.

Sebahagian daripada kos RM2 juta yang diperuntukkan untuk filem ini barangkali teragih pada sudut logistik di mana penggambaran Duyung dijalankan di Pulau Sipadan yang terkenal antara perairan tercantik di dunia. Kepayahan yang digambarkan oleh pengarah filem ini, Profesor Madya A. Razak Mohaideen juga terpamer dari cuaca panas yang memayungi Pulau Maiga dan Pulau Mabul, penempatan atas air yang menjadi latar filem ini.

Satu perkara yang harus dipuji, Duyung membawa nafas baru dalam industri perfileman apabila Malaysia juga mampu tampil dengan sebuah filem yang tidak hanya mempertaruhkan keindahan negara luar yang menjadi trend dalam kalangan pengarah filem satu ketika dahulu. Seperti kata Razak, filem ini sekurang-kurangnya mampu mempertontonkan sebuah khazanah negara yang tidak ternilai kepada penonton dari luar.

Di barat, unsur ‘spoiler’ sangat dielakkan kerana ia boleh mempengaruhi sambutan penonton. Malah, pelakon besar seperti Kevin Spacey sendiri pernah meminta namanya tidak diletakkan dalam senarai pelakon utama filem ‘Seven’ semata-mata kerana hal ini. Pun demikian, Duyung mengabaikan aspek ini apabila perbezaan dari segi skrip mahu pun jalan cerita dengan novel yang dilancarkan pada 24 Januari lalu sangat nipis. Malah sekali pun filem ini diangkat ke layar lebar daripada novel sekali pun, beberapa ‘twist’ seharusnya dilakukan untuk mengelakkan penonton berasa bosan kerana sudah dapat menelah lebih 95 peratus perjalanan ceritanya.

Selain itu, genre filem fantasi bukanlah alasan bijak untuk menyediakan pakaian yang hampir sama seisi kampung. Mungkin di lain kali, pembikin filem tempatan boleh mengambil berat sedikit aspek begini kerana biar pun dianggap remeh, ia boleh mengurangkan nilai sesebuah filem di mata penonton sekarang yang dilambakkan dengan pilihan filem yang pelbagai.

Kalau pun kita tidak mampu menghasilkan filem hebat dengan bajet puluhan juta, sekurang-kurangnya kita mengambil perhatian kepada unsur-unsur kecil sebegini yang masih berada di dalam lingkungan kemampuan kita untuk dititikberatkan. Tindakan segelintir penonton tempatan yang mendabik dada tidak mahu menonton filem sendiri sememangnya tidak wajar, namun pembikin filem sendiri seharusnya lebih cermat untuk mengelakkan penonton sedia ada tidak kecewa.

Apa-apa pun, penghasilan Duyung wajar dibanggakan kerana seperti Cicakman, ia diharapkan menjadi evolusi atau titik tolak kepada penghasilan filem yang lari daripada beberapa subjek klise yang menghiasi wajah filem kita sekian lama.

SINAR HARIAN, 04 Mac 2008.

* Setelah aku membuat review berkaitan Duyung kat bawah, ada yang bersikap sinis dengan menyatakan artikel ini akan ditapis untuk siaran akhbar. Well... uols silap! ;P

Saturday, March 01, 2008

Buat pertama kalinya, aku masukkan artikel yang aku tulis kat sini. Bukan sebab apa, tapi sistem prestige down jadi ini sebagai perisai supaya aku tidak dipanggil ketika sedang enak bercuti ;P

AYU BAGAI 'CINDERELLA' OIAM

OLEH sebab peringkat akhir One In A Million (OIAM) musim kedua tidak dapat dilangsungkan secara ‘live’ gara-gara ketelanjuran Faizal Tahir tempoh hari, suasana di Stadium Malawati terasa hambar biar pun jam sudah menunjukkan hampir 8.30 malam. Hal ini terasa kerana di majlis-majlis hiburan yang disiarkan secara langsung di kaca TV, penonton biasanya mengambil tempat lebih awal, jadi debaran untuk majlis bermula sepatutnya sudah mula terasa apatah lagi rakaman akan disiarkan tepat jam 9.00 malam di 8TV.

Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan daripada peserta top 9 wanita iaitu Rina, Tiara, Intan dan Joni yang membawakan lagu Lady Marmalade diikuti peserta top 9 lelaki yang terdiri daripada Roni, Iz, Shone, Mark dan AB dengan lagu Alright Now. Pembukaan yang baik, namun kehangatan majlis hanya terasa apabila muncul kelibat tiga peserta akhir iaitu Ayu, Shila dan Sarah di atas pentas. Membawakan lagu Destinasi Cinta, suasana dewan mulai dipenuhi sorakan daripada penyokong masing-masing.

Momentum OIAM terus mencanak apabila gandingan pengacara kacak-jelita, Awal Ashaari dan Marion Counter menyatakan sudah tiba masanya untuk mengumumkan perjalanan siapakah yang terhenti di awal acara malam itu. Sejurus nama Sarah diumumkan, sorakan memenuhi dewan kerana keputusan itu amat menyedihkan biarpun ia memenuhi kebanyakan telahan. Sarah kelihatan menahan perasaan ketika menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu dan sebelum menamatkan persembahan, dia bagai melepaskan geram apabila melakukan ‘ad-lips’ yang mengundang tepukan gamat penonton di dalam stadium.

Persembahan diteruskan dengan lagu pilihan juri. Ayu menyanyikan lagu Samudera manakala Shila membawakan Contigo En La Distancia. Syafinaz dan Paul dilihat kurang berpuas hati dengan persembahan lagu pertama mereka ini namun kritikan kepada persembahan Ayu dilihat lebih kepada unsur fizikal di mana Paul turut menggunakan perkataan ‘ugly duckling’ yang membuatkan penyokong Ayu berbunyi tidak setuju. Shila pula dikatakan kurang menjiwai lagu yang pernah dibawakannya di konsert mingguan dengan cemerlang hinggakan raut wajah Syafinaz jelas hampa sebaik sahaja Shila menyudahkan lagu Sepanyol itu.

Seterusnya, Ayu dan Shila tampil dengan lagu pilihan masing-masing. Saat inilah, Ayu mencuri serpihan penyokong Sarah untuk memihak kepadanya apabila lagu Ceritera Cinta yang dibawa disifatkan oleh Syafinaz sebaik penyampaian penyanyi asalnya, Jaclyn Victor. Bukan itu sahaja, Ayu berjaya membawa karakter lagu tersebut dengan cukup baik sehinggakan Paul yang terkenal dengan ‘hati kering’ turut mengakui dapat merasakan emosi Ayu yang terbias begitu jujur.

Persembahan Shila menerusi lagu baru ciptaan Aubrey Suwito dan Tinta S iaitu Memori Tercipta bagaimana pun mendapat respon berbeza. Paul menyatakan dia tidak terkesan dengan lagu berkenaan manakala Syafinaz pula memberikan komen yang lebih lembut dengan meluahkan perasaan fahamnya akan kesukaran membawakan sebuah lagu baru yang mampu mencuri perhatian ketika kali pertama diperdengarkan.

Sejurus kemudian, Ayu meneruskan perjuangan dengan menyanyikan lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Habsah Hassan, Hanya Di Mercu. Dia bertuah kerana lagu ini tidak dapat dinafikan cukup menarik dan keupayaan vokal Ayu membuatkannya begitu memikat telinga. Biarpun sedikit ‘terkucil’, Ayu tetap mendapat komen yang positif. Syafinaz sudah mula memberi ‘hint’ kepada pengundi untuk menyokong Ayu sekiranya mereka inginkan satu muka baru dalam industri muzik manakala Paul pula biar pun mengakui ini bukan persembahan yang terbaik, namun katanya Ayu berbaloi untuk meraih sokongan.

Pun demikian, persembahan penutup daripada Shila yang melagukan medley Oops I Did It Again dan Stuck kembali membuatkan dewan bergema dengan tepukan. Shila yang diketahui lebih senang membawakan lagu-lagu rancak seperti ini begitu bergaya dan cemerlang membawakan lagu-lagu kegemarannya itu. Persembahan dinamik ini membuatkan unsur suspen mulai terasa kerana kedua-dua peserta akhir ini jelas sama hebatnya.

Meminjam kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, Ayu, Shila dan Sarah merupakan finalis terbaik yang pernah dilahirkan dalam mana-mana rancangan pencarian bakat oleh 8TV sebelum ini. Justeru, biar siapa pun yang menang ketiga-tiga mereka diketahui umum sememangnya berbakat besar.

Namun, malam kelmarin ternyata milik Ayu. Daripada 167, 977 undi Ayu memonopoli 62 peratus manakala Shila pula hanya mencatat 38 peratus. Persis kisah klasik Cinderella moden, pada awalnya siapa dapat menyangka peserta dari kampung terpencil di negeri bawah bayu yang pernah gagal untuk mara ke peringkat akhir OAIM musim pertama ini bakal dinobatkan sebagai juara OIAM musim kedua? Kini, ‘Cinderella’ itu bakal memulakan babak baru dalam hidupnya sebagai ‘jutawan’ dan penyanyi di mana single pertamanya, Hanya Di Mercu sudah mula ke udara di stesen-stesen radio semalam!

MENARIK SEPANJANG MAJLIS

* Kata-kata Awal ketika Ayu diberi tepukan gemuruh untuk lagu Hanya Di Mercu cukup pedas namun menarik. Katanya, “Sepanjang konsert mingguan OAIM berlangsung tiada orang nak sorak apabila nama Ayu diumumkan. Tapi malam ini, sana sini ada penyokong Ayu. Di mana anda selama ini?”

* Darling hadir bersama buah hatinya yang merupakan ketua unit hiburan di sebuah penerbitan. Mereka sama-sama mengenakan baju berwarna merah.

* Zahid AF2 pula hadir bersama rakan-rakan termasuk pemenang ‘Malaysian Most Beautiful’, Nita yang digosipkan bercinta dengannya.

* Penonton yang disifatkan Shila antara penyokong istimewanya iaitu Alif OIAM1 turut hadir memberikan sokongan.

* Majlis di Stadium Malawati kelmarin berlangsung dengan lancar namun segalanya punah apabila penonton yang berada di tempat duduk bahagian atas membaling kertas keras berbentuk tangan yang disediakan pihak penaja ke tengah-tengah dewan. Tindakan tidak bermoral ini membuatkan penonton yang berada di tempat duduk bawah terpaksa menutup kepala untuk mengelak daripada terkena balingan mereka. Insiden ini juga membuatkan ada penonton yang cedera ringan.

MAHU BELI RUMAH, BUAT GIGI...

SEUSIA acara kelmarin, Ayu ditemu bual pula oleh pihak media. Jelas, Ayu kelihatan kekok dan masih tetap dengan jawapan ‘naif’ apabila ditanya berkaitan kemenangan dan hala tujunya selepas ini. Ikuti antara temu bual yang berlangsung semalam.

APAKAH YANG AYU RASA SEKARANG?
Tau tak apa yang jadi sekarang, itulah yang Ayu rasa.

BAGAIMANA PERASAAN AYU APABILA SARAH TERSINGKIR DI AWAL ACARA?
Terus terang Ayu katakan, apabila Sarah tersingkir Ayu rasa lega, agak gembira dan keyakinan diri terus meningkat kerana dia memberikan saingan yang sengit.

AYU TAK TAKUT BERLAWAN DENGAN SHILA?
Ayu tak takut sebab kami sama-sama berlawan dengan diri sendiri.

APA PENDAPAT AYU TENTANG KOMEN PAUL DAN SYAFINAZ?
Ayu ambil komen Paul dan Syafinaz sebagai panduan. Macam apabila Paul cakap Ayu ‘ugly duckling’, Ayu mahu saja katakan padanya ‘macamlah dia kacak sangat’ tapi Ayu tak akan berbuat demikian (disambut ketawa semua yang hadir).

APA AYU NAK BUAT SELEPAS INI?
Macam Ayu katakan sebelum ini, Ayu mahu membeli sebuah rumah untuk keluarga dan pergi jumpa doktor gigi.

APAKAH AYU MASIH TIDAK YAKIN DENGAN BAKAT SEHINGGA TETAP DENGAN KEPUTUSAN MAHU MEMBETULKAN GIGI?
Sebenarnya Ayu mahu membetulkan gigi sebaik tamat sekolah lagi. Ayu sudah mendaftar (di klinik gigi) pun, tapi sering tertangguh kerana banyak kerja dan kemudiannya menyertai OIAM.

APA YANG AYU ‘JUMPA’ DALAM DIRI SETELAH MENYERTAI PERTANDINGAN INI?
Ayu ganas sedikit orangnya, tetapi menyanyi lagu balada. Jadi selepas ini tidak kenalah kalau Ayu tetap dengan jeans koyak tetapi menyanyikan lagu-lagu begini.

Saturday, February 23, 2008

melihat duyung

Mengecewakan. Aku dah nampak penurunan graf keseronokan menonton wayang Melayu pada pertengahan suku tahun ni. (Dannn, perlu ke aku katakan di sini ini adalah blog aku dan segala statistik atau apa-apa titik pun di sini datang dari pendapat peribadi aku semata-mata huh?)
Kala Malam Bulan Mengambang membuatkan aku tersenyum puas. Dunia Baru The Movie juga. Cuci kemudiannya mengundang tanda tanya aku dari mana datangnya kepuasan kepada seseorang yang menulis cerita itu bagus. Anak boleh tahan tapi aku benci klise dan sekarang, Duyung membuatkan aku rasa nak cepuk kepala orang yang bagi job mengarah filem ni pada.. kau tahulah siapa kan.
Lawak Apek masih menjadi sekala sekala, dan aku juga melihat dia cuba memancing pembikin filem emosi untuk menawarkan job kepadanya selepas ini. Sementara berbalas-balas nguap dengan Saylo kat sebelah semalam, aku masih sempat tertanya-tanya, siapa punya idea yang pandai sangat pi release novel Duyung sebelum filem ni keluar?
Bagi aku yang sudah membaca novelnya (of course sebab diberi percuma) segala inti pati Duyung sudah dapat diagak. Kebanyakan filem yang diadaptasi kepada novel atau sebaliknya (jarang sket dibuat orang tapi aku nampak itu kegemaran kat Malaysia) akan mengubah atau menambah serba sedikit mana-mana sisi cerita untuk menjadikannya twist kepada pembaca, tapi malangnya Duyung sedikit pun tidak mengambil berat hal berkenaan.
Aku tak tau orang lain, tapi aku tak hingin nak tengok transformasi 100 peratus apa yang aku baca - ibaratnya daripada audio kepada visual tanpa sebarang penambahan atau pengurangan yang bijak. Kenapa aku kata bijak? Kerana aku sungguh-sungguh sakit hati dan menyumpah apabila di penghujung skrip apa yang dipaparkan ialah 3 gadis Digi (maklumla penaja nok!) muncul dengan lakonan patung cendana.
Aku juga melihat bagaimana unsur surreal yang tersepit dan aku menontonnya dengan penuh benci dalam Duyung. Sama seperti filem lacur yang cuba menjadi seni, setakat ini aku rasa teori rekaan aku bahawa segala yang dibuat melebih-lebih akan menjadi antara dua; sama ada genius atau jelek memang tepat.
Dalam Duyung engkau sanggup datang jauh-jauh ke perairan Sipadan untuk dapatkan shot yang menarik (dengan alasan mahu dunia tahu betapa cantiknya peraiaran kita di sebalik filem yang memalukan?!) , tapi kenapa engkau terlalu malas untuk membuat kain baju yang lebih menarik. Berapa kau bayar lump sum tukang jahit sampai baju yang dibuatnya sama satu kampung? Dan kalau kau fikir mahu wujudkan satu masyarakat baru di atas air, jangan biarkan pelakon-pelakon utama berambut blonde sedangkan di satu ketika, kesemua audien menjerit - 'hei, ini mesti orang kampung sebenar!'.
Dalam pada itu, aku turut menemui beberapa fakta menarik tentang duyung yang aku mahu kongsi, jadi engkau tahu kalau pun tidak sempat menonton filem ini sebab tiketnya sold-out (maklumlah, ada profesor kata filem ini mungkin cecah 10 juta) :
1) Kadang-kadang duyung pakai eye-shadow kaler hijau (bukan semestinya tapi maskara itu wajib).
2) Mata duyung akan menjadi merah apabila terlalu lama berendam dalam air.
3) Duyung sebenarnya kuat. Dia boleh mengangkat dua peti harta karun (dianggarkan 100 kg setiap peti) dengan mudah tapi tak mampu mengoyakkan jala (kecuali sebab dia berlagak kiut sebab tunggu hero datang selamatkan).
4) Duyung pandai pergi pasaraya (sebab tu dia boleh adakan buah-buahan tempatan termasuk durian dalam guanya).
Pun demikian, aku sangat kagum dengan gaya renangan Maya Karin. Dia meliuk dengan cantik sekali di dalam air. Aku masih ingat kata Maya, dia takut-takut juga untuk berlakon dalam filem komedi setelah tersilap membuat percaturan dulu (pernah tengok No Problem? Kalau tak pernah aku bagi amaran jangan menempah nahas!). Nyata, dalam Duyung aku melihat Maya bagaikan Halle Berry yang gatal-gatal cuba menjadi Catwoman.
Selain lakonan Maya untuk scene duyung berenang, lakonan kedua paling mantap adalah beruk lakonan Yasin. (Kalau Yasin ada kat situ, katakan padanya aku ucapkan tahniah sebab dia kelihatan beruk sekali.)

Terima kasih.

Monday, February 11, 2008

Sedap Belaka

Aku nak bagi tau Dunia Baru The Movie memang best. Itu aje.

Perkembangan lain, CJ7 pun best - tapi bagi peminat tegar Stephen Chow cam aku, ia sedikit menghampakan apabila dibikin terlalu 'bersih' dan U.

Oh, ya.

Satu lagi, jangan tengok wayang jika panggungnya terletak di Klang. (Kau akan rasa nak tenyeh kepala orang depan nanti.)

Tuesday, February 05, 2008

Rasakan!


Manusia memang selalu kalah dengan nafsu, walaupun tahu akan mendatangkan bahana pada badan.

Itulah yang berlaku apabila aku tak serik-serik makan Nando's dengan menu yang sama - 1/4 chicken (extra hot peri2) + peri chips & coleslaw walaupun tahu, akan sakit perut setiap kali lepas makan.

Friday, January 25, 2008

'Live for nothing, or die for something'

Jika engkau lahir pada tahun 80 dan sebelumnya, jangan tipu dengan menyatakan engkau tak kenal siapa Slyvester Stallone. Atas sebab itulah, aku tak sabar-sabar nak tengok apa jadinya Rambo 4 bila ia difilemkan sewaktu Stallone dah tua, dah cecah umur 62. Oke2, aku ngaku aku juga penonton tipikal yang tertarik nak tonton bila tengok ada ular dalam trailer.

Sebenarnya aku silap bila menyangka seperti Rocky, ini adalah filem terakhir Rambo. Rupa-rupanya kata Stallone, Rambo bukan atlit cam Rocky jadi dia tak ada had umur untuk bersara.

Pun begitu, sedap (dan meloyakan) filem ni. Sedap kerana Stallone masih mampu mengekalkan ketak badannya (haha - gurau je wehh) dan meloyakan kerana ada banyak babak yang membuatkan aku tak dapat nak masukkan popcorn dalam mulut. Bluek! Ko kena tengok sendiri untuk tahu.

Aku fikir, Stallone galas cabaran besar untuk buktikan dia masih mampu berlakon filem aksi. Setelah dia keluarkan beberapa statement lazer yang menyatakan tak ada pelakon filem aksi yang bagus di zaman ini, dia kena telan kata-kata tu dan buktikan macamlah dia tu bagus sangat. Sebab itulah agaknya, dia macam lepas geram habis-habisan dalam filem ni.

Bagi aku, Rambo bukan action movie yang baik. Ia adalah action-packed movie terbaik!

Woohoo.

Saturday, January 19, 2008

coklat berinti kacang (dan Halim Othman)

Kau suka makan coklat?
Aku suka, tapi kadang-kadang.
Dan bila mahu makan, aku hanya mahu cicip coklat berinti kacang. Apa-apa kacang pun boleh la.
Kenapa teringatkan coklat berinti kacang sedangkan aku mahu menulis tentang Halim Othman?
Kerana Halim dan kacang berinti coklat berada di bilik yang sama, dalam satu daerah otak ini.
Lawak atau kata-kata yang terkeluar dari mulut lelaki berwajah 'bukan jenis saya' ni bagi aku umpama coklat berinti kacang itulah. Yang aku tak jamah setiap hari, tapi buat aku sentiasa ingin mengerling setiap kali membayar di kaunter stesen minyak (ya, aku bayangkan coklat Vochelle di sini).
Aku tak makan setiap hari, tapi ada kalanya aku teringin!
Justeru aku terasa dan mengambil keputusan untuk membiarkan Sofaz di Planet tanpa aku bila tahu Halim akan diraikan dalam satu majlis perpisahan semalam. Kata Halim, dia mahu berundur untuk menulis kaligrafi dan mendokumentasikan surat dan gambar-gambar lama.
Tak, aku tak dengar Sinar Pagi sebelum ni. (Kalau dengar pun, aku mungkin lebih sukakan Salleh Yaccob agaknya.) Dan aku jugak pernah menaruh curiga macam mana dia boleh menang 5 kali untuk kategori penyampai radio popular. Dan aku tak teruja langsung dengan rekod-rekod yang dia buat untuk Malaysia Book of Record tu.
Cuma, sekali sekala aku suka mendengar lawak-lawak dia yang membuatkan sesetengah orang kata dia berlagak nak mampus. Malah, aku antara yang gelak bila dia bercakap besar semasa genggam trofi dulu. Ini kerana, aku rasa aku faham apa yang dia mahu katakan sebenarnya. Marilah, dia hanya berlawak dengan caranya sendiri!
Kata Halim, dia hanya seorang anak kampung yang teringin menjadi DJ (masa itu belum diguna istilah penyampai radio) satu waktu dulu tapi malu untuk bagi tau pada mok dia. Jadi, dia ke AS untuk belajar Bahasa Inggeris. Kata dia lagi, kalau anda berasal dari Kerteh dan tidak pernah ke luar negeri selama 9 tahun, anda mungkin tidak akan menang trofi seperti dia.
Di AS, selain Bahasa Inggeris dia belajar bahawa wajah adalah tulang yang ditampal isi dan kulit, lalu dipupuk mekap. Tapi kita masih boleh hidup tanpa mekap, tambahnya.
"Sesungguhnya saya tidak bermaksud untuk membuat syarahan di atas ini dan membuatkan saya kelihatan lebih pandai daripada anda di bawah sana."
Aku, penggemar coklat berinti kacang ini pun ikut mengekek dalam samar-samar cahaya Zeta Bar.

apa di atas

Aku dapati tidak ada perkara yang lebih menyakitkan daripada melihat tulisan yang kita buat dengan sepenuh jiwa dibelah hingga tercedera isinya.

Setelah beberapa waktu, aku rasa makin loya dengan perkara yang acap kali berlaku ini.

Dan lagi, kau mungkin takkan faham macam mana bencinya melihat reka letak yang menghimpunkan seluruh gambar di penjuru muka sedangkan kau tahu, pembikinnya boleh melakukan sesuatu yang lebih baik kalau dia baca dan fahami dulu apa yang mahu dikerjakan.

Sungguh-sungguh, aku sakit hati.

Monday, January 14, 2008

Kala Malam Bulan Mengambang

UPDATE.
Rupa-rupanya, post asal yang aku dakwa hilang, terselit dalam draft di bawah tajuk 'Mamat buat gila (lagi)!' Maka, aku mengambil keputusan untuk delete entry sebelum ini dan menggantikannya dengan yang ini walaupun semua pengomen kat bawah tulis berdasarkan entry yang sudah aku delete tu! ; p
Seharusnya kita, penggemar-penggemar filem kat Malaysia ni bersyukur sebab ada Tayangan Unggul yang ada bajet besar untuk suntik dana supaya pembikin filem kat negara ini tidak mati. TU best sebab mereka tak ralat untuk salurkan dana kepada filem yang tidak bersandarkan komersial semata-mata.
Contohnya macam Syaitan. Walaupun kutipannya mengalirkan air mata, filem tu sebenarnya tidaklah seburuk mana. Kalau tak takkanlah Bade boleh menang pengarah terbaik dan kata Bade, biar pun filemnya tidak lulus di hati penonton, dia tetap bangga sebab filem tu dijadikan rujukan dalam kalangan pelajar perfileman di negara ini.
Sekarang, TU keluarkan dana lagi (1.5 juta) untuk filem Kala Malam Bulan mengambang yang ditangani oleh pengarah yang mengaku dia ‘gila’, Mamat Khalid. Aku antara yang hadir sewaktu tayangan untuk press baru-baru ni. Dalam ucapan pembukaannya, Mamat beria-ia ingatkan, KMBM adalah sebuah filem noir. Katanya lagi untuk perhatian orang yang buta filem macam aku, noir bukanlah sebuah genre, tapi istilah yang digunakan untuk sebuah menggambarkan filem bergaya Hollywood yang merentangi zaman 40an hingga 50-an.
Maka sepulangnya aku ke ofis, aku pun mencari ‘apa barang’ noir ni. Ohh.. rupanya filem noir (kelam) ialah filem hitam-putih bergaya Hollywood yang dibikin merentangi zaman 40 hingga 50an. Biasanya filem noir mengangkat drama kriminal yang disuntik unsur moral dan seksual.
Aku rasa, gaya noir Mamat memang menjadi dalam KMBM. Selain visual hitam-putih, pencahayaan yang rendah dipraktikkan dalam filem ni menepati ciri-ciri noir biar pun tidak terhidang secara ekstrem. Kata penerbitnya Gayatri Su-Lin Pillai, gaya noir dalam KMBM lebih terkawal kerana jika terlalu mengikut gaya Hollywood, barangkali tiada penonton yang akan ke panggung.
Sebenarnya, aku sudah hampir menyampah dengan Mamat. Aku tidak tonton Lang Buana, tapi Rock betul-betul buat aku jatuh cinta walaupun rasa loya tu masih ada bila dikenangkan adegan 'burung belatuk'. Semangat Man Laksa pula aku salute walaupun filem tu tak termasuk dalam karya Melayu yang boleh buat aku ternganga. Zombi Kg Pisang plak, buat aku terus muak dengan semangat 'syok sendiri' Mamat.
Jadi oleh sebab expectation yang rendah atau filem ini memang bagus, aku rasa mahu melaung sambil melompat-lompat untuk menyatakan 'KMBM best oiii!'. Persetankan aspek bagus secara teori, kerana aku menilai filem yang bagus dari persepsi aku dengan cukup mudah - filem yang best ialah filem yang membuatkan aku sentiasa teringat padanya setelah selesai menonton.
Justeru itu, aku ucapkan terima kasih kepada Mamat kerana menutup tirai perfileman (yg aku tonton pada 2007) dengan filem sebagus ini. Barangkali aku tidak pandai menilai filem lebih jauh sehingga mampu menghadap setiap subteks dalam KMBM, tapi itu sebenarnya berita baik buat Mamat kerana ia membawa makna filem ini masih mampu melekat pada penonton kebanyakan macam aku. Lebih dari itu, KMBM membuatkan aku terfikir, gen kreatif dan kritis sebenarnya boleh diwarisi.

Thursday, January 03, 2008

teringin

Aku ingin menulis tentang Kala Malam Bulan Mengambang, tapi nampak gayanya merenung kosong pada skrin pc ni jauh lebih mudah...

Wednesday, January 02, 2008

Arus perdana

Macam pelik je kalau tak ucap selamat tahun baru kat blog kan.

Sooo ok.

Ermm.. Selamat Tahun Baru ya semua!

(dan aku mahu muntah)

Monday, December 24, 2007

Mell (i)

Mell kata Sha nak mintak cerai.

Dia kata camtu ketika kami lepak-lepak sementara b pergi menghambakan diri pada kerja dan sya ke kedai letrik berdekatan tengok tv. Masa tu kami borak-borak, sama macam dulu.

Kata Mell, masalah punca dari mak bapak mentua dia. Yang macam haram.

“Dorang suruh gua kerja. Gaji tujuh, lapan rat pun takpe janji kerja. Masalahnya gua takleh Da. Dari dulu mana gua pernah kerja,” katanya konfiden.

Dia pandang muka aku kejap, pastu hirup teh tarik. Aku buat-buat layan mesej.

“Dulu masa baru kawin, masa gua baru dapat duit projek setengah juta. Berapa lama gua tak kerja? Malam-malam pergi lepak, minum.. huha-huha. Gua tak kerja pun? Pasal masa tu dia tak nak blah. Pasal sekarang? At least masa tu gua tak sakit da.. macam sekarang.” Mell bebel lagi. Aku diam je walaupun aku tau duit tu dia dapat sebab jual tanah atuk dia sebenarnya.

Mell pandang langit.

Terus aku teringat waktu dulu kat bawah ofis konsert, kitorang selalu lepak Anandur lepas abis kerja. Satu petang, Mell cakap dengan aku satu hari nanti dia nak migrate. Dia kata life kat Malaysia tak seronok, orang tak open. Lagi pun dia terlalu kecewa dengan hidup. Banyak sangat kisah pedih yang dia hadap dari kecik. Bila dah besar, dia rasa banyak sangat konflik yang bergayut kat bahu dia kesan banyak pendam perasaan dari kecik. Dari sekian banyak petang yang kami lepak, petang tu aku paling ingat sebab petang tu Mell cerita kat aku, dia pernah tunjuk fuck pada langit sebab dah tension sangat.

“Ko lepas je la Mell dah dia nak sangat..” aku. Nada malas. Dah tak betah ber-lu-gua-lu-gua lagi dah. Konsert pun dah lingkup gamaknya?

Mell urut hidung pastu geleng kepala. Kemudian, dia tekan-tekan salah satu telefon bimbit yang dia ada. Sejurus pastu, dia dekap telefon ke telinga.

“Gua nak tanya member gua.. ada tak hakim yang boleh keluarkan arahan tak dibenarkan bercerai?” terang Mell tanpa disoal.

Aku diam je. Suka hati lu.

lompat

Aku cuma mahu skip entry di bawah.

Selebihnya, aku bosan kerana bekerja.

Hari ini!

Friday, December 14, 2007

his other half

Kau tak tahu bagaimana susahnya menggantung cinta pada orang yang liar.

Satu ketika, dendam menenyeh rasa yang tersisa.

Benci.

Monday, November 26, 2007

perjalanan baru bermula

BERITA BESAR! INI BERITA BESAR!

Nak tau apa?

Ehem, semalam saya bawa kereta dari rumah ke ofis, dan dari ofis balik ke rumah.

Hah. Kamu muntah? (Peduli apa saya. Btw, ada saya bagi tau ianya kereta oto?)

Apa-apa pun pun, ringankanlah hati untuk menyedekahkan al-fatihah kepada Allahyarham Hussein Abu Hassan yang kembali ke rahmatullah lewat pagi tadi kerana komplikasi buah pinggang ya.

Sekian.

Thursday, November 22, 2007

perkara ke berapa

Aku tak suka sebab bila dia bawak watak lelaki gatal, menjadi sungguh.

Aku tak suka sebab dengar kabar, dia poyo (siap letakkan nama dia pada motor dan kereta lagi!).

Aku tak suka sebab dia pernah kena tipu sebab nak nampak muda dan dapat gelaran.

Most of all, aku benci sungguh ayat 'kuat la pulokk!'

TAPI HARI ITU PERSEPSI AKU BERUBAH.

Apa yang aku nampak ialah seorang tua yang mengerah seluruh kudrat untuk nampak kuat (la pulokk!)

Aku lihat seorang lelaki tua dengan rambut beruban, terkial-kial untuk memakai gigi palsu.

Aku lihat kasih sayang seorang ayah pada anak dan isteri-isterinya.

Sesungguhnya, aku melihat warna-warni seorang manusia.

Wednesday, November 14, 2007

Mentaliti

Tarikh: Semalam
Lokasi: Sebuah spa

U tak kisah semua orang tau u pakai botox?

Dah betul aku pakai botox, aku ngaku la pakai! Aku ni bukan hipokrit macam diorang semua tu.

Watak idaman, ada?

Sebagai pelakon aku tak boleh memilih. Kalau orang suruh aku jadi kambing, aku jadi kambing. Kalau orang suruh aku jadi anjing pun, aku jadi la anjing!

Wednesday, November 07, 2007

Legasi

Kelmarin dulu.

Macam selalu, (bengang betul!) Astro suka tayang cerita2 70 @ 80-an waktu awal pagi. Pagi tu, aku teruja tengok Aziz M Osman berumur dalam 7 @ 8 tahun pegang watak utama.

Bagus betul lakonan budak dulu-dulu. Tak hairanlah, Aziz menang Pelakon Kanak-kanak Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik tahun 1976 di Pusan, Korea Selatan untuk filem Sayang Anakku Sayang ni (http://www.filemkita.com/).

Tapi yang kelakarnya kau tau apa?

Ada satu adegan membabitkan pengarah drama prolifik kita, Yusof Haslam. Dia jadi pegawai kebajikan masyarakat dalam filem tu.
Adegannya bermula dengan:

"Mengikut laporan yang saya terima... "

Ha ha!

Sekarang aku tau dari mana dia dapat dialog wajib drama Gerak Khas tu ;p

Friday, November 02, 2007

Pindah

Tidak.

Saya bukan berpindah blog seperti yang biasa dilakukan oleh segelintir blogger apabila 'terlanjur bercerita' di laman peribadi ;P .. Saya cuma berpindah rumah dari Puncak Perdana ke Bukit Jelutong. Masih dalam area Shah Alam, tapi dekat sikitlah untuk ke tempat kerja.

Saya juga masih bekerja di koran cakna biar pun kadang-kadang lelah menghadap waktu kerja yang tidak mengira Sabtu-Ahad dan siang-malam.

Erm, apa lagi mau update ya?

Oh ya. Selamat Hari Raya buat saya (dan kamu).